Saturday, 10 November 2012

Mr. MUS...

Mendatar...
Lama kelamaan rasa ada gelombang, ada detak,
Tapi jauh,
Entah di sudut mana ia tersepit.
Rasa sakit tersepit mudah dijentik,
Ditepis hanya dengan hujung jari,
Tapi untuk meratakan kembali gelombang, untuk memujuk kembali detak supaya sembunyi seperti dulu,
Mustahil.
Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.

Thursday, 8 November 2012

JERIJI IMAN


*This here my first adaptation short story from my first script. Enjoy your reading guys*       

          Tubuh Yafis menikus di penjuru bilik bersegi itu. Air kosong di tangannya diteguk. Perlahan air tersebut mengalir ke kerongkong. Sejuk. Seketika, buah pinggang yang telah memproses air tadi menyalurkannya terus ke pundi kencing. Yafis memandang seluarnya dengan mata yang kuyu. Lelehan air kuning mula melimpahi lantai simen lapik punggungnya. Gigi Yasif terkancing rapat. Keharingan semakin rancak mengisi ruang sempit bilik itu, terus menusuk tajam ke rongga hidungnya. Air kuning yang berlimpahan itu ditenung lama oleh Yafis. Segera air itu menjadi limpahan pekat berwarna merah. Dia melihat bayangan pada limpahan air itu. Bayangan yang memanggil diri serta menggamit hatinya setiap kali dia berada di dalam keadaan resah sebegini.
“Kau milik ibu dan ayah, Yafis,” suara itu telah membawa memori Yafis ligat menggambarkan wajah kedua orang tuanya. Tiada khabar, tiada salam yang dikirim oleh mereka setelah dia tercampak di bilik sempit ini. Hanya Pak Tua yang selalu menjenguk, menatang dirinya sama seperti dahulu.
“Kau milik kami, Yafis. Kami masih memerlukan kau,” suara itu pula bergema dan bersilih menggantikan suara tua ibu bapanya. Dia mengenali suara-suara yang bergema itu. Suara-suara yang sering mengagungkannya suatu ketika dahulu.
“Marilah. Jika aku masih diperlukan, keluarkan aku dari neraka dunia ini. Jadikan aku Yafis yang kamu semua kenali dahulu,” Yafis melawan suara-suara yang pesat menerjah kotak imiginasinya.
“Kau milikku, Yafis. Kau berhembus nafas dengan megah atas tunjuk ajarku padamu selama ini. Aku pasti kau takkan sesekali lupa pada siapa kau pernah berjasa,” suara serak tua itu mula menampar gegendang telinganya. Yafis melutut lemah di atas limpahan air kuning sambil kelopak matanya mula mengalirkan air jernih tanpa henti. Budi Pak Tua takkan dapat digalang ganti oleh sesiapa. Yafis membongkokkan badannya merapatkan dahi ke lantai bilik sempit itu. Diulangnya tanpa henti.
“Allah.. Allah... Allah... Allah.. Allah... Allah...” Bisikan perkataan itu tiba-tiba menyapa cuping telinga Yafis. Sujudnya pada Pak Tua terhenti seketika. Dia pernah mendengar perkataan itu sebelum ini tapi dia tidak pernah tahu mengapa perkataan itu sering meniti di bibir mereka. Bisikan itu tidak mampu menghentikan sujud Yafis pada Pak Tua yang dipujanya.
*          *          *          *          *
            Kelihatan 5 orang pemuda sedang berlari melalui lorong kawasan elit. Siren polis kuat kedengaran. 3 orang kanak-kanak berusia 10 tahun keluar tergesa-gesa dari sebuah kelab malam sambil menjinjing bungkusan makanan segera. Mereka bertiga berhenti di muka pintu kelab malam sambil melihat 5 orang pemuda sedang melarikan diri daripada pihak polis.  Orang yang lalu lalang di lorong elit itu memberi laluan kepada pemuda-pemuda yang cuba menyelamatkan diri tersebut.
Yafis tidak menghiraukan mereka yang tegak berdiri di kiri dan kanan jalan. Dia berlari sekuat hati dan memandang ke belakang. Ramai pengikutnya yang tersungkur di tangan pihak berkuasa. Dada Yafis berat.
*          *          *          *          *
            Suasana di dalam bilik tidur kelihatan malap. Di cermin meja solek kelihatan gambar perkahwinan Zizan dan Mona silih berganti. Jari Mona menggerakkan gambar-gambar di cermin tersebut secara ‘slide’. Zizan duduk di birai katil. Anak matanya melekat di tubuh Mona. Tangisan Mona meluluhkan hati lelakinya.
“Kau dah cukup kenal diri aku, hati budi aku, Mona. Apa saja yang kau nak, aku tunaikan. Tapi permintaan kau kali ni aku betul-betul tak dapat tunaikan. Keputusan yang aku buat ni untuk kebaikan kita. Bukan untuk kepentingan diri aku sendiri,” Zizan cuba mencari keyakinan yang mampu mengukuhkan kepercayaan Mona terhadap niatnya.
“Aku tak tahu apa yang menghalang untuk kau sempurnakan keluarga kita sama seperti keluarga orang lain.” Airmata Mona masih laju meluncur mencari dasar.
“Tapi kita tak sama, Mona. Tak sama macam keluarga orang lain.”
“Apa yang membezakannya, Zizan? Kali ni bukan kali pertama kau paksa aku untuk gugurkan kandungan. Dah berkali-kali. Kalau dulu, aku boleh turut apa saja kemahuan kau. Alasannya, kita belum berkahwin. Sekarang? Apa alasannya lagi, Zizan? Anak dalam kandungan aku ni atas hasil perkahwinan kita sekarang. Aku nak anak!” Bentak Mona. Zizan mendekati. Tubuh Mona dirangkul. Zizan tahu dia terlalu memaksa isterinya menggugurkan kandungan itu. Dia terpaksa. Dia tahu berdosa bagi sesiapa yang menggugurkan kandungan tanpa sebab. Dia pernah mendengar hukum itu dari beberapa kawannya yang telah kembali ke pangkal jalan. Namun, dia lebih sanggup menanggung hukum dosa itu dari membiarkan anak yang bakal dilahirkan nanti menjadi seorang yang buta agama, jahil akidah sepertinya, seperti isterinya. Dia benar-benar takut. Zizan melepaskan tangannya dari terus merangkul bahu Mona. Perlahan memberikan Mona peluang untuk membuat keputusan.
            Terbit perasaan menyesal dari jauh sudut hati lelakinya. Sejak kecil, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah berbumbungkan kubah. Rumah yang menjadi tempat segelintir manusia mencari ketenangan. Dia tidak tahu apakah kuasa kubah itu yang mampu mengubah hidup sebilangan rakannya yang dikatakan telah mendapat hidayah setelah bertandang ke rumah tersebut. Hatinya benar-benar runtun. Dia ingin menyelami rasa ketenangan itu. Zizan melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi yang menghadap dinding kaca di ruang tamu rumahnya. Dia mencapai alat kawalan jauh dan menghalakan ke arah dinding kaca selebar 70 inci di hadapannya. Muncul meja logam dengan terletak papan kekunci di atasnya dari sebelah kiri tempat duduk. Zizan menaip beberapa abjad pada papan kekunci di ruang carian pada skrin. Perkataan yang menjadi pengisi pada kad pengenalannya.
‘I         S          L         A         M’
Zizan teragak-agak untuk menekan butang ‘enter’. Zizan hanya memandang skrin besar dihadapannya dengan pandangan kosong. Dia memerhati cahaya yang terdapat pada skrin tersebut. Serta-merta cahaya itu menerjah masuk ke dalam anak matanya.
*          *          *          *          *
Zizan melabuhkan punggungnya di atas ‘boot’ kereta. Muhammad yang merupakan seorang cina muallaf tersenyum memerhatikan raut wajah Zizan. Dia tahu ada sesuatu yang terpendam di benak hati sahabatnya itu.
“Hidup aku tak pernah tenang untuk sesaat. Jujur, aku teringin nak rasa tenang macam mana kau rasa sekarang.” Zizan meluahkan. Dadanya terasa berat. Sebak. Muhammad menghampiri Zizan dan bersandar pada kereta milik Zizan. Jari telunjuknya di arah pada masjid. Kubah masjid yang berada tidak jauh di hadapan mereka kelihatan samar-samar akibat jerebu.
“Kau nampak kubah masjid tu? Kau tahu apa yang ada di dalam masjid?” Muhammad menyoal. Zizan memandangnya kosong. Dia menggeleng. Kemudian pandangannya terarah pada kubah masjid yang berada di hadapannya.
“Masjid sebesar ini jarang sekali ditandang, Zizan. Tempat ini akan penuh bila manusia perlukan perlindungan. Apa yang kau lalui sekarang sama macam aku dahulu. Waktu aku jahil tentang pendirian agama aku. Waktu aku mula mencari ketenangan. Situasi kita sama.” Muhammad meyakinkan Zizan. Dia memahami situasi sahabatnya itu. Sebolehnya dia mahu meramaikan makmum di masjid ini. Mahu Zizan mendekatkan diri pada Rabb.
“Situasi kita lain, Muhammad. Aku dilahirkan sememangnya sebagai Islam.” Zizan menolak kata-kata Muhammad sebentar tadi. Ya, memang situsi mereka tidak sama. Dia malu. Sememangnya dia dilahirkan sebagai Islam. Namun, Muhammad yang terlebih dahulu membuka hati menerima Islam.
“Tapi kau tak pernah amalkan apa yang disuruh Islam. Bukankah itu sama sahaja?” Sengaja Muhammad memancing Zizan dengan soalan sebegitu. Dia mahu Zizan berfikir. Mahu Zizan melihat dengan mata hati tentang keagungan Rabb. Zizan mendongak ke langit.
‘Dan patutkah mereka berdegil tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba dengan berbagai-bagai bencana pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat dan insaf?
Satu cahaya muncul dari langit dan menusuk terus ke anak mata Zizan.
*          *          *          *          *
Zizan tersentak dari tempat duduknya di hadapan skrin 70 inci. Dia meraup wajah beberapa kali. Kedengaran bunyi mesej diterima dari peti masuk e-mail Zizan. Di skrin hadapan Zizan kelihatan  ‘1 mesej diterima’. Jari Zizan menggerakkan tetikus dan menghalakan ‘arrow’ ke arah peti masuk sebentar tadi.
Zizan mengecilkan anak matanya membaca mesej itu. Mulut Zizan terkumat-kamit membaca sesuatu di skrin. Dia kemudiannya tersenyum. Dia bingkas bangun dan melebarkan langkah mencari Mona. Pintu bilik dikuak. Dilihat Mona sedang menahan tangis di birai katil. Terdapat bekas-bekas air mata di hujung kelopak matanya.
 “Mona, aku minta maaf. Aku janji takkan biarkan kau menangis macam ni lagi. Pandang aku, Mona. Aku akan bahagiakan kau,” pujuk Zizan. Tangan Mona digenggamnya  dengan penuh rasa kasih. Tangan lembut itu perlahan ditarik dan diletakkan di bibirnya. Pantas Mona merentap tangannya dari dikucup oleh Zizan.
“Tiada apa yang boleh buat aku bahagia selain daripada aku melahirkan anak dalam kandungan aku ni,” tegas Mona memperingatkan Zizan tentang kemahuannya. Zizan tersenyum. Mengangguk menandakan memberi keizinan kepada isterinya untuk melahirkan zuriat mereka. Mona memandang Zizan meminta kepastian. Zizan mengangguk sekali lagi. Dia yakin setelah membaca mesej dari peti masuknya sebentar tadi. Seseorang yang menawarkan diri untuk mengasuh, mendidik dan membentuk anak yang masih kecil menjadi seorang yang disegani. Dia tidak kisah berapa yang perlu dibelanjakan, yang perlu dikeluarkan untuk menjadikan anaknya disegani. Seluruh keyakinannya terletak pada ‘orang’ tersebut.
*          *          *          *          *
            Engsel jeriji berselisihan. Pantas kelopak mata Yafis dibuka. Limpahan air tadi sudah kering. Yang tinggal hanyalah bau haring yang masih menusuk. Yafis melihat seorang lelaki memegang belantan berdiri di hadapan jeriji bilik sempitnya.
“Yafis bin Azizan?” Soal pengawal penjara tersebut. Yafis mengangguk. Tangan Yafis digari kedua-dua belahnya. Pengawal tadi berjalan di hadapan dan seorang lagi pengawal berjalan dibelakangnya. Yafis ditempatkan di bilik melawat penjara tersebut. Wajah Pak Tua dilihat dari jauh. Dia menghampiri. Mengangkat gagang yang telah disediakan.
“Pak Tua,” panggil Yafis sayu. Dia memohon simpati melepaskannya dari jeriji besi yang mengurungnya. Pak Tua merenung anak mata Yafis dengan mata kanannya. Kelopak mata kirinya yang tertutup dilihat bergerak-gerak.
“Aku ke sini sekadar untuk memberitahu kau. Ibu dan ayah kau dah meninggal dunia.” Mata Yafis terbuntang. Dia menyesal. Sangat menyesal kerana tidak menunaikan apa yang dihajati oleh ayahya. Ayah serta ibunya sangat jahil tentang ilmu agama. Berkali-kali ayahnya meminta untuk Yafis mengajarkannya bagaimana untuk bersolat. Namun, tidak terdetik sedikit pun di hati Yafis untuk mempelajarinya. Pak Tua juga tidak pernah dilihatnya melakukan perbuatan itu.  
*          *          *          *          *
Yafis sedang berbaring di ribaan Mona. Dia menukar saluran rancangan pada skrin selebar 70 inci di hadapannya dengan menggunakan alat kawalan jauh. Mona berkaca mata dan beruban mengusap rambut Yafis.
“Kau sayang aku, Yafis?” Mona tiba-tiba menyoal. Soalan itu menggariskan senyuman di bibir Yafis.
“Mestilah aku sayangkan kau. Kau yang lahirkan aku. Kan? Apalah soalan kau ni, Mona.” Yafis tergelak. Tiada panggilan mesra yang meniti di bibir Yafis kepada Mona dan Zizan.
“Dulu sebelum kau lahir, aku dan Zizan selalu fikir macam mana nak jadikan kau seorang yang berguna.” Mona berterus-terang. Masih jelas saat dia dan Zizan bertegang urat untuk mengekalkan zuriat ini.
“Jadi, sekarang pada kau aku sudah jadi seorang yang berguna ke tidak?” Sengaja dia bertanya. Sekadar berbasa-basi.
“Kau sama seperti Zizan. Cuma bezanya kau lebih bijak,” Mona tersenyum. Jujur. Itu yang mampu diperjelaskan kini. Apa yang dilihat, apa yang dirasa, itulah yang diluahkan. Kata-kata Mona itu mengundang tawa Yafis. Tepat dia memandang Mona.
“Kau mengata suami kau sendiri.” Saki-baki tawa masih kedengaran.
“Tapi, aku masih harapkan kau jadi seorang yang lebih baik dari sekarang.” Senyuman Yafis mengendur selepas mendengar kata-kata Mona itu. Seketika, kehadiran Zizan yang telah menjengah separuh abad menggamit tumpuan Yafis dan Mona. Di tangan Zizan terselit sebuah buku. Zizan tidak menunggu lama. Dia menyerahkan buku tersebut kepada Yafis.
“Aku mengharapkan kau untuk membimbing kami,” Zizan mengemis jasa kepada anaknya sendiri. Yafis bingkas bangun dari ribaan Mona. Buku yang dihulur Zizan disambut. ‘PANDUAN SOLAT’. Tulisan di buku itu membuatkan jantung Yafis berdegup laju. Entah mengapa. Yafis kemudiannya menyelak helaian demi helaian. Cuba menghayati isi kandungan yang dia sendiri buta untuk mentafsir.
“Aku janji aku akan bimbing kau dan Mona. Aku perlukan masa.” Yafis memberi harapan. Sungguh! Dia langsung tidak memahami apa yang terkandung di dalam buku tersebut. Dia memerlukan masa.
“Pada kau sahaja kami boleh bergantung harap. Aku dan Mona jahil. Langsung tidak tahu tentang agama kita.” Sekali lagi Zizan merayu.
“Jangan risau. Aku akan minta tolong dari Pak Tua. Pasti dia tahu tentang semua ini.” Yafis cuba membuang kegundahan di hati Zizan.
“Jangan! Aku takut jika kau disakiti Pak Tua. Aku pernah lihat bagaimana Pak Tua menyeksa mereka yang cuba mendekati agama kita.” Kekalutan Mona menggamit resah Yafis. Dahinya berkerut. Memastikan apa yang didengarnya dari mulut Mona sebentar tadi tidak tersalah.
“Bagaimana kau boleh membelakangi Pak Tua? Bukankah Pak Tua yang memberi tunjuk ajar pada kita selama ini?” Yafis menyoal. Zizan dan Mona saling berpandangan. Sukar untuk mereka menjelaskan apa yang tersirat kini.
“Aku dan Mona tahu. Memang Pak Tua yang selama ini memberi kesenangan kepada kita. Tetapi hati aku yakin menyatakan bahawa Pak Tua juga tidak mampu untuk membimbing kita mendekati agama.” Mahu atau tidak, Zizan terpaksa berterus-terang. Dia tahu Yafis adalah pengikut setia. Tidak pernah menolak apa yang diatur Pak Tua. Salah mereka. Menyerahkan Yafis bulat-bulat pada orang tua itu.  
Yafis bersandar di sofa. Dia mendongak dan memandang cahaya lampu yang tergantung di siling. Cahaya tersebut menusuk ke anak matanya.
*          *          *          *          *
Yafis yang sedang bersandar di kerusi tiba-tiba tersentak. Nafasnya turun naik. Dia memandang Pak Tua yang masih ada di hadapannya. Air mata Yafis mengalir. Dia menarik rambutnya berkali-kali. Wajahnya tertunduk ke bawah.
“Yafis yang aku didik dahulu bukan seorang yang lemah seperti ini. Kau sekarang sedang diuji. Kau perlu pertahankan apa yang kau ada. Bukan mengambil sesuatu yang kau tak pernah tahu selama ini. Ramai yang akan sesatkan kau di dalam penjara ini, Yafis. Kau perlu pertahankan apa yang aku telah ajar pada kau selama ini.” Pak Tua keras menuturkannya. Dia tidak mahu Yafis yang ditatangnya selama ini tunduk kepada hukum yang bukan berada di bawah telunjuknya.
“Pak Tua, kenapa tuhan mengambil nyawa Mona dan Zizan? Sedangkan di sini aku diajar berdoa untuk memohon apa yang dikehendaki. Aku masih memerlukan mereka,” bergetar suara Yafis menahan hiba. Pak Tua tersenyum. Hanya dia yang mampu mengembalikan senyuman Yafis.
“Aku tahu kau masih memerlukan mereka. Aku boleh mengembalikan mereka sepertimana yang kau mahukan. Aku juga tahu kau masih memerlukan aku untuk mengeluarkan kau dari sini. Yafis, aku memerlukan semangat kau yang dulu. Jika ibu dan ayah kau dihidupkan kembali, jika kau dikeluarkan dari jeriji besi ini, bolehkah kau kembali kepada aku sama seperti dahulu?” Soal Pak Tua. Yafis mengangguk perlahan. Dia sanggup.
            Yafis merenung kosong atap batu yang menghiasi matanya. Berjurus-jurus dia termenung memikirkan penyelesaian. Mampukah Pak Tua mengembalikan ibu dan ayahnya? Bolehkah dia dikeluarkan dari jeriji besi ini? Mustahilkah semua ini? Yafis memejamkan rapat matanya. Buntu.  Seketika, bilik kecil itu bergegar. Suara orang meminta tolong riuh-rendah kedengaran di sana sini. Dari bilik sempitnya, Yafis dapat melihat cahaya kilat menerjah masuk ke ruang yang mampu ditembusi. Gegaran tersebut semakin kuat. Yafis berdiri dan menggoncang jeriji besi untuk menyelamatkan dirinya. Tiada siapa yang peduli.
            Perlahan Yafis membuka kelopak matanya. Perit. Dia melihat tanah tempat jejaknya kini. Berpasir. Kawasan tersebut beralun serta terik panasnya membuatkan telapak kaki Yafis menipis. Tekaknya merintih menginginkan setitis air. Yafis terdengar deru angin yang memintal debu-debu pasir membentuk puting beliung kecil. Deru angin itu tidak dihiraukannya. Cuping telinganya menangkap bunyi gaungan suara yang entah dari mana datangnya. Yafis memandang sekeliling. Dari pasir yang beralun di hadapannya, kelihatan sekumpulan manusia mengiringi seseorang yang mengetuai perjalanan itu. Yafis menggagahkan diri untuk berada di kelompok itu. Langkahnya luas dibuka. Semakin dekat dirinya dengan kelompok itu, semakin jelas kedengaran laungan mereka yang berada di kelompok tersebut.
“Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih!”
Yafis memberhentikan langkahnya. Dia mengenali segelintir mereka yang berada di dalam kelompok itu. Dia memanggil. Namun, suaranya tidak dapat menandingi gema laungan kelompok besar itu. Tiba-tiba kelompok itu menghentikan perjalanan mereka. Jauh di hadapan kelihatan seorang lelaki berumur berjubah putih bersama kelompoknya sendiri menghalang perjalanan kelompok Dajal Al-Masih.
“Mengapa kamu semua menghambakan diri pada Dajal Al-Masih? Sedangkan Allah yang menghidupkan serta mematikan kamu,” laung lelaki berjubah putih yang mengetuai kelompok manusia di sebelah sana.
“Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih! Dajal Al-Masih!” Semakin lantang laungan itu kedengaran.
“ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!” Laung lelaki berjubah putih itu sambil diikuti oleh kelompok manusia di belakangnya. Yafis menapak ke hadapan. Tidak mahu terlepas dari mengikuti perbalahan yang langsung tidak diketahui dari mana puncanya. Yafis berjaya memboloskan dirinya. Kini, dia hanya berjarak beberapa meter sahaja dari ketua yang mengiringi kelompok Dajal Al-Masih. Yafis meneliti bentuk fizikal ketua di hadapannya. Dia seperti mengenalinya.
“Aku mampu memberikan kemewahan dan ketenangan pada mereka yang meminta kepadaku. Juga kamu semua. Aku mampu menjadikan kamu manusia yang disegani dengan limpahan kemewahan yang tidak pernah kamu kecapi. Lihat mereka di belakangku. Aku dijadikan sebagai tempat meminta,” ketua tersebut bersuara. Kelompok di sebelah sana mengundur beberapa langkah kebelakang. Terdengar laungan yang tidak Yafis fahami akan maksudnya.
“Nau’zubillah! Allahuakbar!” jerit ketua dari kelompok sebelah sana.
“Wahai makhluk Allah di muka bumi. Dengarlah, tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Kepada Allah tempat kita memohon. Tuhan manusia tidak cacat. Yang cacat hanyalah Dajal Al-Masih. Mata kirinya buta, kanannya celik namun ia menjadi hitam. Dajal wujud di hadapan kamu semua membuktikan kiamat semakin hampir. Kembalilah wahai hamba Allah. Kembali menyembah pada yang Esa,” lelaki itu meyakinkan kelompok Dajal Al-Masih. Yafis menapak beberapa langkah ke hadapan. Kini dia benar-benar berada di tengah-tengan antara kelompok Dajal Al-Masih dan kelompok yang mengagungkan Allah yang Esa. Yafis memerhati wajah yang menjadi penaung kelompok Dajal Al-Masih.
“Pak Tua!” Lantang suara Yafis dilontarkan. Hatinya bersorak gembira melihat insan yang dikaguminya selama ini berada di hadapan mata. Namun, langkahnya terhenti setelah mengimbas segala percakapan yang diucapkan oleh lelaki berjubah putih sebentar tadi. Yafis pernah mendengar mengenai keagungan, kewujudan serta kekuasaan Allah Taala. Dia juga pernah mendengar mengenai kewujudan Dajal yang menandakan kiamat hampir tiba. Namun, kenapa Pak Tua dikatakan Dajal?
“Anak muda, masih belum terlambat jika kamu mahu menyertai kami untuk menyelamatkan hamba Allah yang jauh tersesat. Pilihan sekarang di tangan kamu,” pujuk lelaki separuh usia itu.
“Tapi, saya tak pernah menyembahNya sebelum ini. Saya jauh tersesat. Saya cuba mencari jalan keluar, cuba mencari ketenangan jiwa. Tapi saya gagal,” Yafis menjawab.
“Allah Maha Pengampun. Allah juga sentiasa membuka ruang taubat kepada hamba-hambaNya. Ayuh, anak muda,” jelas lelaki berjubah itu lagi.
“Aku tahu kau sangat haus. Ambil air ini dan berdiri di belakangku,” ujar makhluk yang dikatakan Dajal Al-Masih itu.
“Dajal akan menyesatkan manusia dengan memberikan kekeliruan pada mereka. Jika air yang menjadi permintaan kepada Dajal, maka api yang akan dihulurkannya. Kembalilah kepada Allah Maha Esa. Pohonlah padaNya,” lelaki berjubah putih itu tegas berkata-kata. Yafis tidak melangkah walaupun setapak. Air yang dihulurkan oleh ‘Pak Tua’ langsung tidak dipandangnya.
“Besarkah kuasanya hingga mampu menghidupkan mereka yang telah mati?” Soalan itu terpacul dari mulut Yafis. Seorang lelaki muncul dari belakang Dajal Al-Masih. Mengiyakan apa yang disoalkan oleh Yafis sebentar tadi. Katanya, dia terpegun melihat Dajal Al-Masih menghidupkan kembali isterinya. Yafis serta-merta teringatkan janji Pak Tua yang ingin menghidupkan kembali ibu dan ayahnya.
“Tiada siapa yang terlepas dari kematian. Termasuk Dajal Al-Masih yang kamu agungkan. Yang baqa’ hanyalah Allah Taala.” Ujar lelaki beriman itu lagi meyakinkan semua yang berada di situ.
“Adakah kau akan percaya atas kekuasaanku jika aku mematikan dan menghidupkan kau semula?” soal Dajal Al-Masih.
“Imanku, yakinku hanya berserah serta bertawakal kepada Allah,” jawab lelaki beriman itu dengan nada yang tegas. Pantas Yafis ditarik oleh Dajal Al-Masih dan dibunuhnya. Tubuh Yafis dibaringkan di permukaan padang pasir itu. Mata Yafis mulai tertutup rapat bersama nyawanya yang kian terlerai dari badan.
“Innalillahiwainnailaihirajiun...” Kalimah tersebut terpacul dari mulut kelompok lelaki beriman itu tadi.
Bahang panas menyedarkan Yafis dari lelapan matanya. Dia tidak tahu di manakah dia sekarang. Inikah yang dikatakan sebagai alam barzakh? Gegendang telinganya menangkap bunyi jeritan manusia. Ada di antara suara-suara tersebut yang memohon keampunan Allah Taala. Di nerakakah mereka? Bahang di kawasan tersebut semakin terasa. Kini, semakin panas. Yafis semakin tidak mampu menahan kepanasan tersebut. Dia melihat kulit-kulit tangannya yang bertukar kemerahan. Kulitnya semakin menegang dan melepuh mengeluarkan cecair merah. Yafis sudah tidak mampu melangkah. Dia melutut di situ dengan mata terpejam.
            Seketika, dia membuka matanya. Yafis bangun. Berundur beberapa tapak ke belakang. Dia kini berada di dalam masjid. Tempat yang sangat janggal baginya. Dia termangu sendiri. Bunyi riuh-rendah di luar masjid menambahkan kegusarannya. Dia pasti dia pernah bertandang ke situ. Tetapi bila? Kelihatan seorang lelaki pertengahan 60-an sedang menuju ke pintu masuk masjid untuk melihat apa yang berlaku di kawasan luar masjid tersebut. Yafis mengekori.
            “Maafkan saya. Boleh saya bantu kalian?” Ustaz Fatah yang berada di pintu masuk masjid bertanya. Senyuman terukir di bibirnya. Kekecohan yang dibawa oleh mereka di luar masjid tersebut langsung tidak menggugat imannya.
            “Aku dan semua orang di sini nak kau bawa pengikut kau keluar dari tempat ni!” Pak Tua menengking. Wajahnya langsung tidak menunjukkan belas. Ustaz Fatah memandang mereka yang berada di belakang Pak Tua. Masing-masing menjulang senjata di tangan. Menakutkan dirinya supaya tunduk dengan apa yang dikata.
            “Tiada sesiapa yang menjadi pengikutku.” Jujur. Ustaz Fatah memohon pertolongan daripada Rabb. Meminta dirinya dilindungi dan rumah Allah tersebut dipayungi.
            “Penipu! Yafis! Kau pergi tengok apa yang ada di dalam tu! Bawa semua barang-barang orang tua ni keluar dari sini.” Pak Tua bersungguh. Baginya, manusia seperti Ustaz Fatah inilah yang akan mematahkan segala rancangannya. Tidak mungkin. Orang tua ini mesti dihapuskan.    
Wajah Yafis berkerut. Kelihatan seorang lelaki miripnya muncul dari belakang Pak Tua. Lelaki tersebut melangkah masuk ke dalam masjid tanpa membuka kasut. Menurut segala arahan yang dilontar Pak Tua. Langsung tidak menghormati rumah ibadah tersebut. Bayangan Yafis sebentar tadi menuju ke rak buku. Yafis membuntuti. Memandang bayangan tersebut menggeledah setiap ruangang rak itu.
“Astaghfirullah... Hamba Allah, ini merupakan rumah Allah. Tempat berkumpulnya umat Islam. Tiada larangan kepada sesiapa untuk mendekatinya.” Ustaz Fatah cuba membersihkan hati manusia di hadapannya. Mengharapkan keajaiban agar Allah membuka pintu mereka.
Yafis hanya mampu menjadi pemerhati. Pandangannya kepada Ustaz Fatah dimatikan. Anak matanya kini tertumpu kepada susuk tubuh yang berada di hadapannya kini. Dia sebak. Dadanya tiba-tiba terasa berat. Matanya terasa panas. Ya, ada cecair yang mengalir. Dia sedar. Dia pernah melakukan apa yang sedang dilakukan oleh bayangan di hadapannya kini. Bergetar tangan Yafis cuba menyentuh wajah bayangannya itu. Sia-sia. Tubuh bayangan di hadapannya itu langsung tidak dapat disentuh. Yafis melutut. Dia takut. Seluruh tubuhnya menggigil. Dia sujud di lantai masjid tersebut. Tangannya memekup telinga.
Suasana kini sepi. Tiada lagi laungan manusia. Tiada lagi hiruk-pikuk mereka di luar masjid. Yafis bangun dari sujudnya. Dia melihat suasana di sekeliling. Tiada lagi susuk tubuh Ustaz Fatah. Di hadapannya kini hanya terpaku dua susuk tubuh. Ya, bayangannya tetap setia berada di sampingnya dan... Yafis berdiri. Wajah wanita yang dicintainya turut berada di samping bayangannya tersebut. Yafis mendekati.
“Kau okay?” Sandra berpaling ke belakang dan menghadap bayangan Yafis. Pertanyaan itu membuatkan Sandra semakin lemah.
“Aku takut.” Hanya itu yang mampu terluah dari mulut Sandra.
“Aku ada dengan kau. Aku takkan biarkan kau tanggung semua ni seorang diri.” Bayangan itu memberi keyakinan. Yafis yang menjadi pemerhati kemudiannya memandang bilik kaca yang berada di kiri dan kanannya. Kelihatan beberapa balang kaca yang tersusun rapi. Di dalam balang tersebut kelihatan janin yang tidak sempurna. Ya, dia pernah berada di sini tidak lama dahulu.
“Tak boleh ke kalau aku nak lahirkan baby ni? Ni anak kita juga.” Sandra meminta belas bayangan itu.
“Tak boleh, sayang. Pak Tua yang suruh. Kita kena ikut cakap Pak Tua. Nanti kalau dia marah, susah kita nanti.” Bayangan Yafis memujuk. Yafis yang hanya memerhati dan mendengar perbualan di antara bayangannya dan Sandra tiba-tiba memekup kedua-dua telinganya. Dia menjerit kesakitan.
            “Perempuan dan lelaki yang berzina maka deralah tiap-tiap seorang daripada mereka 100 rotan dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya kerana ini akan mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan sekumpulan daripada orang yang beriman.” Kata-kata itu bergema di seluruh pelusuk kawasan tersebut. Yafis jadi tidak tentu arah. Dia mencari-cari kembali bayangannya bersama Sandra sebentar tadi. Dua susuk tubuh itu melangkah menuju ke bilik pengguguran.
            “Jangan...!” Hanya itu yang mampu dilakukan. Dia cuba menghalang. Tubuh Yafis tiba-tiba terpelanting ke belakang. Yafis mengerang kesakitan. Dia kemudian melihat bayangan bengis wajah Pak Tua di hadapannya. Yafis cuba bangun sambil anak matanya merenung wajah Pak Tua.
            “Kau tipu aku!” Bergema tengkingan Yafis. Tubuh Yafis sekali lagi tercampak ke belakang. Kelihatan Pak Tua datang menghampiri Yafis dengan wajah bengis. Yafis bangun sekali lagi. Dia memegang tombol pintu di belakangnya untuk berpaut.
“Kau milikku!!!” Suara Pak Tua bertukar garau. Yafis cuba melarikan diri dari Pak Tua. Dia berlari anak mencari jalan keluar. Bayangan Pak Tua masih mengejarnya. Yafis melihat ada sebuah pintu di hadapannya. Dia pantas membuka pintu tersebut. Yafis terkejut melihat suasana kelab malam yang ada disebalik pintu itu. Yafis melangkah masuk. Pak Tua masih mengejar.
Yafis berada di sebuah kelab malam. Kelihatan 3 orang kanak-kanak yang sedang membeli makanan di situ. Cahaya lampu dihalakan ke merata tempat. Warna cahayanya juga bersilih ganti. Mereka yang berada di situ tidak menghiraukan kehadiran Yafis. Yafis terus melangkah. Dia mencari sesuatu. Dia pasti di sini juga akan ada petunjuk untuknya. Dia yakin.
“Yafis...!” Panggilan itu menggamit Yafis. Dia menoleh. Melihat sahabatnya, Hariz laju mengatur langkah ke arahnya. Yafis tersenyum. Dia menunggu Hariz yang semakin menghampirinya. Tiba-tiba tubuh Haris menembusi jasad Yafis dan berlalu pergi. Yafis terkedu. Dia melihat Hariz melangkah ke sebuah meja di penjuru kelab malam. Yafis sekali lagi terkejut melihat bayangannya sedang duduk bersandar di kerusi penjuru itu. Hariz melabuhkan punggung di sebelah bayangannya. Yafis dari jauh melihat Hariz mengeluarkan bungkusan kecil. Bayangannya itu menyedut rakus bungkusan tersebut.
Suasana menjadi kelam kabut. Tiba-tiba bayangannya dan Hariz berlari keluar dari kelab malam itu. Diikuti dengan beberapa orang lelaki lain. Empat orang anggota polis mengejar mereka yang melarikan diri.
Yafis yang sejak tadi menjadi pemerhati turut berlari mengikuti bayangannya. Yafis tahu, di sinilah kali terakhir dia menjejakkan kai sebelum diberkas.
Kelihatan 5 orang pemuda sedang berlari melalui lorong kawasan elit. Siren polis kuat kedengaran. 3 orang kanak-kanak berusia 10 tahun keluar tergesa-gesa dari sebuah kelab malam sambil menjinjing bungkusan makanan segera. Mereka bertiga berhenti di muka pintu kelab malam sambil melihat 5 orang pemuda sedang melarikan diri daripada pihak polis.  Orang yang lalu lalang di lorong elit itu memberi laluan kepada pemuda-pemuda yang cuba menyelamatkan diri tersebut.
Yafis mematikan langkahnya. Dia tidak mampu lari dari takdir yang tersurat. Dia melihat bayangannya diberkas. Tubuhnya lemah. Sebuah kereta polis melalui kawasan tersebut. Cahaya siren kereta polis itu menusuk ke dalam anak mata Yafis. Yafis menjerit.
*          *          *          *          *
Terasa kepanasan semakin berkurang. Yafis membuka matanya. Anak matanya dapat menangkap dua kelompok yang sedang memerhatikan penyatuan nyawa di badannya. Yafis hidup kembali.
“Aku dapat merasakan bahang kepanasan api neraka yang membakar umat manusia yang melanggar segala suruhan Allah. Tiada Tuhan patut disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Tubuh Yafis ditampar oleh hembusan angin kencang. Tubuhnya tercampak ke kelompok lelaki beriman. Semua yang berada di kelompok itu menyambut kedatangannya dengan senyuman. Dari jauh Yafis melihat segelintir manusia dari kelompok Dajal Al-Masih berjalan meninggalkan kelompok tersebut menuju ke kelompok yang mengagungkan Allah yang satu.
“Alhamdulillah.” Yafis mengucapkannya dengan lancar. Ketenangan terpancar pada wajahnya. Yafis menadah tangan serta memohon kepada Allah untuk diberikan peluang mendekatkan diri padaNya. Yafis dapat merasakan air matanya laju bercucuran. Dia memejamkan matanya. Seketika dia membuka matanya kembali. Dirinya kembali berada di bilik sempit yang mengurungnya hampir sebulan lalu. Kini, wujud perasaan redha di dalam hatinya. Dia redha menerima hukuman penjara seumur hidup atas kesalahannya mengedar serta membekalkan dadah. Yafis mengharapkan kehidupannya di dalam jeriji ini dapat meningkatkan keimanannya pada yang Esa. Dia bersyukur kerana Allah telah mengkasyafkan dirinya kembali ke pangkal jalan. 

