Nisan Putih (1)


[Episod 1]

Cuaca semakin terik disusuli dengan angin yang sepoi-sepoi. Beginilah rutinnya jika berganjak ke bulan Mei. Terik kemarau seakan-akan mahu membakar segalanya. Berlindung di bawah atap zink bukanlah suatu keselesaan. Bahangnya sahaja sudah mampu mendenyutkan seluruh urat-urat kepala. Peluh yang mengalir dibiarkan membasahi. Dibiarkan menitis ke tanah. Razif melepaskan tukul yang erat digenggamnnya sejak tadi. Berdeting bunyinya apabila tukul tersebut mengenai tong aluminium yang menjadi alas untuk mengukir.
            Razif tidak mempedulikan mata-mata yang memerhatikannya. Dia penat. Penat untuk mencari sesuap nasi. Penat dengan rutin yang harus ditempuhnya setiap hari. Penat dengan soalan dan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya. Anak matanya tajam memerhatikan tukul yang sengaja dilepaskannya sebentar tadi. Hampir 10 tahun tukul itu berjasa padanya. Selama itu jugalah dia berjasa kepada pemilik bengkel batu nisan itu. Ya, boleh dikatakan setiap pelanggan yang datang untuk menempah batu nisan di situ berpuas hati dengan hasil tangannya. Kata mereka, seninya ada. Kadangkala Razif berfikir sendirian. Perlukah  kecantikan, kesenian yang terukir di batu nisan itu digahkan sedangkan ia hanyalah menjadi ceracak di atas tanah merah kering.
            “Razif, tadi Encik Mansor datang menempah nisan untuk ibunya. Ibunya baru sahaja meninggal dunia 2 hari lepas. Dia mahukan nisan yang sama ukirannya dengan arwah ayahnya yang awak pernah buat dahulu,” ujar Zahid. Majikannya yang telah memberi peluang dan kepercayaan terhadapnya selama 10 tahun. Razif hanya mengangguk. Akur dengan apa yang diperintahkan majikannya sebentar tadi.
            “Jika boleh dia mahukan nisan itu secepat mungkin. Em, tapi awak boleh pergi menjemput Rais dahulu jika awak mahu.” Zahid terus berlalu setelah menyatakan keizinannya terhadap Razif. Razif mengangguk lagi walaupun majikannya itu sudah berlalu membelakangkannya. Kacau. Fikirannya kacau apabila memikirkan mengenai Rais. Anak bongsunya yang kini mendapat pendidikan khas di sekolah orang kurang upaya di Pulau Pinang. Ya, sangat jauh di utara semenanjung jika dibezakan dengan dirinya kini berada di selatan tanah air.
            Rais merupakan seorang kanak-kanak istimewa. Cacat penglihatannya. Namun, kecacatannya itu tidak menghalang dia menjadi seorang yang celik minda. Razif memang sudah dapat melihat kebolehan anaknya itu sejak berusia 4 tahun. Kanak-kanak itu petah bercakap. Ringan mulut untuk bertanya. Cepat untuk menerima sesuatu pengetahuan. Namun, itu langsung tidak membanggakan Razif. Bagi Razif, Rais hanyalah bala. Musibah. Isterinya menghembuskan nafas terakhir setelah melahirkan Rais. Jawatannya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta juga terpaksa dilepaskan 10 tahun lepas dek tertekan dengan pertanyaan dan sindiran pekerja di sana. Semenjak itu, segalanya kucar-kacir. Razif mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Rais langsung tidak disentuh. Apatah lagi dicium, dipeluk dan dibelai. Mujurlah ibunya ada untuk menyuapkan nasi ke mulut anak-anaknya.
            Segalanya berubah setelah Seri meninggal dunia. Keyakinannya goyah. Rerambut halus di pipinya dibiarkan melata. Puas dia mencari halatuju ketika itu. Mencuba di segenap tempat untuk mencari nafkah. Keikhlasan Zahid sememangnya memberi sinar baru kepada Razif. Hanya Zahid yang mengetahui keperitan hidupnya. Zahid jugalah yang sering memanjakan Rais. Jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Pekerjaan barunya ketika itu dapat menipiskan rindunya kepada Seri. Dapat memekakkan telinganya daripada menerima persoalan mengenai Rais. Cuma, dia terpaksa menggadaikan rindu dan sayangnya kepada Arfa. Penyeri hidupnya dan Seri sejak 16 tahun lalu.
