Wednesday, 14 November 2012

Nisan Putih (6)

[Episod 6]


Mata Hany tidak berkelip melihat kanak-kanak yang leka mengukir sesuatu di atas pangkin. Jarak mereka tidaklah jauh. Kurang sepuluh langkah. Namun, Hany pasti kanak-kanak di atas pangkin itu tidak menyedari kehadirannya. Bibir Hany manis mengukir senyuman. Bahagia melihat bibir kanak-kanak itu yang mekar dengan senyum yang tidak pernah kontang. Dia tidak pernah bersua muka dengan kanak-kanak itu. Apatah menegurnya. Kali ini Hany benar-benar tulus untuk mendekati kanak-kanak istimewa itu. Hany menghayunkan langkah.
            Hakimi mengetuk batang rokok di sebuah bekas aluminium. Rokok di tangannya terus disedut. Sedalam-dalamnya. Iqbal dan Jarir masih bertegang urat dengannya. Masing-masing cuba meminta penjelasan darinya. Berkali-kali juga Hakimi menyatakan bahawa dia tidak mempunyai jawapan kepada persoalan mereka itu.
“Ini semua rancangan kau. Kau jangan ingat kau boleh lepas tangan, Kimi. Kau ketua. Sepatutnya kau yang lebih menonjol. Bukan mengharapkan usaha aku dan Iqbal sahaja,” bentak Jarir. Panas hatinya dengan sikap bersahaja Hakimi. Mula-mula dahulu, Hakimi yang merancang untuk mengikis ketiga-tiga gadis tersebut. Meminta dan merayu agar dirinya, Jarir dan Iqbal dapat bersenang-lenang bersama-sama. Bukan kali pertama mereka melakukan semua ini. Sudah berpuluh mangsa mereka. Strategi mereka mudah. Hanya perlu mendekatkan diri pada mana-mana gadis. Kemudian, setelah gadis-gadis itu di dalam genggaman, mereka akan mula mengikis mangsa-mangsa tersebut sedikit demi sedikit.
“Aku dah dapatkan Aiyu. Jarir pula dah dapatkan Arfa. Semalam, Aiyu berikan aku gelang tangannya. Arfa pula dah berikan Jarir separuh dari duit simpanannya. Kau? Apa yang kau dapat dari Hany?” Giliran Jarir pula menambahkan rasa bersalah terhadap Hakimi. Hakimi tetap membisu. Ya, memang benar semua ini adalah rancangannya. Sebelum ini sememangnya mereka tidak pernah gagal untuk mengikis gadis-gadis di sekeliling mereka. Bahagia palsu yang mereka taburkan hanyalah sebagai umpan. Tetapi Hakimi musykil mengapa kali ini hatinya langsung tidak terusik untuk menjadikan Hany sebagai mangsa. Baginya, gadis itu tulus. Dia tahu gadis itu bukanlah gadis liar sebelum ini yang pernah menjadi mangsa mereka. Berkali-kali dia mencuba untuk mendekatkan diri kepada Hany. Tetap gagal. Usai, Hany juga bukanlah gadis yang sewenang-wenangnya boleh dipergunakan begitu sahaja. Hati lelakinya tewas kali ini.
“Kalau apa-apa terjadi, kau jangan ingat kau boleh terlepas. Aku tahu nenek Arfa banyak harta. Aku akan usaha untuk memiliki semua itu. Dan kau, Kimi. Aku dan Iqbal beri tempoh dua hari sahaja untuk kau pikat Hany. Jika tak, kau jangan harap dapat menumpang hasil dari aku dan Iqbal.” Kata-kata berbaur ugutan itu dilemparkan kepada Hakimi. Jarir mengetap bibirnya. Geram dengan lagak bersahaja Hakimi. Mahu sahaja dia mencengkam leher baju Hakimi. Kelibat Arfa di penjuru gerai di situ menghalang Jarir dari terus bertindak. Jarir melepaskan dengusannya. Jarir melihat Arfa dan Aiyu masih tercegat di penjuru sana. Pantas Jarir memandang Iqbal. Risau jika Arfa mendengar perbalahan mereka sebentar tadi. Jarir menghampiri Arfa dan Aiyu.