Tuesday, 30 October 2012

Mengunyah Daging Sendiri

Tanah kering di hadapannya ditenung lama. Batu-batu kerikil sebesar ibu jari dilontar jauh ke hadapan. Semakin lama batu-batu itu semakin jauh dilontar. Zaid puas. Dia menghadiahkan senyuman pada dirinya sendiri.

"Kau membayangkan siapa?" Umar separuh menjerit. Di genggamannya juga kelihatan batu-batu kerikil sebesar ibu jari. Gelengan Zaid mendorong pantas kaki Umar melangkah mendekatinya.

"Ambil ni. Jom..." Keras Umar menarik tangan Zaid menuju ke suatu tempat.

"Nak ke mana kita? Kita dah janji dengan kawan-kawan lain berkumpul di sini." Tanpa melepaskan pegangannya terhadap Zaid, Umar membalas.

"Kita tak sama seperti mereka yang lain. Kita tak sebertuah mereka di luar sana. Tu, kau nampak?" Umar melepaskan pegangannya. Jari telunjuk kanannya diarah pada suatu kawasan.


"الشعب يريد اسقاط النظام"

Zaid mengerutkan keningnya. Anak matanya terarah pula memandang Umar yang tersenyum memandang wajahnya ketika itu.

"Kawan-kawan kau, kawan-kawan aku semuanya di sana."

"Aku mahu menikmati keseronokan. Ini bukan tugas kita."

"Apa bezanya? Berseronok di padang bola sambil menendang bola yang entah ke mana hala tujunya. Lebih baik menconteng di sini. Sekurang-kurangnya kita tahu pada siapa yang harus dituju."

Zaid tersenyum. Langkahnya diatur menuju ke tembok besar di hadapannya. Suara gelak tawa kanak-kanak seusianya menggamit lagi rasa hati untuk meluahkan segalanya di situ.

Hampir dua jam mereka bergelak ketawa di situ, Umar menggamit sahabatnya untuk sujud kepada Allah. Ajakan itu langsung tidak ditolak.


Dalam ketenangan petang itu, suasana dicemari dengan laungan dan hentakan ladam di bumi Allah. Kanak-kanak yang masih berada di tahiyat akhir bingkas bangun. Sekumpulan manusia beruniform lengkap mengepung mereka.

"Lari...!!!" Lantang Umar memberi arahan. Bertempiaran kanak-kanak di situ menyelamatkan diri. Mereka tidak tahu apa puncanya. Yang pasti mereka akan disakiti jika terus tegak di situ.

Mata Zaid liar mencari ruang. Seorang demi seorang sahabatnya tersungkur ke tanah. Tubuh kecil mereka dipijak. Tidak cukup dengan itu, mereka yang meronta terus dihinjak dengan kasut berkulit keras itu. Airmata Zaid tumpah.

"Ummi.. Abi...!!!" Hanya jeritan itu yang mampu dituturkannya. Hentakan keras di tulang belakangnya memaksa tubuhnya tersembam ke bumi. Wajahnya betul-betul mencium debu tanah kering tersebut.

Mereka dipaksa berdiri. Tangan mereka dipaksa diletakkan ke atas kepala. Mereka tiada pilihan lain. 

Mereka beruniform itu memandang tulisan-tulisan di dinding tadi. Salah seorang daripada mereka mendekati kanak-kanak yang merintih menahan perit.

"الشعب يريد اسقاط النظام"


Perkataan itu disebut berulang kali. Setiap kali perkataan itu disebut, wajah kanak-kanak suci itu ditampar. Setiap kali tangisan kanak-kanak di situ kedengaran menahan pedih, wajah-wajah mereka terus dijamah dengan tapak tangan gergasi milik mereka beruniform itu tadi. Tidak cukup dengan itu, seluruh tenaga yang dipinjamkan  oleh Allah kepada mereka beruniform itu ditumpahkan kepada tubuh halus kanak-kanak tersebut.

Mulut Umar tidak henti-henti membela nasib. Merintih merayu minta dilepaskan. Ya, kami yang lain tidak sekuat dia. Setiap kali rintihan disua, setiap kali itulah tubuhnya dihenyak sekuat hati oleh mereka beruniform.  Kali ini tiada lagi kedengaran butir perkataan dari mulut Umar. Kepalanya tertunduk. Darah mengalir di segenap ruang tubuhnya.

"Allah...Akbaru" Perkataan itu masih bersisa. Salah seorang mereka beruniform itu mendekati Umar. Di tangannya kelihatan sebatang besi perak. Tangan Umar diraih. Jarinya dicapai manusia beruniform itu tadi. Seketika, jeritan Umar bergema di kawasan itu. Usai jari kiri itu dibelek, manusia beruniform itu berarah ke jari kanan Umar. Begitulah seterusnya hingga ke jari kaki. Tubuh Umar kemudian dilepaskan begitu sahaja. Umar menggelupur. Kedua kaki dan tangannya meronta-ronta. Manusia beruniform itu tadi membuka genggamannya. Menghalakan tangannya ke arah kanak-kanak yang tidak henti-henti memuji Allah di dalam hati ketika itu.

Kanak-kanak yang lain seakan histeria selepas melihat sesuatu di dalam genggaman manusia beruniform itu tadi. Mereka yang beruniform tertawa. Lucu melihat kanak-kanak itu merintih merayu agar dilepaskan.

Zaid mengunci mulut, mengunci lidah. Di dalam hatinya tidak putus berdoa. Zaid melihat manusia beruniform itu tadi mendekatinya. Dia memejamkan mata...

DOA ZAID BUAT UMMI DAN ABI

Ummi...
Halalkan setiap titis susu yang Ummi berikan pada Zaid,
Halalkan tiap suapan ibu yang dijamah Zaid,
Ampunkan segala dosa Zaid sejak di dalam kandungan hingga saat ini...

Abi...
Halalkan tiap rezeki yang dibanting Abi,
Halalkan segala ilmu yang diajar Abi ke jalan Allah,
Ampunkan segala dosa Zaid sejak mata dicelik hingga kini...

Ummi, Abi...
Ketika melangkah keluar dari rumah kita,
Zaid bertawakal sepenuhnya,
Kata Abi, berseronoklah di bumi Allah,
Jangan gentar pada musuh Allah yang keji,

Ummi, Abi...
Usai diri Zaid terhias dengan wuduk,
Tangan Ummi dan Abi dikucup,
Terlintas di benak hati,
Andai Zaid tidak lagi berpijak di sini,
Zaid sentiasa mendoakan Ummi dan Abi sentiada dilindungi,
Zaid menyerahkan segalanya pada Rabb...

Ummi, Abi...
Jangan menitiskan airmata jika Zaid tidak kembali,
Dongaklah ke langit,
Tadahlah tangan mensyukuri SYAHID anakmu,
Zaid menunggu Ummi dan Abi di sana...

INNALILLAHIWAINNAILAIHIRAJIUN...

********************************************************

Sekadar berkongsi mengenai perit saudara Islam di Syria. Mereka memerluka doa dari kita. Kekejaman saudara seIslam sendiri di sana mengubah kehidupan mereka yang tidak berdosa. Kanak-kanak dihukum. Wanita diperkosa. Lelaki diseksa. Allah menduga mereka di sana. 


"الشعب يريد اسقاط النظام"
"Rakyat menuntut kerajaan turun"


Hanya kerana contengan tulisan tersebut di dinding, kanak-kanak tidak berdosa diseksa. Salahkah mereka menuntut hak keamanan yang seharusnya menjadi hak mereka? SYAHID Umar, Zaid dan kanak-kanak lain di Syria harus menjadi pembakar semangat. Walaupun tubuh lunyai dihenyak, kuku dicabut, lidah mereka tetap basah memuji Allah. ALLAHUAKBAR...



AL-FATIHAH...

Monday, 30 July 2012

SAHABAT

Kawan, sahabat, teman adalah mereka yang berada dekat dan ada di sekeliling kita. Jangan lupa, mencari sahabat yang baik adalah sesuatu yang dituntut. Tetapi tidak bermakna kita mengabaikan dan menolak langsung mereka yang  'kurang'.

Kadang-kadang kita anggap kita sempurna. Nak mencari sahabat dan mereka yang setanding dan sama level dengan kita. Kadang-kadang bila nak berdakwah tu pun kita ambil jalan mudah. Kita cuba tarik mereka yang dah sememangnya dah hampir dekat dengan jalan Allah hingga kita abaikan mereka yang dah sangat jauh dengan jalan Allah itu. Allah tu Maha Mengetahui. Kun Fayakun. Jangan terkejut kalau suatu hari nanti mereka yang ada jauh di jalan Allah sekarang, mereka itu yang akan lebih dekat dengan Allah. Jangan memilih...

Alhamdulillah, hidup menumpang bernafas di bumi Allah selama 23 tahun ni mengajar aku kenali banyak hati yang bernama kawan. Betul ke kawan yang mencorak hidup kita? Jawapan aku YA. Selain daripada JODOH, kawan juga melengkapi hidup dan memenuhi kekurangan yang kita ada. Itu pasti. Jangan menafikan anda mampu hidup tanpa kawan. Jika begitu, sesungguhnya anda tidak menghargai peluang yang Allah berikan untuk menikmati hidup di bumiNya ini.

SAHABAT LALANG...
Sahabat lalang ni pada aku kadangkala menyerikan hidup kita. Walaupun hakikatnya kita seolah-olah mengacu pistol ke kepala sendiri jika jumpa sahabat seperti ini. Belakang cakap lain, depan cakap lain. Bahaya sahabat lalang ni sebab dia mampu menjatuhkan kita. Kalau kita bijak, yakinkan dia dengan kejujuran kita menjadikannya sebagai sahabat.

SAHABAT 'ROS'
Sahabat Ros atau bunga mawar ini sangat bahaya. Mereka baik di hadapan kita, rapat dengan kita tetapi kita tak sedar bahawa ada duri yang sedang merosakkan kita. Bisa duri itu memang mampu terus menjatuhkan kita. Selalunya sahabat seperti ini tidak mementingkan kita. Apa yang mereka tahu hanyalah untuk menikmati kehidupan tanpa memikirkan mati. Sahabat inilah yang akan hanyutkan kita dengan nikmat dunia. Aku sendiri pernah berada bersama kelompok ini. Sewaktu umur mula mencari kebebasan, aku diketemukan dengan manusia seperti ini. Namun, jangan sesekali menyalahkan sahabat Ros ini kerana mereka di antara insan yang memerlukan kita untuk menarik mereka ke jalan yang sepatutnya. 

