Nisan Putih (8)
[Episod 8- Akhir]
Kalsom masih memerhati susuk tubuh 2 pemuda yang masih tercegat di belakang
pondok rumahnya. Sejak semalam lagi mereka berdua di situ. Sekarang, matahari
kembali menampakkan wajah. Menganjak bulan menyembunyikan sinar. Ada juga Kalsom memberitahu Razif akan
perkara tersebut. Namun, Razif hanya mengangguk. Katanya, mungkin pemuda berdua
itu menjadikan pondok tersebut sebagai tempat melepak. Mungkin. Kalsom luas
membuka jendela dapurnya. Biarlah. Asalkan pemuda itu tidak memberi gangguan.
“Sampai bila kita nak tunggu di sini Jarir? Aku bosan. Nyamuk pun banyak. Aku
tak boleh tidur semalam. Iqbal melepaskan keluhannya. Kadangkala, menyesal pula
dia bersetuju menemani Jarir ke situ. Konon untuk menambat dan memujuk hati
Arfa kembali. Huh!
“Kalau nenek atau ayah dia nampak macam mana?” Iqbal menyoal lagi. Tidak
berpuas hati dengan kebisuan Jarir.
“Bisinglah kau ni, Iqbal. Aku bengang sangat dengan Arfa sekarang ni. Aku
dah tak ada duit ni. Waktu macam ni lah perempuan ni nak buat hal.” Bentak
Jarir. Mukanya merah padam. Peluh yang semalamnya membasahi baju, kini kering.
Diganti dengan titisan embun yang semakin galak menitis. Apa yang dipentingkan
sekarang adalah untuk memujuk Arfa dan meminta wang dari Arfa. Puas dia
menghantar mesej ke telefon bimbit Arfa. Satu pun tidak dibalasnya. Panggilan
juga sudah berpuluh kali dibuat. Tetap gagal. Dia tahu pasti Arfa telah
mendengar segalanya ketika hari terakhir mereka berjumpa tempoh hari. Dia perlu
mengembalikan keyakinan Arfa terhadapnya. Ya, pasti hati gadis itu kembali
turut pada kehendaknya. Jarir pasti.
“Nenek...” Kalsom tersentak. Perlahan dia mengurut dadanya. Terperanjat
dengan panggilan Rais sebentar tadi.
“Nenek masak apa pagi ni?” Rais bertanya lagi. Dia tahu, waktu begini
Kalsom pasti di dapur menyediakan sarapan untuk mereka sekeluarga.
“Is... Terkejut nenek. Nenek tengah goreng karipap untuk Rais. Rais suka
kan?” Terus Kalsom menuju ke kuali melihat karipap yang digoreng. Hampir terlupa
dia pada karipap tersebut kerana asyik melihat gelagat pemuda di pondok itu.
“Patutlah wangi. Terus berkeroncong perut Rais ni, nenek.” Rais berseloroh.
Kalsom tersenyum. Diusapnya kepala Rais.
“Nenek, sekejap lagi ayah dah balik ke tempat kerja ayah ke nenek?”
“Ayah terpaksa balik ke tempat kerja ayah. Ayah dah cuti banyak hari kan?”
Kalsom menjawab pertanyaan Rais itu.
“Tapi nenek, suatu hari pun ayah tak pernah usap kepala Rais macam nenek
selalu buat.” Hatinya kembali berombak. Sebak setelah Arfa memberitahunya
bahawa Razif akan kembali ke Pontian. Tiada langsung masa yang Razif luangkan
untuk mereka berdua. Petang tadi Arfa dimarahi Razif. Namun, sekejap sahaja
hati Razif kembali sejuk. Sempat Rais melihat dua beranak itu bermaafan malam
semalam. Bilakah dia akan berpeluang sebegitu? Rais bangun. Mengatur tapaknya
ke ruang tamu. Rais terbau asap rokok. Dia tahu Razif ada di situ. Segera Rais
mengambil tempat. Perlahan dia melabuhkan punggungnya di atas sofa. Rais
menunggu Razif menegurnya. Sepi. Rais tetap menunggu. Masih seperti tadi. Rais
berat menghelakan nafasnya. Razif yang sejak tadi memerhatikan gelagat Rais
hanya terpaku. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kekok rasanya jika
Rais dilayan seperti Arfa. Janggal rasanya.
“Rais dah makan ke belum?” Hanya itu yang terlintas di fikirannya. Walaupun
dia tahu anak bongsunya itu masih belum menjamah apa-apa lagi. Rais tersenyum.
Tidak sia-sia usahanya kali ini. Beria-ia dia menggeleng.
“Belum. Nenek tengah goreng karipap. Kita makan sama-sama ya, ayah,” pinta
Rais. Razif tidak memberikan jawapannya. Diterusnya menyelak halaman demi
halaman akhbar di tangannya.
“Ayah, nanti ayah ukirkan batu nisan untuk Rais ya, ayah. Rais nak simpan. Rais
bangun. Terkapai-kapai dia mencari tempat duduk di sebelah Razif. Tanpa sengaja
kaki Rais tersadung pada bucu meja. Terus tubuh kecil itu terhumban ke riba
Razif. Razif segera bangun. Membiarkan tubuh kanak-kanak itu tergolek pula ke
lantai.
“Apa ni? Duduk diam-diam tak boleh ke?” Lantang tengkingan Razif
kedengaran. Kalsom naik ke ruang tamu melihat apa yang berlaku. Pantas dia
mendapatkan Rais yang masih menyembam di lantai papan itu. Arfa turut ke ruang
tamu. Membantu neneknya mengangkat Rais. Razif menapak selangkah dua ke
belakang. Bercekak pinggang sambil mendengus berat.
“Apa buat anak macam ni, Razif?” Kalsom menyoal. Tidak dipandangnya wajah
Razif ketika itu. Matanya hanya tertumpu pada susuh tubuh Rais. Diusapnya muka
Rais yang kelihatan sedikit merah.
“Ayah tipu Arfa. Sampai bila-bila Arfa tak mahu tengok ayah. Ayah penipu!”
Tiba-tiba sahaja Arfa kuat berteriak. Razif terkedu. Dia hanya mampu melihat
Arfa berlari menuruni anak tangga rumahnya. Menjejak tanah basah akibat hujan
semalam. Laju entah ke mana. Razif tidak mampu mengejar. Razif memejamkan
matanya. Telinganya tiba-tiba terngiang mengenai janjinya dengan Arfa semalam.
Mengenai Rais.
“Kalau ayah sayang Arfa dan nak Arfa jadi budak baik, ayah kena janji
dengan Arfa satu perkara.” Razif hanya mengangkat keningnya. Ingin tahu apakah
syarat yang menjadi pengikat janji mereka itu.
“Ayah janji ayah kena sayang Rais sama macam mana ayah sayang Arfa. Jangan
sakiti adik. Ayah kena janji yang ayah akan layan adik dan Arfa sama adil. Jangan
marah-marah adik lagi. Kalau ayah langgar janji ini bermakna ayah tak sayang
Arfa.” Razif hanya mengangguk. Memang dia ada sedikit kelainan apabila bertemu
Rais kali ini. Namun, masih ada batasan yang menghalang. Dia tahu Arfa kini
memarahinya. Marah kerana dia melanggar janji yang diikat semalam.
* * * * *
Dari jauh lagi kelibat itu dikenali Arfa. Hany. Namun, gadis itu tidak
berseorangan. Hany ditemani oleh seorang lelaki. Dan lelaki itu adalah...
Hakimi. Sah! Hany beriringan dengan Hakimi. Laju langkahnya dihayun menuju ke
arah Hany. Begitu juga dengan Hany dan Hakimi. Mereka mempunyai tujuan untuk
bertemu dengan Arfa. Nafas Arfa naik turun tidak sekata. Kini mereka
bertentang. Masing-masing melepaskan lelah.