“Hai, kenapa berdiri di sini? Tercegat. Macam namapak hantu.” Jarir cuba meregangkan keadan. Pelik melihat Arfa dan Aiyu yang membisu di hadapannya. Arfa dan Aiyu saling berpandangan. Pantas Jarir merangkul bahu Arfa. Dia memberi isyarat kepada Iqbal untuk mendekati Aiyu. Mereka berlalu dari situ.
“Mama banyak diam hari ni. Ada masalah?” Soal Jarir seolah-olah prihatin dengan keadaan Arfa. Arfa berkira-kira untuk menjawab soalan Jarir itu. Dia dan Aiyu sudah lama berada di penjuru gerai sebentar tadi. Bukan niat mereka untuk memasang telinga. Tetapi mungkin kerana mereka diberi petunjuk mengenai kejujuran tiga sekawan itu. Kini, Arfa benar-benar bingung. Benarkah Jarir yang selama ini mencurahkan sayang kepadanya hanya sekadar inginkan hartanya? Harta? Harta apa yang dia ada? Tidak mungkin Jarir menginginkan rumah pusaka neneknya itu. Langsung tidak masuk akal. Sebelum ini Arfa pernah serahkan wang simpanannya kepada Jarir. Dia tahu Jarir, Iqbal dan Hakimi mempunyai perniagaan. Alasan Jarir meminjam wang dari Arfa tempoh hari adalah untuk melabur bagi meluaskan perniagaan mereka. Jika perniagaan mereka maju, cepatlah Arfa dan Jarir membina mahligai. Memang itu impian mereka. Namun, hatinya kini berbolak-balik. Entah mengapa.
“Mama rasa tak sedap badan. Mama balik dulu.” Langsung Arfa mencapai tas tangannya. Dia mencari Aiyu yang masih mesra bersama Iqbal. Tersentak Iqbal apabila Arfa menarik Aiyu. Jarir hanya memandang. Sah. Pasti Arfa dengar segala perbalahan mereka tadi. Jarir menggenggamkan tangannya. Kuat dia menumbuk tembok batu di sebelahnya. Azamnya kuat. Walau apa yang terjadi, dia akan tetap menggenggam harta nenek Arfa. Dia tahu segala-galanya. Dia harus merancang dengan lebih teliti. Jarir benar-benar pasti.
“Hany betul-betul minta maaf, nek. Hany memang tak tahu Rais adik kandung Arfa. Lagipun, Arfa halang untuk Hany dekat dengan Rais. Dah lama Hany perhatikan Rais. Baik budak tu. Selalu Hany tengok Rais tolong nenek sebelum dia ke Pulau Pinang dahulu,” ujar Hany. Terkejut dia apabila nenek Kalsom menyatakan bahawa Rais itu cucu kandungnya. Adik kandung Arfa. Mengapa Arfa sanggup menipu dia dan orang sekeliling dengan menyatakan bahawa Rais bukan darah dagingnya? Sanggup. Hany menoleh ke arah Rais yang masih bersendiri mengukir nama Arfa di atas sekeping kayu. Halus ukirannya. Hany benar-benar terpegun melihat kelebihan Rais itu.
“Lihatlah. Rais sedikit pun tak pernah menyakiti sesiapa. Dia berusaha untuk memikat hati kakak dan ayahnya. Nenek pun tak faham kenapa mereka malu dengan Rais. Sepatutnya mereka perlu menaikkan semangat Rais. Bukan membiarkan Rais mengemis kasih begitu.” Kalsom mengesat lagi hujung matanya. Senang air matanya tumpah sejak Rais ada di rumah itu.
“Hany, boleh nenek tanya sesuatu?” Kalsom meneruskan perbualan mereka. Hany mengangguk. Inilah kali pertama Kalsom dapat bersua muka dan berpeluang berbual dengan rakan Arfa tanpa kehadiran Arfa. Terlu banyak persoalan yang bermain di fikiran Kalsom.
“Nenek sayangkan Arfa. Nenek tahu Arfa tidak ramai kawan. Tak semua orang boleh bergaul dengan Arfa. Dan nenek tahu Hany rapat dengan Arfa. Nenek Cuma nak tahu ke mana Arfa pergi bila dia keluar dan dengan siapa dia bergaul di luar sana.” Kalsom tidak berselindung lagi. Dia tidak mahu cucunya hanyut. Jika langkah Arfa kini sumbang, masih sempat dia menyelamatkan Arfa. Apa yang penting, dia tidak mahu Arfa terus hanyut dengan keseronokan duniawi. Hany memandang Kalsom. Memang itu tujuannya ke situ. Mahu keluarga Arfa cepat-cepat menarik Arfa ke jalan yang sebenarnya. Dia tahu, nasihatnya tidak akan diendah Arfa. Sayu Hany melihat ketulusan melalui anak mata wanita tua itu. Hany menggenggam tangan Kalsom.
“Nek, Arfa sebenarnya baik. Dia Cuma memerlukan lebih kasih sayang dan perhatian dari keluarga. Tapi saya faham. Pak cik sibuk mencari rezeki. Nenek pula tidak sihat. Sebagai kawan, saya tak mahu Arfa terus hanyut dengan budak bandar yang bukan muhrim baginya. Saya tidaklah sebaik mana. Saya berterus-terang sebab tak mahu Arfa diapa-apakan. Nenek cubalah nasihatkan Arfa. Minta dia jauhkan diri dari tiga orang pemuda di bandar tu. Saya risaukan keselamatan Arfa.” Hany berterus-terang. Baginya, inilah cara jika dia benar-benar sayangkan Arfa. Biarlah. Dia tidak kisah jika selepas ini Arfa datang dan mengherdiknya kerana memberitahu hal tersebut kepada keluarganya. Dia tidak kisah. Dia juga tahu, Jarir, Iqbal dan Hakimi bukan lelaki baik. Sudah banyak cerita yang didengarinya.
Kalsom beristighfar. Genggaman tangan Hany dileraikan. Dia mengurut dadanya.          Betul sangkaannya selama ini. Dia tahu Arfa tidak ke kelas tambahan. Dia juga tahu Arfa menipu Razif meminta wang belanja kononnya mahu membeli buku dan sebagainya. Naluri hatinya dapat merasakan semua itu tidak benar. Sekilas, Kalsom memandang Rais. Mengapalah Arfa tidak mengikut jejak Rais yang mendengar kata? Pandangannya terarah pula pada sesusuk tubuh yang berjalan masuk di halaman rumah kayu itu. Arfa. Dia segera bangun. Dia tidak mahu menakung kelopak di hadapan Arfa. Perasaannya kini bercampur-baur. Dia membiarkan Arfa mendekati Hany. Biarlah mereka memulakan bicara.
Pertemuan mereka sepi. Tiada sebarang bait kata kedengaran. Yang kedengaran hanyalah esakan Arfa yang semakin rancak. Hany hanya memerhati. Dia takut jika tegurannya akan menambahkan kedukaan sahabatnya itu. Namun, naluri manusiannya tidak sanggup membiarkan bahu Arfa terus menghinjut menahan sendu. Ditarik Arfa ke dalam pelukannya. Arfa menurut. Dilepaskan segala tangisnya. Sepuas-puasnya.
Kali ini pertimbangan Arfa benar-benar terganggu. Jika sebelum ini dia merasakan hidupnya sempurna dengan adanya cinta Jarir. Tetapi... Ah...! Arfa tidak tahu samada apa yang didengarinya sebentar tadi dari mulut Jarir boleh dipercayai atau tidak. Bermakna selama ini dia hanya dipergunakan oleh lelaki-lelaki itu. Nah! Sahabat yang diketepikannya dahulu kini ada bersamanya untuk menenangkan hatinya yang kusut. Arfa benar-benar malu dengan Hany. Dia terlalu mengikut nafsu cintanya. Mengabaikan sahabat yang bersusah-senang dengannya sebelum ini. Di mana lagi harus disorok mukanya kini? Arfa memandang Hany. Dia mahu menuturkan sesuatu. Namun, sebaknya menghalang. Hany hanya tersenyum. Mengesat air mata sahabatnya dengan hujung jari. Hany menarik tangan Arfa menuju ke pangkin. Meminta Arfa duduk menghadap Rais.