SAHABAT KESAYANGAN
Jika hati anda meyakini seseorang yang bernama kawan, bersyukurlah. Ini bermakna anda telah disayangi dan menyayangi hamba Allah yang ada disekeliling anda. Untuk menyayangi seseorang tidak memerlukan masa yang lama. Kadangkala kita terpegun dengan keikhlasan dan kesungguhannya sehingga mengaggap bahawa 'kenapa dia perlu baik dengan aku?'. Itu bermakna Allah ketemukan kita dengan mereka yang menghargai mereka. Mereka seperti ini akan sentiasa mengambil berat tentang diri anda. Akan cuba menasihati anda jika anda cuba melangkah ke arah lopak-lopak yang tidak sempurna. Dengan sendirinya anda akan selesa bersama mereka ini. Rasa senang dengan tindak-tanduk yang mereka tonjolkan. Jika ada mereka seperti ini di sekeliling anda, jangan biarkan mereka ini berlalu begitu sahaja. Mereka akan menjadi tembok diri anda kelak. Mereka inilah juga yang akan mendoakan kesejahteraan hidup anda dunia dan akhirat. Alhamdulillah, aku kini di kelilingi sahabat-sahabat seperti ini. Mereka yang banyak memberi senyum, berkongsi duka, mendengar kisah hati dan sebagainya. Syukur Ya Allah. Permudahkanlah kehidupan sahabat-sahabatku ini. Apabila hati mula merindui mereka yang bernama sahabat, senyumlah. Insyallah, mereka juga akan merindui kita yang juga digelar sahabat.



Tuesday, 17 July 2012

IZHARFAN ARYAN & FATIMA AZZALEA

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Menulis dengan jiwa,
Menulis dengan hati,
Menulis dengan perasaan,
Menulis dengan akal,
Menulis dengan fikiran,
Menulis dengan iman...

Insyallah harap semuanya dipermudahkan,
Dilancarkan...

IZHARFAN ARYAN & FATIMA AZZALEA


17/07/2012 [18:17]


Saturday, 14 July 2012

Untuk korang... :)

السلام عليكم




Hai... Entry ni khas untuk member-member yang sgt amik brt sal aku. Thanks sgt2... Susah payah hntar pegi balik g klinik, hospital bagai. Yang datang ziarah, yang tolong pkaikan seluar, pimpin jalan, sapu ubat semua... THNKS A LOT... 

Aku tak tau cane nak balas. Insyllah, ALLAH selayaknya balas jasa korang semua. Sorry sangat nyusahkan korang. Memang sakit aku ni x libatkan hidup dan mati tapi aku dah rasa macam mana nikmat yg ALLAH pinjamkan kat kita ditarik sikit demi sikit. Korang hargai elok2.. Sentiasa bersyukur. Sebab nak hadapi  sakit tu ALLAH je yang tahu macam mana sakitnya. Demi ALLAH aku tak tipu. Tapi aku pegang pada 1, ALLAH takkan uji hamba dia yang tak mampu terima ujian tu kan?:) Sekadar sedapkan hati sendiri.


Mungkin ni satunya cara ALLAH nak sucikan dosa kita. Aku tak baik pun. Kadang2 kita tak sedar dosa kita buat. Bila aku sendiri dah hilang upaya nak berjalan ni, aku jadi sebak. Aku fikir macam mana benda ni boleh jadi. Dulu aku yang boleh melompat, berlari but now i cant... Tak boleh langsung... Aku terima. Redha. 


Yezz.. Sapa yang kenal aku, korang tau aku camana. Aku tak suka sedih-sedih ni. Tapi dalam hidup kita perlu menangis. Kadang-kadang. Jangan selalu nanti orang menyampah. Hehehe... Kalau 2,3 hri ni ada yg ternampak aku nangis tu bukan sebab aku tahan sakit. Tu sebab aku nak diri aku kuat. Aku kena  paksa diri aku kuat. Aku tak nak orang sekeliling aku tak kuat sebab aku. Aku perlukan korang untuk support aku. Tu je. Tolongla doa. Aku takut nak hadapi hr yg kedepan ni. Sebulan, dua bulan kedepan.. Kita tak tau apa jadi. Kalau betul aku operation, tolong doakan aku boleh jalan macam dulu balik. Sekadar boleh berlari kena kejar dengan auk-auk pun x pe dah. Syukur sangat dah. Doala smoga cedera aku ni just ringan. 


For mak ayah... Hehehe..Thnks.. susah payah... Along rasa dah banyak kali along susahkan mak ayah. Patutnya sekarang mak ayah hidup dengan kesenangan along dah. Tapi again and again x abis2 buat kalian ssh hati kan? Dari kecik, bila along keluar x cukup bulan and doc cakap 50-50, tu pun dah buat mak ayah nangis. Bila dah besar, along slalu tak sht, mak ayh korban waktu semua jaga along. Bila along kat plkn and doc ckp kna operation, waktu tu pun mak ayah x serik pun susah payah. Along tengok macam mana mak ayah x pernah merungut jaga arwah tok. INSYALLAH. Along harap ALLAH bagi kekuatan kat along boleh jaga mak ayah macam tu nanti.


So, INSYALLAH... semua akan baik-baik... Buat semua kawan2 yang aku x dapat nak list nama korang semua kat sini, thnks sangat2. Insylah. Aku akan ada dgn korang balik nanti...


P/S: Lagu ni bkn sja2 aku post. Tolong hayati and slalu ingat ALLAH. Jgn lupa bersyukur. 


LOVE U KORANG... :)

[14/07/2012][15:07]



Friday, 13 July 2012

I LOVE U NANI...

السلام عليكم

Setiap orang perlu buat keputusan. Perlu tahu buat keputusan. Perlu yakin dengan keputusan yang akan dibuat tu. Semua orang akan benci untuk memilih antara dua. Tambah-tambah kalau benda tu benda yang tentukan masa depan kita. So, NANI you have to and you have dicided it. Congrates!

Kalau Along jadi Nani pun susah untuk along decide. Both adalah yang terbaik. Along tau macam mana susah Nani nak decide keputusan tu. Banyak kali Nani tanya along kan? Along x bagi jawapan kan? Sebab along nak nani decide. Along tau Nani tak happy. Tapi Nani kena ingat satu benda. Kadang-kadang benda yang paling bahagia ada kat depan tak semestinya kita akan mula dengan kebahagiaan jugak. Faham kan maksud along? 

Kalau nak compare antara Along, Ti and Nani, yes... Nani yang paling jiwa lembut. Even Nani diam, along tau apa yang nani pk. Kalau nani x selesa nak share apa2 dgn along, its ok. Share dengan ti. Share la dgn sapa2 pun. Asalkan Nani jgn pendam semua tu sorang-sorang. Ok?

Along just nak Nani tau. Sekarang ni Nani dah nampak masa depan Nani. Jangan rasa menyesal. Sungguh. Kami semua support Nani dari sini. Bak kata Mak Ndak, habis 3 tahun ni, sambung ja blajaq kalau nani nak. Mana tau one day tetiba jadi DR. HANANI plak kan? hihi.. Insyallah along doakan yang terbaik untuk adik-adik. Nani tengok macam along. 5 tahun belajaq tak tau lagi nak kemana. Ti dgn nani dah lepas dah. Syoq ja kan? Tapi tak pa. Rezeki Allah ni ada kat mana-mana. 

So, nani... Hope nani boleh survive hidup kat sana. Tak jauh pun kan. Apa-apa halo-halo ja along k? Jaga diri jaga kesihatan kat sana elok-elok. Cari kawan yang boleh bantu kita melangkah. Jangan cari kawan yang boleh bantutkan langkah kita. So, kat sini along upload pic masa nani kat UIA dgn kat johor haritu. Boleh la nak wat2 lepas rindu... hihi... LOVE U ADIK NANI...!!!