Nisan Putih (3)

[Episod 3]


“Cikgu harap cuti pertengahan tahun kali ini dapatlah kamu semua mempelajari sesuatu yang baru. Ingat pesan cikgu. Jangan sesekali merasakan kamu semua insan yang lemah. Kamu semua adalah anak-anak istimewa yang berjiwa kental. Pencapaian kamu kadangkala lebih bagus dari pelajar normal yang lain. Sampaikan salam cikgu pada keluarga kamu semua.” Cikgu Nizar menamatkan bait bicaranya. Kesemua kanak-kanak cacat penglihatan tersebut bertepuk tangan. Inilah penantian mereka. Berpeluang kembali ke pangkuan keluarga biarpun hanya seketika. Sudah 4 bulan mereka di sekolah pendidikan khas itu. Menyeringai wajah pelajar-pelajar tersebut. Langkah mereka diatur menuju ke kamar sambil dibimbing oleh seorang guru yang bertugas ketika itu. Jalan ke kamar itu bukan lagi menjadi halangan kepada mereka. Selok-belok di kawasan itu sudah sebati. Setibanya di kamar, masing-masing menuju ke katil. Di dalam kamar tersebut terdapat 20 buah katil 2 tingkat. Oleh itu, tidak menjadi halangan pelajar lelaki seramai 36 orang ditempatkan di dalam kamar tersebut.
“Iqwan, bila ayah awak datang jemput awak?” Rais bertanya kepada sahabatnya. Seluar di tangannya dilipat sebaik mungkin dan disusun di dalam beg. Walaupun mereka mempunyai kekurangan, namun pembimbing di situ tetap mengajar mereka melalui hari-hari seperti manusia normal yang lain. Bimbingan itulah yang membolehkan mereka berdikari seperti sekarang.
“Ayah dan ibu saya datang sebentar lagi. Saya rindu sangat pada mereka,” jawab Iqwan. Kanak-kanak itu meraba-raba mencari baju yang masih belum dilipat. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. “Awak pula Rais? Bila keluarga awak datang?” Soal Iqwan kembali.
Rais tidak segera menjawab. Keluarga? Dia tidak pernah merasakan kehidupan sebuah keluarga. Kewujudannya dianggap seperti suatu bebanan. Tidak pernah ayahnya memuji atau menyatakan sayang kepadanya. Mujurlah nenek seringkali mengorbankan masanya membelai dan memujuk hati kecilnya. Dari situlah Rais tahu sedikit demi sedikit apa yang dimaksudkan dengan kasih sayang. Kakaknya pula lebih suka dia tinggal berjauhan sebegini. Dahulu, Rais pernah mendengar kakaknya memberitahu rakan-rakan bahawa Rais hanyalah anak angkat. Tidak mempunyai kaitan dengan darah dagingnya. Ya, memang usianya terlalu mentah untuk menyangkal apa yang dikatakan kakaknya itu. Namun, dia tidak mentah untuk memahami apa yang dinyatakan oleh saudara tunggalnya itu.
“Rais? Kenapa awak diam?” Iqwan menegur setelah menanti jawapan yang tidak muncul dari mulut Rais. Terkebil-kebil Rais menyambung lipatan di tangannya. Kelopak matanya mula bergenang. Namun bibirnya masih menyimpulkan senyuman.
“Ayah saya mungkin datang esok.” Mungkin. Itulah yang mampu dia tuturkan. Ayahnya tidak pernah berjanji mengenai sesuatu kepastian. Tidak mengapalah. Rais bangun dari katilnya. Membontoti rakan-rakannya yang lain menuju ke ruang menunggu. Meriah. Gegendang telinganya dapat menangkap keriuhan suasana ketika itu. Rais juga dapat menangkap suara kerinduan seorang ibu dan ayah kepada anaknya. Sebak hatinya. Rais memanjangkan tongkat yang sejak tadi digenggamnya. Kakinya melangkah menuruti detak tongkat tersebut. Sehinggalah Rais merasakan gegendang telinganya sudah jauh dari menangkap keriuhan kebahagiaan sebentar tadi. Dia ingin sendirian.
Kini, dirinya hanya ditemani hembusan bayu. Ditemani dengan keriuhan cericit burung. Otaknya ligat berfikir. Berfikir mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang dilemparkan ke atas bahunya. Kalaulah ibunya masih ada, pasti dia tidak dipinggir begini. Kalaulah dia tidak cacat penglihatan, pasti dia mampu berdikari mencari hidup. Kalaulah ibunya masih bernafas kini dan dia bukan insan yang tidak sempurna, pasti dia menikmati kebahagiaan seperti mana insan lain. Pasti dia disayangi. Pasti dia dibelai. Dia benar-benar inginkan kehangatan dakapan seorang ibu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Tongkat di tangannya dilontar jauh. Mahu sahaja Rais menjerit sekuat hatinya. Biar semua orang tahu betapa perit hatinya. Biar dunia tahu bahawa apa yang berlaku ini bukan salahnya.
“Boleh cikgu duduk di sini?” Muncul satu suara. Cepat-cepat Rais mengesat matanya. Dia kenal dengan suara itu. Suara yang sering memujuk hatinya.
“Minta maaf kalau cikgu ganggu Rais.” Zara menghulurkan tongkat yang tersadai di atas rumput hijau kepada Rais. Rais menyambutnya. Namun, mulutnya masih terkunci. Zara menghela nafasnya. Tahu apa yang menjadi resahan anak muridnya itu. Seketika, Zara memandang sekeliling.
“Rais, cuba Rais teka apa yang ada di sekeliling Rais sekarang?” Zara cuba memecahkan kesunyian. Rais mengangkat kepalanya. Air mata masih berbekas di pipinya.
“Cikgu, saya dapat rasakan suasana yang sangat bahagia cikgu. Tapi itu semua milik kawan-kawan saya. Bukan milik saya, cikgu.” Berdentum hati Zara. Dilihat mata Rais bergenang lagi lalu tumpah begitu sahaja. Kelopak mata kanak-kanak itu sudah tidak mampu menampung bebanan kesedihan yang terlampau. Zara mengulum sebaknya. Zara menemani Rais pada petang itu. Masing-masing menyepi. Zara tidak mahu menganggu kesedihan Rais. Biarlah dia di situ sekadar menjadi peneman anak murid kesayangannya itu. Kau perlu tabah Rais!
*          *          *          *          *
“Selamat pagi, cikgu,” Razif menghulurkan tangannya berjabat tangan dengan cikgu Nizar. Cikgu Nizar menjemput Razif duduk di sofa dalam pejabatnya itu. Razif menurut. Namun, anak matanya tidak bertentang dengan anak mata Tengku Ibrahim. Tidak berani.
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih pada Encik Razif kerana datang pada hari ini. Saya Cuma ingin memaklumkan kepada Encik Razif bahawa sekarang cuti semester. Semua pelajar sudah dijemput oleh keluarga mereka. Kecuali Rais. Saya kasihankan Rais. Semalam, seharian dia menunggu Encik Razif datang menjemputnya. Tidak mengapalah, mungkin Encik Razif terlupa tentang hal itu.” Razif masih menundukkan kepalanya. Dia berkira-kira untuk bersuara.
“Encik Razif boleh bawa Rais pulang. Sejak pagi lagi Rais sudah menunggu Encik Razif di ruang menunggu.” Cikgu Nizar mengulas lagi.
“Cikgu, bolehkah jika Rais tinggal di sini sepanjang cuti semester ini?” Soalan yang tidak pernah diduga oleh Nizar. Sepanjang 5 tahun dia berkhidmat di sini, inilah kali pertama soalan sebegitu diajukan kepadanya.
“Saya perlu bekerja. Menyara keluarga. Ibu saya sudah uzur di kampung. Saya tidak pasti samada ibu saya mampu menjaga Rais.” Razif menambah. Bergetar suaranya. Kepalanya langsung tidak diangkat. Nizar membisu. Seketika dia mengajak Razif menuju ke suatu tempat. Laluan itu dipayungi dengan rimbunan pepohon hijau. Lebat. Angin
yang berhembus di situ sempat meleretkan daun-daun kering ke tepi lorong. Di suatu sudut, kelihatan sesusuk tubuh kecil menguis-nguis daun-daun kering dengan tongkatnya.
“Semua manusia di muka bumi ini menginginkan kesempurnaan, Encik Razif. Begitu juga dengan Encik Razif. Pasti Encik Razif mengharapkan dikurnia seorang anak yang sempurna. Cukup sifatnya. Saya yakin, memang itulah naluri setiap ibu bapa. Namun, Encik Razif perlu ingat suatu perkara. Bagi insan istimewa seperti Rais, mereka juga menginginkan kehidupan yang sempurna. Tidak mahu kekurangan sebegitu. Ini takdir. Kita wajib menerimanya. Sebagai bapa, Encik Razif perlu menyempurnakan kekurangan yang dirasai oleh Rais.” Nizar menepuk bahu Razif. Mata Razif tidak berkelip memandang Rais. Entah mengapa. Naluri kebapaannya dicuit pada petang suram itu. Nizar membiarkan dua beranak itu bersua. Dia telah melaksakan tanggungjawabnya.
“Kita balik...” Razif bersuara. Serentak Rais memandang. Mencari suara itu. Pantas dia meluru mencari suara yang sudah lama tidak didengarinya. Dipeluknya tubuh lelaki yang digelar ayah. Dia menangis. Gembira. Sedih. Sebak. Semuanya tidak terkata.
“Rais takut kalau ayah tidak datang menjemput Rais.” Rais bersuara. Esakannya kedengaran. Razif mencapai tangan anaknya. Dibimbitnya beg pakaian Rais. Mereka berlalu menuju ke jalan besar. Rais tersenyum. Digenggam kuat tangan ayahnya itu. Dia pasti tidak mahu melepaskannya lagi. 

Comments

Popular Posts