Sunday, 2 June 2013

Jiwa Kosong

Jiwa Kosong...
Jangan salahkan situasi jika tidak pandai mengisi...
Jiwa kosong...
Jangan salahkan entiti jika tidak pandai menghargai...
Jiwa Kosong...
Memikirkan situasi dan entiti yang bakal diteliti...

Hari Ini...
Esok...
Lusa...
Tulat...
...
...
...
Untuk masa yang seterusnya...

Situasi dan entiti akan berubah...
Itu janji yang pasti...
Ketawa aku... Ketawa kau...
Mungkin sampai di sini...
Tak ada yang abadi melainkan akhirat yang hakiki...

Aku berdiri disamping kalian atas rahmat ALLAH...
Atas ukhwah yang dah ditentukan ALLAH...
Sejauh mana kita melangkah, jangan pernah lupa atas ukhwah yang pernah tercalit dalam kamus hidup kita...
Ingatlah kita pernah menjadi pengisi antara satu sama lain...



Friday, 5 April 2013

Dejavoo VS Jamaisvoo


Assalamualaikum... Bismillah...

My entry for today.... Berkenaan dengan gambar di atas. Ya, gambar seorang jejaka berdiri di hadapan sebuah masjid. 

SHEPHERDS BUSH MASJID terletak di London. Tadi, 6:57 petang 05 April 2013, saya menjelajah ke Facebook kenalan diploma UiTM, Cik Saloma namanya. Tiba-tiba muncul gambar ni di ruangan timeline beliau. Bukan Aizat yang menjadi perhatian, tapi Masjid tersebut.

Bila tengok gambar ni, terus rasa terkejut. Tak pernah tahu kewujudan masjid ni sebelum ni kat alam nyata. But i have seen this in my sleep... Yap... Wallahi tak tipu. Mungkin strukturnya sedikit lain. Tapi hakikatnya beginilah keadaan masjid tersebut dalam mimpi tu. Mungkin bagi orang lain, ni satu benda yang biasa. But not for me. 

Sebelum ni, roh aku pernah melilau kemana-mana dalam mimpi... Tempat yang aku pernah jejak dalam mimpi-mimpi sebelum ni dah mula aku jejak kat alam nyata. Kata orang, ni semua mungkin jamaisvoo, dejavoo... Whateverla kan. Apa-apa pun, ALLAH maha adil. Beri peluang pada kita untuk melihat isi dunia walaupun sekadar roh kita yang hanya ke sana. 

May ALLAH bless US...

GUIDE ME ALLAH....

Friday, 16 November 2012

Gaza


                                                                                                                ALLAH
                                                                                                                ALLAH
         ALLAH  Menitis                 Dentuman...                Mereka             ALLAH
ALLAH           Bangga                 Raungan.....               Manusia             ALLAH
ALLAH           Melihat                 Jeritan.......                 Seperti              ALLAH
ALLAH         Syuhadah               Tangisan....                   Kita                 ALLAH
         ALLAH  Syahid                  Rintihan....                 Sentiasa             ALLAH
                Di                     Rayuan.....                 Mahukan            ALLAH
 JalanMu               Seksaan.....              Keamanan           ALLAH
     GAZA                    GAZA                              ALLAH
                                                           

Wednesday, 14 November 2012

Nisan Putih (8)

[Episod 8- Akhir]


Kalsom masih memerhati susuk tubuh 2 pemuda yang masih tercegat di belakang pondok rumahnya. Sejak semalam lagi mereka berdua di situ. Sekarang, matahari kembali menampakkan wajah. Menganjak bulan menyembunyikan sinar.  Ada juga Kalsom memberitahu Razif akan perkara tersebut. Namun, Razif hanya mengangguk. Katanya, mungkin pemuda berdua itu menjadikan pondok tersebut sebagai tempat melepak. Mungkin. Kalsom luas membuka jendela dapurnya. Biarlah. Asalkan pemuda itu tidak memberi gangguan.
“Sampai bila kita nak tunggu di sini Jarir? Aku bosan. Nyamuk pun banyak. Aku tak boleh tidur semalam. Iqbal melepaskan keluhannya. Kadangkala, menyesal pula dia bersetuju menemani Jarir ke situ. Konon untuk menambat dan memujuk hati Arfa kembali. Huh!
“Kalau nenek atau ayah dia nampak macam mana?” Iqbal menyoal lagi. Tidak berpuas hati dengan kebisuan Jarir.
“Bisinglah kau ni, Iqbal. Aku bengang sangat dengan Arfa sekarang ni. Aku dah tak ada duit ni. Waktu macam ni lah perempuan ni nak buat hal.” Bentak Jarir. Mukanya merah padam. Peluh yang semalamnya membasahi baju, kini kering. Diganti dengan titisan embun yang semakin galak menitis. Apa yang dipentingkan sekarang adalah untuk memujuk Arfa dan meminta wang dari Arfa. Puas dia menghantar mesej ke telefon bimbit Arfa. Satu pun tidak dibalasnya. Panggilan juga sudah berpuluh kali dibuat. Tetap gagal. Dia tahu pasti Arfa telah mendengar segalanya ketika hari terakhir mereka berjumpa tempoh hari. Dia perlu mengembalikan keyakinan Arfa terhadapnya. Ya, pasti hati gadis itu kembali turut pada kehendaknya. Jarir pasti.
“Nenek...” Kalsom tersentak. Perlahan dia mengurut dadanya. Terperanjat dengan panggilan Rais sebentar tadi.
“Nenek masak apa pagi ni?” Rais bertanya lagi. Dia tahu, waktu begini Kalsom pasti di dapur menyediakan sarapan untuk mereka sekeluarga.
“Is... Terkejut nenek. Nenek tengah goreng karipap untuk Rais. Rais suka kan?” Terus Kalsom menuju ke kuali melihat karipap yang digoreng. Hampir terlupa dia pada karipap tersebut kerana asyik melihat gelagat pemuda di pondok itu.
“Patutlah wangi. Terus berkeroncong perut Rais ni, nenek.” Rais berseloroh. Kalsom tersenyum. Diusapnya kepala Rais.
“Nenek, sekejap lagi ayah dah balik ke tempat kerja ayah ke nenek?”
“Ayah terpaksa balik ke tempat kerja ayah. Ayah dah cuti banyak hari kan?” Kalsom menjawab pertanyaan Rais itu.
“Tapi nenek, suatu hari pun ayah tak pernah usap kepala Rais macam nenek selalu buat.” Hatinya kembali berombak. Sebak setelah Arfa memberitahunya bahawa Razif akan kembali ke Pontian. Tiada langsung masa yang Razif luangkan untuk mereka berdua. Petang tadi Arfa dimarahi Razif. Namun, sekejap sahaja hati Razif kembali sejuk. Sempat Rais melihat dua beranak itu bermaafan malam semalam. Bilakah dia akan berpeluang sebegitu? Rais bangun. Mengatur tapaknya ke ruang tamu. Rais terbau asap rokok. Dia tahu Razif ada di situ. Segera Rais mengambil tempat. Perlahan dia melabuhkan punggungnya di atas sofa. Rais menunggu Razif menegurnya. Sepi. Rais tetap menunggu. Masih seperti tadi. Rais berat menghelakan nafasnya. Razif yang sejak tadi memerhatikan gelagat Rais hanya terpaku. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kekok rasanya jika Rais dilayan seperti Arfa. Janggal rasanya.
“Rais dah makan ke belum?” Hanya itu yang terlintas di fikirannya. Walaupun dia tahu anak bongsunya itu masih belum menjamah apa-apa lagi. Rais tersenyum. Tidak sia-sia usahanya kali ini. Beria-ia dia menggeleng.
“Belum. Nenek tengah goreng karipap. Kita makan sama-sama ya, ayah,” pinta Rais. Razif tidak memberikan jawapannya. Diterusnya menyelak halaman demi halaman akhbar di tangannya.
“Ayah, nanti ayah ukirkan batu nisan untuk Rais ya, ayah. Rais nak simpan. Rais bangun. Terkapai-kapai dia mencari tempat duduk di sebelah Razif. Tanpa sengaja kaki Rais tersadung pada bucu meja. Terus tubuh kecil itu terhumban ke riba Razif. Razif segera bangun. Membiarkan tubuh kanak-kanak itu tergolek pula ke lantai.
“Apa ni? Duduk diam-diam tak boleh ke?” Lantang tengkingan Razif kedengaran. Kalsom naik ke ruang tamu melihat apa yang berlaku. Pantas dia mendapatkan Rais yang masih menyembam di lantai papan itu. Arfa turut ke ruang tamu. Membantu neneknya mengangkat Rais. Razif menapak selangkah dua ke belakang. Bercekak pinggang sambil mendengus berat.
“Apa buat anak macam ni, Razif?” Kalsom menyoal. Tidak dipandangnya wajah Razif ketika itu. Matanya hanya tertumpu pada susuh tubuh Rais. Diusapnya muka Rais yang kelihatan sedikit merah.
“Ayah tipu Arfa. Sampai bila-bila Arfa tak mahu tengok ayah. Ayah penipu!” Tiba-tiba sahaja Arfa kuat berteriak. Razif terkedu. Dia hanya mampu melihat Arfa berlari menuruni anak tangga rumahnya. Menjejak tanah basah akibat hujan semalam. Laju entah ke mana. Razif tidak mampu mengejar. Razif memejamkan matanya. Telinganya tiba-tiba terngiang mengenai janjinya dengan Arfa semalam. Mengenai Rais.
“Kalau ayah sayang Arfa dan nak Arfa jadi budak baik, ayah kena janji dengan Arfa satu perkara.” Razif hanya mengangkat keningnya. Ingin tahu apakah syarat yang menjadi pengikat janji mereka itu.
“Ayah janji ayah kena sayang Rais sama macam mana ayah sayang Arfa. Jangan sakiti adik. Ayah kena janji yang ayah akan layan adik dan Arfa sama adil. Jangan marah-marah adik lagi. Kalau ayah langgar janji ini bermakna ayah tak sayang Arfa.” Razif hanya mengangguk. Memang dia ada sedikit kelainan apabila bertemu Rais kali ini. Namun, masih ada batasan yang menghalang. Dia tahu Arfa kini memarahinya. Marah kerana dia melanggar janji yang diikat semalam.
*          *          *          *          *
Dari jauh lagi kelibat itu dikenali Arfa. Hany. Namun, gadis itu tidak berseorangan. Hany ditemani oleh seorang lelaki. Dan lelaki itu adalah... Hakimi. Sah! Hany beriringan dengan Hakimi. Laju langkahnya dihayun menuju ke arah Hany. Begitu juga dengan Hany dan Hakimi. Mereka mempunyai tujuan untuk bertemu dengan Arfa. Nafas Arfa naik turun tidak sekata. Kini mereka bertentang. Masing-masing melepaskan lelah.
“Kami baru nak ke rumah kau, Arfa.” Hany memulakan perbualan. Hakimi di sebelah hanya mengulum senyum. Tidak tahu apa yang perlu dibicara.
“Kenapa kau dan Hakimi boleh...” Soalannya terhenti. Arfa menggigit bibirnya. Perlukah soalan itu diajukan kepada mereka berdua?
“Aku tahu apa soalan kau. Semua tu tak penting. Yang penting sekarang ni, aku nak tahu keadaan kau. Ceritalah...” Hany menyigung lengan Hakimi. Hakimi tersentak. Dia mengusap lengannya itu.
“Arfa, sebenarnya aku yang salah dalam hal ni. Tapi aku tak sampai hati nak teruskan kerja-kerja macam ni. Aku rasa kasihan pada kau, Hany dan Aiyu.” Arfa mengecilkan kelopak matanya. Tidak faham apa yang dimaksudkan Hakimi.
“Aku rancang untuk mengenakan kau, Hany dan Aiyu. Dalam hal ni, aku, Jarir dan Iqbal berjanji akan cuba menggoda kamu bertiga dan... dan pujuk untuk kamu semua berikan wang untuk kami.” Hakimi menggigit bibirnya. Kepalanya ditunduk. Malu untuk dia menatap wajah Arfa dan Hany. Serta-merta air mata Arfa mengalir. Dia benar-benar sayangkan Jarir. Tetapi mengapa begitu mudah Jarir mempermainkan cintanya? Jadi, memang benarlah apa yang didengarinya tempoh hari. Hatinya kini benar-benar pedih. Terlalu pedih! Arfa sedar, mungkin ini balasan Tuhan terhadapnya kerana kejam terhadap Rais selama ini. Memang benar. Kini dia telah boleh menerima Rais sebagai adik. Namun, tidak pernah terbit dari bibirnya lafaz maaf kepada Rais. Terlalu banyak bebanan yang ditanggung Rais selama ini. Arfa mengesat air matanya. Dia berlari anak menuju ke rumah. Niatnya mahu memohon maaf dari Rais. Memohon ampun kepada Maha Esa agar menghentikan segala kepedihan yang ditanggungnya kini.
“Rais... Rais...” Dari halaman rumah lagi Arfa sudat melaungkan nama Rais. Namun, tiada sahutan. Hany dan Hakimi setia membontoti. Mereka tidak tahu apa yang ingin dilakukan Arfa.
“Rais...” Arfa tidak berputus asa. Kalsom menjenguk dari pintu dapur. Berkerut dahinya melihat gelagat Arfa. Tidak pernah Arfa beria memanggil Rais sebegini.
“Kenapa, Arfa?” Kalsom menyoal. Pelik.
“Adik mana, nenek?”
“Eh, bukan dengan kamu tadi? Tadi kawan Arfa datang. Dua orang. Dia cari Arfa. Tapi nenek cakap Arfa keluar. Terus ditanya mereka siapa Rais tu. Nenek beritahulah itu adik kamu. Berborak mereka dengan Rais di pangkin tadi.” Arfa segera menoleh ke pangkin. Kosong.
“Dah tak ada. Rais minta izin pada nenek tadi nak ikut kawan Arfa pergi cari Arfa. Ada hal penting katanya.” Arfa, Hany dan Hakimi saling berpandangan.
“Kawan Arfa itu dua-dua lelaki ya, nenek?” Soal Hany pula. Hatinya tidak tenang.
“Mesti Jarir dan Iqbal! Apa yang mereka buat dengan adik kau, Arfa?” Giliran Hakimi pula bersuara. Serentak, kedengaran suara jeritan di belakang rumah. Sayup tidak sekata. Rais. Ya, itu suara Rais. Seketika, kedengaran pula suara Razif meminta tolong. Laju Arfa, Hany dan Hakimi menghayun langkah. Meredah denai kecil di belakang rumah Arfa. Kalsom jauh ketinggalan di belakang. Usia tuanya membatasi pergerakannya.
Air sungai deras mengalir. Anak mata Arfa sempat menangkap kelibat dua pemuda yang berusaha melarikan diri melalui denai-denai sepanjang sungai tersebut. Dia tidak menghiraukannya. Matanya kini liar mencari kelibat Rais.
“Cari Rais...!!!” Jerit Arfa kepada Hany dan Hakimi. Mereka berdua hanya mengangguk. Bersama-sama melaungkan nama Rais. Seketika, Hakimi menjerit memanggil Arfa. Kelihatan Hakimi menggunakan seluruh tenaganya menarik Rais menggunakan ranting ke tebing. Kanak-kanak itu menggigil kesejukan. Pantas Kalsom memeluk tubuh Rais yang kesejukan. Arfa melihat air sungai yang melebihi dari paras biasa. Hatinya sebak. Ditarik Rais ke dalam pelukannya.
“Kak Arfa minta maaf, Is. Kakak janji takkan sakiti Rais lagi.” Rais menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia diminta dilepaskan.
“Kakak, ayah mana? Tadi ayah selamatkan Rais, kak... Ayah cakap ayah sayang Rais. Mana ayah, kak?” Terpinga-pinga mereka yang berada di situ. Arfa bangun. Berjalan seiring arus deras sungai itu. Mencari kelibat ayahnya. Tiada. Arfa memandang kakinya. Dia terpijak sesuatu. Ya, dia tahu. Itu baju ayahnya yang dipakai sebelum dia keluar dari rumah sebentar tadi. Ini bermakna...?
“Ayah... Ayah... Arfa minta maaf ayah...!” Lantang suara Arfa kedengaran. Lemah lututnya. Dia tidak mampu berdiri lagi. Segalanya goyah. Pandangan Arfa gelap.

Janji aku...
Aku tidak pernah menghargai apa yang Tuhan berikan pada aku. Ramai berkata, Rais anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepadaku. Namun, aku tidak pernah merasakan kebenarannya. Tadi, anakku Arfa meminta aku berjanji untuk membahagiakan keluarga kami. Meminta agar aku melayan Rais sama seperti mana aku membelai dan menyayanginya. Aku turuti janjinya. Aku akan cuba memberikan yang terbaik. Kadangkala, anak yang akan membuka mata dan fikiran kita mengenai kebenaran. Terima kasih Arfa. Terima kasih Rais. Sekurang-kurangnya, ayah boleh tersenyum melihat kegembiraan kamu berdua. Walaupun senyuman itu ayah tidak biaskan di hadapan kamu berdua. Arfa, pegang pada janji Arfa, belajar rajin-rajin. Jaga adik dan nenek. Jika umur ayah panjang, ayah nak sangat tengok Arfa ke menara gading. Rais, andainya umur ayah tidak panjang, anugerah Tuhan ini akan menjadi milik Rais. Ayah mahu Rais boleh melihat sama seperti manusia lain. Kornea mata ayah ini untuk Rais. Ayah menghalalkannya. Tanda penyesalan ayah kerana mengabaikan Rais selama ini. Emak, terlalu banyak perkara yang Razif merunsingkan hati mak. Razif mohon maaf. Sejak Razif melihat emak dan Rais sujud di sejadah tempoh hari. Terdetik hati Razif untuk sujud kembali pada yang Esa. Razif terlalu lalai. Razif hanya inginkan kebahagiaan. Razif akan cuba berubah untuk keluarga kita.

RAZIF


*Thnks for reading... ;) 


Nisan Putih (7)

[Episod 7]


Arfa menuruni anak tangga kayu rumahnya. Satu persatu. Dia mencapai pencakar yang diletakkan di bawah rumah. Membersihkan daun-daun kering yang gugur di halaman. Jarang dia melakukan ini semua. Kebiasaannya, jika waktu sebegini, dia akan bersiap untuk ke bandar bertemu dengan cinta hatinya. Namun, kini baginya cinta itu telah mati. Dia ingin memadamkan segalanya. Syukurlah. Yang Esa telah membuka hatinya. Biarlah sejahat mana sekalipun seseorang itu, jika Tuhan mahu manusia itu berubah, pasti tiada halangan yang menjelma. Kun Fayakun. Selesai Arfa membersihkan sekeliling halaman rumah tersebut, Arfa mendekati neneknya yang khusyuk melurut daun kelapa di atas pangkin.
“Rajin cucu nenek sekarang ni,” puji Kalsom. Sejuk hatinya melihat perubahan Arfa. Dia tahu, perubahan itu dilihatnya setelah Arfa esak melepaskan tangisnya di bahu Hany tempoh hari. Dari saat itu, Arfa tidak seperti dahulu lagi. Apa yang lebih melonjakkan hati tuanya, Rais dibelai, diasuh sekasih mungkin. Kalsom benar-benar bersyukur.
“Nenek, Arfa nak tanya nenek sesuatu. Betul ke nenek ada banyak harta?” Terpacul soalan itu dari mulut Arfa. Dia benar-benar ingin tahu. Dia musykil bagaimana Jarir tahu mengenai perkara tersebut sedangkan dirinya langsung tidak tahu menahu mengenai harta yang dimiliki neneknya itu. Arfa menanti jawapan.
“Itu semua dulu, Arfa. Sekarang, ini sajalah harta yang nenek dan kita semua ada. Tanah dan rumah ni.” Kalsom tidak berselindung. Dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa dari cucunya.
“Harta nenek yang dulu, mana?” Kalsom tersenyum mendengar soalan itu dari mulut Arfa. Memang dia mengagak soalan itu yang akan ditanyakan.
“Bukan nenek nak rahsiakan dari Arfa. Cuma nenek tak mahu Arfa salah faham. Semua harta tu nenek dah beri pada ayah Arfa. Hanya dia anak nenek. Kalau bukan pada dia, siapa lagi? Tapi entahlah. Nenek pun tak tahu mana perginya semua tu, Arfa. Nenek tak salahkan ayah Arfa. Ayah banyak tanggungan. Banyak tanggungjawab. Lagipun, waktu Arfa, ayah dan ibu tinggal di bandar dulu banyak pakai duit. Kan? Tak apalah. Yang penting kita bahagia sekarang ni.” Kalsom cuba meyakinkan cucunya. Memang benar banyak harta yang ditinggalkan arwah suaminya dahulu. Namun, oleh kerana Razif mendesak untuk memilikinya, Kalsom terpaksa menyerahkan walaupun niatnya memang ada untuk memberikan semuanya kepada Razif setelah dia tiada nanti. Arfa mengulum senyumnya. Barulah dia faham. Benarlah apa yang dikatakan Jarir. Tetapi usaha Jarir untuk mendapatkan harta-harta tersebut kini hanya sia-sia. Bukan sahaja gagal untuk mendapatkannya, malahan mencium harta-harta tersebut juga hanya akan menjadi mimpinya.
            Razif menyelak jendela biliknya. Anak matanya terpaku pada Arfa dan ibunya yang bersantai di pangkin. Rancakan mereka menggamit Razif untuk turut serta bersama. Sudah lama dia tidak bersantai sekeluarga. Razif menghayun langkah menuju ke pangkin.
“Rancaknya berborak? Sampai tak perasan ayah kat sini?” Razif memicit-micit bahu Arfa. Arfa tersenyum. Begitu juga dengan Kalsom. Tadi, mereka rancak berborak mengenai kenangan Kalsom ketika zaman muda dahulu.  Nenek dan arwah datuknya merupakan di antara mereka yang terawal tinggal di kampung tersebut.
“Dah lama kita tak berkumpul sekeluarga macam ni, kan?” Razif meneruskan bicaranya. Di bibirnya masih mekar dengan senyuman. Bahagia.
“Ayah, salah la. Adik tak ada. Jadi, mana cukup sekeluarga. Ayah dan nenek tunggu di sini. Arfa pergi panggil adik.” Pantas tangan Arfa ditarik. Terhempas punggung Arfa di atas papan keras pangkin tersebut.
“Sakitlah, ayah.” Hanya itu yang keluar dari mulut Arfa. Dia menggosok-gosok pinggulnya.
