Mengunyah Daging Sendiri

Tanah kering di hadapannya ditenung lama. Batu-batu kerikil sebesar ibu jari dilontar jauh ke hadapan. Semakin lama batu-batu itu semakin jauh dilontar. Zaid puas. Dia menghadiahkan senyuman pada dirinya sendiri.

"Kau membayangkan siapa?" Umar separuh menjerit. Di genggamannya juga kelihatan batu-batu kerikil sebesar ibu jari. Gelengan Zaid mendorong pantas kaki Umar melangkah mendekatinya.

"Ambil ni. Jom..." Keras Umar menarik tangan Zaid menuju ke suatu tempat.

"Nak ke mana kita? Kita dah janji dengan kawan-kawan lain berkumpul di sini." Tanpa melepaskan pegangannya terhadap Zaid, Umar membalas.

"Kita tak sama seperti mereka yang lain. Kita tak sebertuah mereka di luar sana. Tu, kau nampak?" Umar melepaskan pegangannya. Jari telunjuk kanannya diarah pada suatu kawasan.


"الشعب يريد اسقاط النظام"

Zaid mengerutkan keningnya. Anak matanya terarah pula memandang Umar yang tersenyum memandang wajahnya ketika itu.

"Kawan-kawan kau, kawan-kawan aku semuanya di sana."

"Aku mahu menikmati keseronokan. Ini bukan tugas kita."

"Apa bezanya? Berseronok di padang bola sambil menendang bola yang entah ke mana hala tujunya. Lebih baik menconteng di sini. Sekurang-kurangnya kita tahu pada siapa yang harus dituju."

Zaid tersenyum. Langkahnya diatur menuju ke tembok besar di hadapannya. Suara gelak tawa kanak-kanak seusianya menggamit lagi rasa hati untuk meluahkan segalanya di situ.

Hampir dua jam mereka bergelak ketawa di situ, Umar menggamit sahabatnya untuk sujud kepada Allah. Ajakan itu langsung tidak ditolak.


Dalam ketenangan petang itu, suasana dicemari dengan laungan dan hentakan ladam di bumi Allah. Kanak-kanak yang masih berada di tahiyat akhir bingkas bangun. Sekumpulan manusia beruniform lengkap mengepung mereka.

"Lari...!!!" Lantang Umar memberi arahan. Bertempiaran kanak-kanak di situ menyelamatkan diri. Mereka tidak tahu apa puncanya. Yang pasti mereka akan disakiti jika terus tegak di situ.

Mata Zaid liar mencari ruang. Seorang demi seorang sahabatnya tersungkur ke tanah. Tubuh kecil mereka dipijak. Tidak cukup dengan itu, mereka yang meronta terus dihinjak dengan kasut berkulit keras itu. Airmata Zaid tumpah.

"Ummi.. Abi...!!!" Hanya jeritan itu yang mampu dituturkannya. Hentakan keras di tulang belakangnya memaksa tubuhnya tersembam ke bumi. Wajahnya betul-betul mencium debu tanah kering tersebut.

Mereka dipaksa berdiri. Tangan mereka dipaksa diletakkan ke atas kepala. Mereka tiada pilihan lain. 

Mereka beruniform itu memandang tulisan-tulisan di dinding tadi. Salah seorang daripada mereka mendekati kanak-kanak yang merintih menahan perit.

"الشعب يريد اسقاط النظام"


Perkataan itu disebut berulang kali. Setiap kali perkataan itu disebut, wajah kanak-kanak suci itu ditampar. Setiap kali tangisan kanak-kanak di situ kedengaran menahan pedih, wajah-wajah mereka terus dijamah dengan tapak tangan gergasi milik mereka beruniform itu tadi. Tidak cukup dengan itu, seluruh tenaga yang dipinjamkan  oleh Allah kepada mereka beruniform itu ditumpahkan kepada tubuh halus kanak-kanak tersebut.

