Thursday, 30 April 2015

Melancong: Pelaburan atau Peleburan?

Assalamualaikum... Selamat Sejahtera...

 Permulaan untuk tahun 2015. Banyak perkongsian yang tertangguh. Tahun 2015 akublebih banyak memerhati. Antara fenomena atau trend yang agak hangat untuk tahun 2015 adalah melancong. Ya. Aku sendiri agak melompat kecil kalau ada peluang untuk melancong. 

   Untungnya, aku dah jumpa geng untuk ber'backpacker'. Untuk merealisasikan impian untuk melancong. Betul. Nak melancong, nak bercuti perlu dengan orang yang betul dan ada minat yang sama. 

   Melancong pada aku bukan sekadar untuk melepaskan tekanan atau sekadar untuk bergelak ketawa gembira. Melancong ini juga pada pandangan peribadi aku mampu menempelak diri kita yang jarang sekali bermuhasabah untuk mencari jalan pulang.

     Soal kemampuan atau kos melancong itu semua bergantung pada tuannya. Letaklah kayu pengukur sentiasa bersama. Jangan kurang atau lebih seinci. Jika anda bijak, ada tidak akan menyalahkan melancong sebagai aktiviti yang boleh meleburkan wang anda.

    Jika berpeluang melancong, pergilah ke tempat yang boleh membantu anda mencari diri anda. Pergilah melihat kesusahan dan kesempitan mereka di luar sana supaya anda tahu anda adalah manusia yang selayaknya bersyukur. Jika ini tercapai bermakna tujuan melancong anda membuahkan hasil. Bukan sahaja melunaskan minat melancong anda malahan memberi merit kepada motivasi diri.

    Jika anda berpeluang untuk menikmati perlancongan anda di tempat yang indah, yang mungkin kebanyakan orang tidak mampu merasainya, bersyukurlah. Jika ada gambar yang diupload, luahkan rasa bersyukur anda dapat menjejakkan kaki di sana. Satu peringatan, pastikan anda kebal daripada perasaan riak ketika berkongsi sebarang pengalaman ketika percutian anda. Barulah pelaburan dalam pelancongan itu berbaloi. 
   
  Ringkasnya, kita layak untuk beri ganjaran pada diri sendiri setelah apa yang telah kita berhempas pulas selama ini. Jangan takut pada istilah 'reward' diri sendiri kerana kita yang mengawalnya. Jadikan melancong itu satu pelaburan dan elakkan menjadikannya sebagai peleburan.