“Razif? Kenapa tarik anak macam tu?” Giliran Kalsom pula mencelah. Razif cepat-cepat melepaskan tangan Arfa. Dia pun tidak tahu mengapa dia merentap tangan Arfa sebentar tadi. Tetapi... Kenapa Arfa...
“Arfa... Arfa cakap apa tadi?” Razif menyoal kembali. Dia gusar jika gegendang telinganya salah menangkap kata-kata Arfa tadi.
“Ayah ni. Arfa cakap nak pergi panggil adik datang sini. Duduk bersembang sama-sama dengan kita.” Sah. Telinganya tidak salah menangkap apa yang dikatakan Arfa sebentar tadi. Tetapi mengapa? Bukankah selama ini Rais menjadi musuh Arfa? Jangankan menegur, memandang pun ibarat suatu perkara keji yang tidak mungkin dilakukan Arfa.
“Kenapa, Razif? Macam tersampuk hantu.” Pecah gelak Kalsom dan Arfa melihat keadaan Razif yang masih kebingungan.
“Bersyukurlah Razif. Terbuka juga pintu hati Arfa untuk menerima si Rais tu.” Kalsom menambah. Dia mahu Razif juga turut membuka mata. Turut melapangkan hatinya menerima Rais.
“Ayah, Arfa rasa berdosa sangat buat adik macam tu sebelum ni. Pagi tadi, Arfa, nenek dan adik solat sama-sama. Arfa ketuk pintu bilik ayah tapi ayah tak sedar. Adik yang imamkan. Tenang sangat, ayah.” Arfa memeluk lengan Rais. Manjanya tetap seperti dahulu. Razif tawar tersenyum. Bagaimana Arfa semudah itu boleh berubah? Sedangkan dirinya sudah bertahun berusaha memupuk untuk menyayangi Rais. Namun, dia tewas.
“Ayah, boleh ayah bawa Arfa jalan-jalan?” Razif mengangguk. Apa sahaja untuk Arfa. Dia sanggup.
“Kita pergi jalan-jalan petang ni ok?” Arfa memujuk lagi. Razif tersenyum. Tidak mengapalah. Lagipun, esok dia sudah mula bekerja. Cuti 5 hari yang diberikan Zahid ini cukup lama baginya.
“Yahoo...! Kalau macam tu, Arfa pergi beritahu adik.” Pantas Arfa menyarung seliparnya.
“Arfa...! Adik tak boleh ikut.” Bersahaja Razif menuturkannya. Terhenti langkah Arfa. Memaling memandang ayahnya. Sekilas memndang Kalsom yang menjadi pemerhati.
“Kenapa?” Suara Arfa sedikit keras. Dia ingin tahu mengapa Rais tidak boleh ikut bersama dengannya.
“Ayah cakap tak boleh, tak boleh.” Razif meninggalkan pangkin.
“Ayah malu Rais buta?” Kali ini Arfa lantang bersuara. Dia mahu ayahnya tahu apa yang tersirat di dalam hatinya. Ya, dulu Arfa juga begitu. Namun, setelah diteliti Rais tidak boleh disalahkan. Hany orang asing tetapi hatinya dapat menerima Rais. Kesedaran itulah yang membuka hati Arfa untuk menerima Rais.
“Ayah tak mahu tinggi suara pada Arfa. Tolong faham. Adik tak boleh ikut. Arfa pergi siap. Ayah nak pergi pinjam kereta dari Pak Lang.”
“Kenapa ayah nak Arfa faham? Pernah ayah faham apa yang adik nak?” Soalan itu benar-benar menguji kesabaran Razif. Razif memejamkan matanya. Rapat.
“Ayah, tolonglah ayah. Kalau ayah tak mahu beri apa-apa kat Rais, cukuplah sekadar ayah peluk dia, ayah. Itu yang Rais nak.”
“Arfa! Kau jangan pandai nak mengajar aku. Dari kecil sampai besar aku tatang kau. Aku manjakan kau. Bila besar kau nak mengajar aku pula?” Tersentap Arfa mendengar tengkingan itu. Tidak pernah ayahnya bersikap sebegitu. Inilah kali pertama. Kalsom mengurut dadanya.
“Kalau pada ayah Rais bukan anak ayah, bermakna Arfa pun bukan anak ayah...!” Arfa tidak mengalah. Laju kaki Razif dihayun menuju ke arah Arfa. Serentak tangannya diangkat. Padahlah Arfa kali ini.
“Kakak...” Langkah Razif terhenti. Tangannya juga kaku. Tidak diteruskan niatnya untuk mengajar Arfa. Dilihatnya Rais terkebil-kebil di muka pintu. Kalsom pantas menarik Arfa mendekati Rais. Takut jika Arfa dan Rais diapa-apakan Razif.
“Kakak... Tak apa... Kakak jangan paksa ayah macam tu...” Ketiga-tiga beranak itu berendam dengan air mata. Razif hilang entah ke mana. Hilang begitu sahaja membawa barannya. Barulah Arfa tahu bagaimana peritnya Rais menanggung apabila disakiti ayahnya. Sakit. Terlalu sakit untuk ditanggung.

Nisan Putih (6)

[Episod 6]


Mata Hany tidak berkelip melihat kanak-kanak yang leka mengukir sesuatu di atas pangkin. Jarak mereka tidaklah jauh. Kurang sepuluh langkah. Namun, Hany pasti kanak-kanak di atas pangkin itu tidak menyedari kehadirannya. Bibir Hany manis mengukir senyuman. Bahagia melihat bibir kanak-kanak itu yang mekar dengan senyum yang tidak pernah kontang. Dia tidak pernah bersua muka dengan kanak-kanak itu. Apatah menegurnya. Kali ini Hany benar-benar tulus untuk mendekati kanak-kanak istimewa itu. Hany menghayunkan langkah.
            Hakimi mengetuk batang rokok di sebuah bekas aluminium. Rokok di tangannya terus disedut. Sedalam-dalamnya. Iqbal dan Jarir masih bertegang urat dengannya. Masing-masing cuba meminta penjelasan darinya. Berkali-kali juga Hakimi menyatakan bahawa dia tidak mempunyai jawapan kepada persoalan mereka itu.
“Ini semua rancangan kau. Kau jangan ingat kau boleh lepas tangan, Kimi. Kau ketua. Sepatutnya kau yang lebih menonjol. Bukan mengharapkan usaha aku dan Iqbal sahaja,” bentak Jarir. Panas hatinya dengan sikap bersahaja Hakimi. Mula-mula dahulu, Hakimi yang merancang untuk mengikis ketiga-tiga gadis tersebut. Meminta dan merayu agar dirinya, Jarir dan Iqbal dapat bersenang-lenang bersama-sama. Bukan kali pertama mereka melakukan semua ini. Sudah berpuluh mangsa mereka. Strategi mereka mudah. Hanya perlu mendekatkan diri pada mana-mana gadis. Kemudian, setelah gadis-gadis itu di dalam genggaman, mereka akan mula mengikis mangsa-mangsa tersebut sedikit demi sedikit.
“Aku dah dapatkan Aiyu. Jarir pula dah dapatkan Arfa. Semalam, Aiyu berikan aku gelang tangannya. Arfa pula dah berikan Jarir separuh dari duit simpanannya. Kau? Apa yang kau dapat dari Hany?” Giliran Jarir pula menambahkan rasa bersalah terhadap Hakimi. Hakimi tetap membisu. Ya, memang benar semua ini adalah rancangannya. Sebelum ini sememangnya mereka tidak pernah gagal untuk mengikis gadis-gadis di sekeliling mereka. Bahagia palsu yang mereka taburkan hanyalah sebagai umpan. Tetapi Hakimi musykil mengapa kali ini hatinya langsung tidak terusik untuk menjadikan Hany sebagai mangsa. Baginya, gadis itu tulus. Dia tahu gadis itu bukanlah gadis liar sebelum ini yang pernah menjadi mangsa mereka. Berkali-kali dia mencuba untuk mendekatkan diri kepada Hany. Tetap gagal. Usai, Hany juga bukanlah gadis yang sewenang-wenangnya boleh dipergunakan begitu sahaja. Hati lelakinya tewas kali ini.
“Kalau apa-apa terjadi, kau jangan ingat kau boleh terlepas. Aku tahu nenek Arfa banyak harta. Aku akan usaha untuk memiliki semua itu. Dan kau, Kimi. Aku dan Iqbal beri tempoh dua hari sahaja untuk kau pikat Hany. Jika tak, kau jangan harap dapat menumpang hasil dari aku dan Iqbal.” Kata-kata berbaur ugutan itu dilemparkan kepada Hakimi. Jarir mengetap bibirnya. Geram dengan lagak bersahaja Hakimi. Mahu sahaja dia mencengkam leher baju Hakimi. Kelibat Arfa di penjuru gerai di situ menghalang Jarir dari terus bertindak. Jarir melepaskan dengusannya. Jarir melihat Arfa dan Aiyu masih tercegat di penjuru sana. Pantas Jarir memandang Iqbal. Risau jika Arfa mendengar perbalahan mereka sebentar tadi. Jarir menghampiri Arfa dan Aiyu.
“Hai, kenapa berdiri di sini? Tercegat. Macam namapak hantu.” Jarir cuba meregangkan keadan. Pelik melihat Arfa dan Aiyu yang membisu di hadapannya. Arfa dan Aiyu saling berpandangan. Pantas Jarir merangkul bahu Arfa. Dia memberi isyarat kepada Iqbal untuk mendekati Aiyu. Mereka berlalu dari situ.
“Mama banyak diam hari ni. Ada masalah?” Soal Jarir seolah-olah prihatin dengan keadaan Arfa. Arfa berkira-kira untuk menjawab soalan Jarir itu. Dia dan Aiyu sudah lama berada di penjuru gerai sebentar tadi. Bukan niat mereka untuk memasang telinga. Tetapi mungkin kerana mereka diberi petunjuk mengenai kejujuran tiga sekawan itu. Kini, Arfa benar-benar bingung. Benarkah Jarir yang selama ini mencurahkan sayang kepadanya hanya sekadar inginkan hartanya? Harta? Harta apa yang dia ada? Tidak mungkin Jarir menginginkan rumah pusaka neneknya itu. Langsung tidak masuk akal. Sebelum ini Arfa pernah serahkan wang simpanannya kepada Jarir. Dia tahu Jarir, Iqbal dan Hakimi mempunyai perniagaan. Alasan Jarir meminjam wang dari Arfa tempoh hari adalah untuk melabur bagi meluaskan perniagaan mereka. Jika perniagaan mereka maju, cepatlah Arfa dan Jarir membina mahligai. Memang itu impian mereka. Namun, hatinya kini berbolak-balik. Entah mengapa.
“Mama rasa tak sedap badan. Mama balik dulu.” Langsung Arfa mencapai tas tangannya. Dia mencari Aiyu yang masih mesra bersama Iqbal. Tersentak Iqbal apabila Arfa menarik Aiyu. Jarir hanya memandang. Sah. Pasti Arfa dengar segala perbalahan mereka tadi. Jarir menggenggamkan tangannya. Kuat dia menumbuk tembok batu di sebelahnya. Azamnya kuat. Walau apa yang terjadi, dia akan tetap menggenggam harta nenek Arfa. Dia tahu segala-galanya. Dia harus merancang dengan lebih teliti. Jarir benar-benar pasti.
“Hany betul-betul minta maaf, nek. Hany memang tak tahu Rais adik kandung Arfa. Lagipun, Arfa halang untuk Hany dekat dengan Rais. Dah lama Hany perhatikan Rais. Baik budak tu. Selalu Hany tengok Rais tolong nenek sebelum dia ke Pulau Pinang dahulu,” ujar Hany. Terkejut dia apabila nenek Kalsom menyatakan bahawa Rais itu cucu kandungnya. Adik kandung Arfa. Mengapa Arfa sanggup menipu dia dan orang sekeliling dengan menyatakan bahawa Rais bukan darah dagingnya? Sanggup. Hany menoleh ke arah Rais yang masih bersendiri mengukir nama Arfa di atas sekeping kayu. Halus ukirannya. Hany benar-benar terpegun melihat kelebihan Rais itu.
“Lihatlah. Rais sedikit pun tak pernah menyakiti sesiapa. Dia berusaha untuk memikat hati kakak dan ayahnya. Nenek pun tak faham kenapa mereka malu dengan Rais. Sepatutnya mereka perlu menaikkan semangat Rais. Bukan membiarkan Rais mengemis kasih begitu.” Kalsom mengesat lagi hujung matanya. Senang air matanya tumpah sejak Rais ada di rumah itu.
“Hany, boleh nenek tanya sesuatu?” Kalsom meneruskan perbualan mereka. Hany mengangguk. Inilah kali pertama Kalsom dapat bersua muka dan berpeluang berbual dengan rakan Arfa tanpa kehadiran Arfa. Terlu banyak persoalan yang bermain di fikiran Kalsom.
“Nenek sayangkan Arfa. Nenek tahu Arfa tidak ramai kawan. Tak semua orang boleh bergaul dengan Arfa. Dan nenek tahu Hany rapat dengan Arfa. Nenek Cuma nak tahu ke mana Arfa pergi bila dia keluar dan dengan siapa dia bergaul di luar sana.” Kalsom tidak berselindung lagi. Dia tidak mahu cucunya hanyut. Jika langkah Arfa kini sumbang, masih sempat dia menyelamatkan Arfa. Apa yang penting, dia tidak mahu Arfa terus hanyut dengan keseronokan duniawi. Hany memandang Kalsom. Memang itu tujuannya ke situ. Mahu keluarga Arfa cepat-cepat menarik Arfa ke jalan yang sebenarnya. Dia tahu, nasihatnya tidak akan diendah Arfa. Sayu Hany melihat ketulusan melalui anak mata wanita tua itu. Hany menggenggam tangan Kalsom.
“Nek, Arfa sebenarnya baik. Dia Cuma memerlukan lebih kasih sayang dan perhatian dari keluarga. Tapi saya faham. Pak cik sibuk mencari rezeki. Nenek pula tidak sihat. Sebagai kawan, saya tak mahu Arfa terus hanyut dengan budak bandar yang bukan muhrim baginya. Saya tidaklah sebaik mana. Saya berterus-terang sebab tak mahu Arfa diapa-apakan. Nenek cubalah nasihatkan Arfa. Minta dia jauhkan diri dari tiga orang pemuda di bandar tu. Saya risaukan keselamatan Arfa.” Hany berterus-terang. Baginya, inilah cara jika dia benar-benar sayangkan Arfa. Biarlah. Dia tidak kisah jika selepas ini Arfa datang dan mengherdiknya kerana memberitahu hal tersebut kepada keluarganya. Dia tidak kisah. Dia juga tahu, Jarir, Iqbal dan Hakimi bukan lelaki baik. Sudah banyak cerita yang didengarinya.
Kalsom beristighfar. Genggaman tangan Hany dileraikan. Dia mengurut dadanya.          Betul sangkaannya selama ini. Dia tahu Arfa tidak ke kelas tambahan. Dia juga tahu Arfa menipu Razif meminta wang belanja kononnya mahu membeli buku dan sebagainya. Naluri hatinya dapat merasakan semua itu tidak benar. Sekilas, Kalsom memandang Rais. Mengapalah Arfa tidak mengikut jejak Rais yang mendengar kata? Pandangannya terarah pula pada sesusuk tubuh yang berjalan masuk di halaman rumah kayu itu. Arfa. Dia segera bangun. Dia tidak mahu menakung kelopak di hadapan Arfa. Perasaannya kini bercampur-baur. Dia membiarkan Arfa mendekati Hany. Biarlah mereka memulakan bicara.
Pertemuan mereka sepi. Tiada sebarang bait kata kedengaran. Yang kedengaran hanyalah esakan Arfa yang semakin rancak. Hany hanya memerhati. Dia takut jika tegurannya akan menambahkan kedukaan sahabatnya itu. Namun, naluri manusiannya tidak sanggup membiarkan bahu Arfa terus menghinjut menahan sendu. Ditarik Arfa ke dalam pelukannya. Arfa menurut. Dilepaskan segala tangisnya. Sepuas-puasnya.
Kali ini pertimbangan Arfa benar-benar terganggu. Jika sebelum ini dia merasakan hidupnya sempurna dengan adanya cinta Jarir. Tetapi... Ah...! Arfa tidak tahu samada apa yang didengarinya sebentar tadi dari mulut Jarir boleh dipercayai atau tidak. Bermakna selama ini dia hanya dipergunakan oleh lelaki-lelaki itu. Nah! Sahabat yang diketepikannya dahulu kini ada bersamanya untuk menenangkan hatinya yang kusut. Arfa benar-benar malu dengan Hany. Dia terlalu mengikut nafsu cintanya. Mengabaikan sahabat yang bersusah-senang dengannya sebelum ini. Di mana lagi harus disorok mukanya kini? Arfa memandang Hany. Dia mahu menuturkan sesuatu. Namun, sebaknya menghalang. Hany hanya tersenyum. Mengesat air mata sahabatnya dengan hujung jari. Hany menarik tangan Arfa menuju ke pangkin. Meminta Arfa duduk menghadap Rais.
“Aku tidak kisah kalau kau mengabaikan aku sebagai sahabat. Tapi, kau seharusnya berbangga mempunyai adik kandung seperti Rais. Dia benar-benar tulus menyayangi kau.” Suara Hany bergetar. Menahan sebaknya. Dia mahu Arfa menghargai Rais. Bukan mengetepikan Rais seperti sebelum ini. Arfa tepat memandang mata Rais. Sendunya masih terlekat di dada. Disentuhnya papan yang terukir namanya. Rais kaku di situ. Membiarkan papan tersebut ditarik Arfa. Esakan Arfa kedengaran lagi. Ukiran tersebut benar-benar menyentuh perasaannya. Dilekapkan papan tersebut ke dadanya.
“Tuhan... Ampunkan aku. Aku menyakiti hati insan kandungku. Aku menganiaya darah dagingku.” Kata kata itu hanya kuat menjerit di dalam hatinya. Wajah suci Rais tersenyum. Menghargai pemberian Tuhan yang dinantikannya selama ini.