Mulut Umar tidak henti-henti membela nasib. Merintih merayu minta dilepaskan. Ya, kami yang lain tidak sekuat dia. Setiap kali rintihan disua, setiap kali itulah tubuhnya dihenyak sekuat hati oleh mereka beruniform.  Kali ini tiada lagi kedengaran butir perkataan dari mulut Umar. Kepalanya tertunduk. Darah mengalir di segenap ruang tubuhnya.

"Allah...Akbaru" Perkataan itu masih bersisa. Salah seorang mereka beruniform itu mendekati Umar. Di tangannya kelihatan sebatang besi perak. Tangan Umar diraih. Jarinya dicapai manusia beruniform itu tadi. Seketika, jeritan Umar bergema di kawasan itu. Usai jari kiri itu dibelek, manusia beruniform itu berarah ke jari kanan Umar. Begitulah seterusnya hingga ke jari kaki. Tubuh Umar kemudian dilepaskan begitu sahaja. Umar menggelupur. Kedua kaki dan tangannya meronta-ronta. Manusia beruniform itu tadi membuka genggamannya. Menghalakan tangannya ke arah kanak-kanak yang tidak henti-henti memuji Allah di dalam hati ketika itu.

Kanak-kanak yang lain seakan histeria selepas melihat sesuatu di dalam genggaman manusia beruniform itu tadi. Mereka yang beruniform tertawa. Lucu melihat kanak-kanak itu merintih merayu agar dilepaskan.

Zaid mengunci mulut, mengunci lidah. Di dalam hatinya tidak putus berdoa. Zaid melihat manusia beruniform itu tadi mendekatinya. Dia memejamkan mata...

DOA ZAID BUAT UMMI DAN ABI

Ummi...
Halalkan setiap titis susu yang Ummi berikan pada Zaid,
Halalkan tiap suapan ibu yang dijamah Zaid,
Ampunkan segala dosa Zaid sejak di dalam kandungan hingga saat ini...

Abi...
Halalkan tiap rezeki yang dibanting Abi,
Halalkan segala ilmu yang diajar Abi ke jalan Allah,
Ampunkan segala dosa Zaid sejak mata dicelik hingga kini...

Ummi, Abi...
Ketika melangkah keluar dari rumah kita,
Zaid bertawakal sepenuhnya,
Kata Abi, berseronoklah di bumi Allah,
Jangan gentar pada musuh Allah yang keji,

Ummi, Abi...
Usai diri Zaid terhias dengan wuduk,
Tangan Ummi dan Abi dikucup,
Terlintas di benak hati,
Andai Zaid tidak lagi berpijak di sini,
Zaid sentiasa mendoakan Ummi dan Abi sentiada dilindungi,
Zaid menyerahkan segalanya pada Rabb...

Ummi, Abi...
Jangan menitiskan airmata jika Zaid tidak kembali,
Dongaklah ke langit,
Tadahlah tangan mensyukuri SYAHID anakmu,
Zaid menunggu Ummi dan Abi di sana...

INNALILLAHIWAINNAILAIHIRAJIUN...

********************************************************

Sekadar berkongsi mengenai perit saudara Islam di Syria. Mereka memerluka doa dari kita. Kekejaman saudara seIslam sendiri di sana mengubah kehidupan mereka yang tidak berdosa. Kanak-kanak dihukum. Wanita diperkosa. Lelaki diseksa. Allah menduga mereka di sana. 


"الشعب يريد اسقاط النظام"
"Rakyat menuntut kerajaan turun"


Hanya kerana contengan tulisan tersebut di dinding, kanak-kanak tidak berdosa diseksa. Salahkah mereka menuntut hak keamanan yang seharusnya menjadi hak mereka? SYAHID Umar, Zaid dan kanak-kanak lain di Syria harus menjadi pembakar semangat. Walaupun tubuh lunyai dihenyak, kuku dicabut, lidah mereka tetap basah memuji Allah. ALLAHUAKBAR...



AL-FATIHAH...

Comments

  1. Ya Allah, Syurga buat mereka, penulisan yg menitiskan air mata T-T

    ReplyDelete
  2. thanks fy.. just sharing... hope doa kita boleh bantu dorang.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts