Nisan Putih (7)

[Episod 7]


Arfa menuruni anak tangga kayu rumahnya. Satu persatu. Dia mencapai pencakar yang diletakkan di bawah rumah. Membersihkan daun-daun kering yang gugur di halaman. Jarang dia melakukan ini semua. Kebiasaannya, jika waktu sebegini, dia akan bersiap untuk ke bandar bertemu dengan cinta hatinya. Namun, kini baginya cinta itu telah mati. Dia ingin memadamkan segalanya. Syukurlah. Yang Esa telah membuka hatinya. Biarlah sejahat mana sekalipun seseorang itu, jika Tuhan mahu manusia itu berubah, pasti tiada halangan yang menjelma. Kun Fayakun. Selesai Arfa membersihkan sekeliling halaman rumah tersebut, Arfa mendekati neneknya yang khusyuk melurut daun kelapa di atas pangkin.
“Rajin cucu nenek sekarang ni,” puji Kalsom. Sejuk hatinya melihat perubahan Arfa. Dia tahu, perubahan itu dilihatnya setelah Arfa esak melepaskan tangisnya di bahu Hany tempoh hari. Dari saat itu, Arfa tidak seperti dahulu lagi. Apa yang lebih melonjakkan hati tuanya, Rais dibelai, diasuh sekasih mungkin. Kalsom benar-benar bersyukur.
“Nenek, Arfa nak tanya nenek sesuatu. Betul ke nenek ada banyak harta?” Terpacul soalan itu dari mulut Arfa. Dia benar-benar ingin tahu. Dia musykil bagaimana Jarir tahu mengenai perkara tersebut sedangkan dirinya langsung tidak tahu menahu mengenai harta yang dimiliki neneknya itu. Arfa menanti jawapan.
“Itu semua dulu, Arfa. Sekarang, ini sajalah harta yang nenek dan kita semua ada. Tanah dan rumah ni.” Kalsom tidak berselindung. Dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa dari cucunya.
“Harta nenek yang dulu, mana?” Kalsom tersenyum mendengar soalan itu dari mulut Arfa. Memang dia mengagak soalan itu yang akan ditanyakan.
“Bukan nenek nak rahsiakan dari Arfa. Cuma nenek tak mahu Arfa salah faham. Semua harta tu nenek dah beri pada ayah Arfa. Hanya dia anak nenek. Kalau bukan pada dia, siapa lagi? Tapi entahlah. Nenek pun tak tahu mana perginya semua tu, Arfa. Nenek tak salahkan ayah Arfa. Ayah banyak tanggungan. Banyak tanggungjawab. Lagipun, waktu Arfa, ayah dan ibu tinggal di bandar dulu banyak pakai duit. Kan? Tak apalah. Yang penting kita bahagia sekarang ni.” Kalsom cuba meyakinkan cucunya. Memang benar banyak harta yang ditinggalkan arwah suaminya dahulu. Namun, oleh kerana Razif mendesak untuk memilikinya, Kalsom terpaksa menyerahkan walaupun niatnya memang ada untuk memberikan semuanya kepada Razif setelah dia tiada nanti. Arfa mengulum senyumnya. Barulah dia faham. Benarlah apa yang dikatakan Jarir. Tetapi usaha Jarir untuk mendapatkan harta-harta tersebut kini hanya sia-sia. Bukan sahaja gagal untuk mendapatkannya, malahan mencium harta-harta tersebut juga hanya akan menjadi mimpinya.
            Razif menyelak jendela biliknya. Anak matanya terpaku pada Arfa dan ibunya yang bersantai di pangkin. Rancakan mereka menggamit Razif untuk turut serta bersama. Sudah lama dia tidak bersantai sekeluarga. Razif menghayun langkah menuju ke pangkin.
“Rancaknya berborak? Sampai tak perasan ayah kat sini?” Razif memicit-micit bahu Arfa. Arfa tersenyum. Begitu juga dengan Kalsom. Tadi, mereka rancak berborak mengenai kenangan Kalsom ketika zaman muda dahulu.  Nenek dan arwah datuknya merupakan di antara mereka yang terawal tinggal di kampung tersebut.
“Dah lama kita tak berkumpul sekeluarga macam ni, kan?” Razif meneruskan bicaranya. Di bibirnya masih mekar dengan senyuman. Bahagia.
“Ayah, salah la. Adik tak ada. Jadi, mana cukup sekeluarga. Ayah dan nenek tunggu di sini. Arfa pergi panggil adik.” Pantas tangan Arfa ditarik. Terhempas punggung Arfa di atas papan keras pangkin tersebut.
“Sakitlah, ayah.” Hanya itu yang keluar dari mulut Arfa. Dia menggosok-gosok pinggulnya.
“Razif? Kenapa tarik anak macam tu?” Giliran Kalsom pula mencelah. Razif cepat-cepat melepaskan tangan Arfa. Dia pun tidak tahu mengapa dia merentap tangan Arfa sebentar tadi. Tetapi... Kenapa Arfa...
“Arfa... Arfa cakap apa tadi?” Razif menyoal kembali. Dia gusar jika gegendang telinganya salah menangkap kata-kata Arfa tadi.
“Ayah ni. Arfa cakap nak pergi panggil adik datang sini. Duduk bersembang sama-sama dengan kita.” Sah. Telinganya tidak salah menangkap apa yang dikatakan Arfa sebentar tadi. Tetapi mengapa? Bukankah selama ini Rais menjadi musuh Arfa? Jangankan menegur, memandang pun ibarat suatu perkara keji yang tidak mungkin dilakukan Arfa.
“Kenapa, Razif? Macam tersampuk hantu.” Pecah gelak Kalsom dan Arfa melihat keadaan Razif yang masih kebingungan.
“Bersyukurlah Razif. Terbuka juga pintu hati Arfa untuk menerima si Rais tu.” Kalsom menambah. Dia mahu Razif juga turut membuka mata. Turut melapangkan hatinya menerima Rais.
“Ayah, Arfa rasa berdosa sangat buat adik macam tu sebelum ni. Pagi tadi, Arfa, nenek dan adik solat sama-sama. Arfa ketuk pintu bilik ayah tapi ayah tak sedar. Adik yang imamkan. Tenang sangat, ayah.” Arfa memeluk lengan Rais. Manjanya tetap seperti dahulu. Razif tawar tersenyum. Bagaimana Arfa semudah itu boleh berubah? Sedangkan dirinya sudah bertahun berusaha memupuk untuk menyayangi Rais. Namun, dia tewas.
“Ayah, boleh ayah bawa Arfa jalan-jalan?” Razif mengangguk. Apa sahaja untuk Arfa. Dia sanggup.
“Kita pergi jalan-jalan petang ni ok?” Arfa memujuk lagi. Razif tersenyum. Tidak mengapalah. Lagipun, esok dia sudah mula bekerja. Cuti 5 hari yang diberikan Zahid ini cukup lama baginya.
“Yahoo...! Kalau macam tu, Arfa pergi beritahu adik.” Pantas Arfa menyarung seliparnya.
“Arfa...! Adik tak boleh ikut.” Bersahaja Razif menuturkannya. Terhenti langkah Arfa. Memaling memandang ayahnya. Sekilas memndang Kalsom yang menjadi pemerhati.
“Kenapa?” Suara Arfa sedikit keras. Dia ingin tahu mengapa Rais tidak boleh ikut bersama dengannya.
“Ayah cakap tak boleh, tak boleh.” Razif meninggalkan pangkin.
“Ayah malu Rais buta?” Kali ini Arfa lantang bersuara. Dia mahu ayahnya tahu apa yang tersirat di dalam hatinya. Ya, dulu Arfa juga begitu. Namun, setelah diteliti Rais tidak boleh disalahkan. Hany orang asing tetapi hatinya dapat menerima Rais. Kesedaran itulah yang membuka hati Arfa untuk menerima Rais.
“Ayah tak mahu tinggi suara pada Arfa. Tolong faham. Adik tak boleh ikut. Arfa pergi siap. Ayah nak pergi pinjam kereta dari Pak Lang.”
“Kenapa ayah nak Arfa faham? Pernah ayah faham apa yang adik nak?” Soalan itu benar-benar menguji kesabaran Razif. Razif memejamkan matanya. Rapat.
“Ayah, tolonglah ayah. Kalau ayah tak mahu beri apa-apa kat Rais, cukuplah sekadar ayah peluk dia, ayah. Itu yang Rais nak.”
“Arfa! Kau jangan pandai nak mengajar aku. Dari kecil sampai besar aku tatang kau. Aku manjakan kau. Bila besar kau nak mengajar aku pula?” Tersentap Arfa mendengar tengkingan itu. Tidak pernah ayahnya bersikap sebegitu. Inilah kali pertama. Kalsom mengurut dadanya.
“Kalau pada ayah Rais bukan anak ayah, bermakna Arfa pun bukan anak ayah...!” Arfa tidak mengalah. Laju kaki Razif dihayun menuju ke arah Arfa. Serentak tangannya diangkat. Padahlah Arfa kali ini.
“Kakak...” Langkah Razif terhenti. Tangannya juga kaku. Tidak diteruskan niatnya untuk mengajar Arfa. Dilihatnya Rais terkebil-kebil di muka pintu. Kalsom pantas menarik Arfa mendekati Rais. Takut jika Arfa dan Rais diapa-apakan Razif.
“Kakak... Tak apa... Kakak jangan paksa ayah macam tu...” Ketiga-tiga beranak itu berendam dengan air mata. Razif hilang entah ke mana. Hilang begitu sahaja membawa barannya. Barulah Arfa tahu bagaimana peritnya Rais menanggung apabila disakiti ayahnya. Sakit. Terlalu sakit untuk ditanggung.

Comments

Popular Posts