“Kami baru nak ke rumah kau, Arfa.” Hany memulakan perbualan. Hakimi di
sebelah hanya mengulum senyum. Tidak tahu apa yang perlu dibicara.
“Kenapa kau dan Hakimi boleh...” Soalannya terhenti. Arfa menggigit
bibirnya. Perlukah soalan itu diajukan kepada mereka berdua?
“Aku tahu apa soalan kau. Semua tu tak penting. Yang penting sekarang ni,
aku nak tahu keadaan kau. Ceritalah...” Hany menyigung lengan Hakimi. Hakimi
tersentak. Dia mengusap lengannya itu.
“Arfa, sebenarnya aku yang salah dalam hal ni. Tapi aku tak sampai hati nak
teruskan kerja-kerja macam ni. Aku rasa kasihan pada kau, Hany dan Aiyu.” Arfa
mengecilkan kelopak matanya. Tidak faham apa yang dimaksudkan Hakimi.
“Aku rancang untuk mengenakan kau, Hany dan Aiyu. Dalam hal ni, aku, Jarir
dan Iqbal berjanji akan cuba menggoda kamu bertiga dan... dan pujuk untuk kamu
semua berikan wang untuk kami.” Hakimi menggigit bibirnya. Kepalanya ditunduk.
Malu untuk dia menatap wajah Arfa dan Hany. Serta-merta air mata Arfa mengalir.
Dia benar-benar sayangkan Jarir. Tetapi mengapa begitu mudah Jarir
mempermainkan cintanya? Jadi, memang benarlah apa yang didengarinya tempoh
hari. Hatinya kini benar-benar pedih. Terlalu pedih! Arfa sedar, mungkin ini
balasan Tuhan terhadapnya kerana kejam terhadap Rais selama ini. Memang benar.
Kini dia telah boleh menerima Rais sebagai adik. Namun, tidak pernah terbit
dari bibirnya lafaz maaf kepada Rais. Terlalu banyak bebanan yang ditanggung
Rais selama ini. Arfa mengesat air matanya. Dia berlari anak menuju ke rumah.
Niatnya mahu memohon maaf dari Rais. Memohon ampun kepada Maha Esa agar
menghentikan segala kepedihan yang ditanggungnya kini.
“Rais... Rais...” Dari halaman rumah lagi Arfa sudat melaungkan nama Rais.
Namun, tiada sahutan. Hany dan Hakimi setia membontoti. Mereka tidak tahu apa
yang ingin dilakukan Arfa.
“Rais...” Arfa tidak berputus asa. Kalsom menjenguk dari pintu dapur.
Berkerut dahinya melihat gelagat Arfa. Tidak pernah Arfa beria memanggil Rais
sebegini.
“Kenapa, Arfa?” Kalsom menyoal. Pelik.
“Adik mana, nenek?”
“Eh, bukan dengan kamu tadi? Tadi kawan Arfa datang. Dua orang. Dia cari
Arfa. Tapi nenek cakap Arfa keluar. Terus ditanya mereka siapa Rais tu. Nenek
beritahulah itu adik kamu. Berborak mereka dengan Rais di pangkin tadi.” Arfa
segera menoleh ke pangkin. Kosong.
“Dah tak ada. Rais minta izin pada nenek tadi nak ikut kawan Arfa pergi
cari Arfa. Ada hal penting katanya.” Arfa, Hany dan Hakimi saling berpandangan.
“Kawan Arfa itu dua-dua lelaki ya, nenek?” Soal Hany pula. Hatinya tidak
tenang.
“Mesti Jarir dan Iqbal! Apa yang mereka buat dengan adik kau, Arfa?”
Giliran Hakimi pula bersuara. Serentak, kedengaran suara jeritan di belakang
rumah. Sayup tidak sekata. Rais. Ya, itu suara Rais. Seketika, kedengaran pula
suara Razif meminta tolong. Laju Arfa, Hany dan Hakimi menghayun langkah. Meredah
denai kecil di belakang rumah Arfa. Kalsom jauh ketinggalan di belakang. Usia
tuanya membatasi pergerakannya.