Razif mencapai kembali tukul yang dilepaskannya tadi. Meneruskan kerja ukirannya pada permukaan batu. Hatinya benar-benar merindukan Seri. Arwah isterinya yang telah ditakdirkan meninggalkan dirinya terlebih dahulu. Dia tahu, pasti Seri kecewa jika tahu bagaimana layanannya terhadap Rais. Razif cuba untuk mengikis perasaan bencinya kepada Rais. Semenjak dahulu dia mencubanya. Namun, benci itu tidak hilang semuanya. Masih ada saki-baki yang bertompok di hati. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa untuk mencari rezeki. Cukuplah dengan itu. Ibunya perlu faham.
            Minggu lepas, Razif sempat menjejakkan kakinya ke kampung menjenguk Arfah dan ibunya. Hampir sebulan Razif tidak ke sana. Sibuk dengan kerja mengukirnya. Selain itu, dia sengaja mengelak daripada mendengar bebelan ibunya. Terlalu mengingatkannya tentang Rais. Ah, budak itu sudah berusia 10 tahun. Sudah pandai berjalan dan makan tanpa orang menyuapkannya seperti dahulu. Apa yang terlalu dibimbangkan. Nah, Rais ditempatkan pula di sekolah orang kurang upaya yang bukan calang-calang. Hanya orang yang berkemampuan sahaja yang mampu ke sana. Sedikit sebanyak perasaan berterima kasih itu terbit di sudut hatinya kepada Zahid kerana membiayai segala kos pengajian Rais di sana.
            “Ayah, Arfa nak pergi kelas tambahan. Em, kawan-kawan Arfa yang pergi semuanya dapat keputusan cemerlang, ayah. Arfah ingat, Arfah pun nak cuba juga, ayah. Ayah kan nak Arfah berjaya...” Terngiang suara Arfah di telinganya. Sukar untuk dia menolak permintaan anak kesayangannya itu. Masa depan Arfah lebih penting dari segalanya. Dia mahu Arfah berjaya. Tidak menanggung susah sama sepertinya. Anggukan Razif sangat menceriakan Arfah. Pipi Razif diciumnya. Sikap anak daranya itu masih sama seperti dahulu. Manja.
            “Bila Arfah pergi kelas tambahan itu nanti, belajar rajin-rajin. Janji dengan ayah. Bila Arfah dapat keputusan cemerlang, bolehlah ayah jumpa cikgu Arfah. Ucap terima kasih pada mereka,” ujar Razif. Serta-merta air muka Arfah berubah. Mulutnya sengaja dimuncungkan. Perkara sama yang sering dilakukan oleh arwah isterinya tika datang rajuknya.
            “Baiklah. Ayah tahu. Ayah faham. Ayah tak pergi sekolah Arfah. Ayah percayakan anak ayah seorang ni. Apa yang penting, Arfah kena belajar rajin-rajin. Boleh?” Pinta Razif. Faham benar dia dengan sikap anak sulungnya itu. Jika terdapat majlis perjumpaan di antara ibu bapa di sekolahnya, dihalang Razif untuk menghadiri. Pernah Razif mempersoalkan perkara tersebut kepada Arfah. Katanya, dia sedih jika rakan-rakannya bertanya mengapa ayahnya datang bersendirian. Sedih jika rakan-rakannya bertanya di mana ibunya. Tidak mengapalah. Jiwa remaja seperti Arfah itu sememangnya mudah tercuit. Razif menurut sahaja. Asalkan Arfah Arsya sentiasa mengukir senyum di hadapannya.
            Berbeza dengan Rais. Tidak pernah tercuit di hatinya untuk menghadiri sebarang aktiviti di sekolah pendidikan khas itu. Sudah berpucuk surat diterimanya. Terdapat juga surat yang menyatakan kecemerlangan anak lelakinya itu. Hah, tetapi semua itu untuk apa? Jika sepandai mana sekalipun, pasti sukar untuk sesiapa menggajinya suatu hari kelak. Semua itu sia-sia. Mujurlah bukan dia yang menanggung pengajian anak cacat penglihatan itu. Pernah dia menyatakan hasratnya untuk menghantar Rais bekerja di kilang kayu. Di situ, ramai kanak-kanak senasib dengannya mencari pengalaman. Mencari peluang supaya mudah untuk digaji suatu masa nanti. Sekurang-kurangnya, kemahiran mampu membuka peluang kepada mereka. Namun, itu semua dihalang keras oleh ibunya. Katanya, dia hanya mempergunakan anak untuk kepentingan sendiri. Menganiaya anak yang masih mentah. Salahkah? Umur sepertinya pasti mampu berdikari jika dipaksa.
            Hari ini, sepatutnya Razif sudah bertolak ke Pulau Pinang. Esok, kanak-kanak istimewa yang mendapat keputusan yang cemerlang akan dirai. Razif tergelak sendirian. Baik sahaja dia di sini menyiapkan tempahan yang masih tertangguh. Sekurang-kurangnya usaha itu membuahkan hasil jika dibandingkan usahanya bergegas ke sana yang hanya untuk menyaksikan sesuatu yang kosong.

:atiqahibrahim:

Comments

Popular Posts