Air sungai deras mengalir. Anak mata Arfa sempat menangkap kelibat dua
pemuda yang berusaha melarikan diri melalui denai-denai sepanjang sungai
tersebut. Dia tidak menghiraukannya. Matanya kini liar mencari kelibat Rais.
“Cari Rais...!!!” Jerit Arfa kepada Hany dan Hakimi. Mereka berdua hanya
mengangguk. Bersama-sama melaungkan nama Rais. Seketika, Hakimi menjerit
memanggil Arfa. Kelihatan Hakimi menggunakan seluruh tenaganya menarik Rais
menggunakan ranting ke tebing. Kanak-kanak itu menggigil kesejukan. Pantas
Kalsom memeluk tubuh Rais yang kesejukan. Arfa melihat air sungai yang melebihi
dari paras biasa. Hatinya sebak. Ditarik Rais ke dalam pelukannya.
“Kak Arfa minta maaf, Is. Kakak janji takkan sakiti Rais lagi.” Rais
menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia diminta dilepaskan.
“Kakak, ayah mana? Tadi ayah selamatkan Rais, kak... Ayah cakap ayah sayang
Rais. Mana ayah, kak?” Terpinga-pinga mereka yang berada di situ. Arfa bangun.
Berjalan seiring arus deras sungai itu. Mencari kelibat ayahnya. Tiada. Arfa
memandang kakinya. Dia terpijak sesuatu. Ya, dia tahu. Itu baju ayahnya yang
dipakai sebelum dia keluar dari rumah sebentar tadi. Ini bermakna...?
“Ayah... Ayah... Arfa minta maaf ayah...!” Lantang suara Arfa kedengaran.
Lemah lututnya. Dia tidak mampu berdiri lagi. Segalanya goyah. Pandangan Arfa
gelap.
Janji aku...
Aku tidak pernah menghargai apa
yang Tuhan berikan pada aku. Ramai berkata, Rais anugerah Tuhan yang tidak
terhingga kepadaku. Namun, aku tidak pernah merasakan kebenarannya. Tadi,
anakku Arfa meminta aku berjanji untuk membahagiakan keluarga kami. Meminta
agar aku melayan Rais sama seperti mana aku membelai dan menyayanginya. Aku
turuti janjinya. Aku akan cuba memberikan yang terbaik. Kadangkala, anak yang
akan membuka mata dan fikiran kita mengenai kebenaran. Terima kasih Arfa.
Terima kasih Rais. Sekurang-kurangnya, ayah boleh tersenyum melihat kegembiraan
kamu berdua. Walaupun senyuman itu ayah tidak biaskan di hadapan kamu berdua.
Arfa, pegang pada janji Arfa, belajar rajin-rajin. Jaga adik dan nenek. Jika
umur ayah panjang, ayah nak sangat tengok Arfa ke menara gading. Rais, andainya
umur ayah tidak panjang, anugerah Tuhan ini akan menjadi milik Rais. Ayah mahu
Rais boleh melihat sama seperti manusia lain. Kornea mata ayah ini untuk Rais.
Ayah menghalalkannya. Tanda penyesalan ayah kerana mengabaikan Rais selama ini.
Emak, terlalu banyak perkara yang Razif merunsingkan hati mak. Razif mohon
maaf. Sejak Razif melihat emak dan Rais sujud di sejadah tempoh hari. Terdetik
hati Razif untuk sujud kembali pada yang Esa. Razif terlalu lalai. Razif hanya
inginkan kebahagiaan. Razif akan cuba berubah untuk keluarga kita.
*Thnks for reading... ;)
wuhuuuu... mcm mna blh tulis camni eh? bgs2.. tulis byk2 lagi k.. best... :)
ReplyDelete