“Aku tidak kisah kalau kau mengabaikan aku sebagai sahabat. Tapi, kau seharusnya berbangga mempunyai adik kandung seperti Rais. Dia benar-benar tulus menyayangi kau.” Suara Hany bergetar. Menahan sebaknya. Dia mahu Arfa menghargai Rais. Bukan mengetepikan Rais seperti sebelum ini. Arfa tepat memandang mata Rais. Sendunya masih terlekat di dada. Disentuhnya papan yang terukir namanya. Rais kaku di situ. Membiarkan papan tersebut ditarik Arfa. Esakan Arfa kedengaran lagi. Ukiran tersebut benar-benar menyentuh perasaannya. Dilekapkan papan tersebut ke dadanya.
“Tuhan... Ampunkan aku. Aku menyakiti hati insan kandungku. Aku menganiaya darah dagingku.” Kata kata itu hanya kuat menjerit di dalam hatinya. Wajah suci Rais tersenyum. Menghargai pemberian Tuhan yang dinantikannya selama ini.

Nisan Putih (5)

[Episod 5]


Dingin pagi itu mula menggigit tulang. Kokokan ayam tidak henti-henti sejak tadi. Seolah-olah mengejutkan manusia bangun untuk sujud pada yang Esa. Rais meraba-raba dinding kayu biliknya. Perlahan dia berjalan menuju ke penjuru bilik. Tingkap biliknya dibuka. Rais menyedut dingin udara pada pagi itu. Jiwanya tenang. Tidak ada apa yang perlu difikirkan sekarang. Orang yang disayanginya kini berada disekelilingnya. Tidak mengapalah jika mereka tidak menerima Rais sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kerinduan itu terubat dengan hanya sekadar mendengar suara mereka. Walaupun suara-suara itu yang banyak menyakitinya. Rais tidak kisah. Benar-benar tidak kisah.
            Rais menyusun langkahnya ke bilik air. Selok-belok rumah itu ditelitinya. Banyak perabot-perabot yang telah diubah. Menyukarkan sedikit sebanyak pergerakannya. Dahulu sebelum dia dihantar ke Pulau Pinang, setiap kedudukan di dalam rumah itu hanya di dalam genggamannya. Hanya di situ tempat dia berteduh. Rais tidak pernah tahu kalau-kalau mereka mempunyai tempat perlindungan lain selain dari rumah pusaka tersebut. Arfa selalu menegaskan bahawa jika bukan kerana malang yang dibawa Rais, pasti mereka bahagia di rumah mewah milik ayah dahulu. Kadangkala Rais turut menyalahkan dirinya. Dia seolah-olah telah merampas segala kebahagiaan yang dikecapi keluarganya sebelum ini.
            Pili air dibuka. Sejuknya semakin mencengkam ke tulang hitam. Sudah lama Rais tidak menikmati pagi yang sebegini. Seraya, Rais terus menunaikan tanggungjawabnya. Kecacatan bukanlah penghalang untuk dia bersujud dan meminta kepada Maha Esa. Tertib wuduk diselesaikannya. Rais terus ke ruang tamu. Sejadah dihampar mengikut arah kiblat yang dimaklumkan neneknya sejak dahulu. Dengan lafaz bismillah, Rais melaungkan azan. Sayu dibawa dingin pagi itu.
            Razif membuka kelopak matanya. Berkelip-kelip matanya. Tidurnya seakan-akan terganggu. Susah untuk dia melelapkan matanya. Razif menoleh melihat jam loceng di penjuru katilnya. 5.50 pagi. Baru setengah jam dia melelapkan mata. Gegendang telinganya menangkap laungan azan yang memaksa kelopak matanya dibuka. Seketika, Razif memikirkan sesuatu. Dari mana datangnya laungan azan tersebut? Tidak mungkin laungan azan itu datangnya dari corongan surau. Tidak mungkin laungan tersebut sejelas laungan yang didengarinya kini. Razif menyelak selimutnya. Dingin sejuk mula menangkap tubuhnya. Perlahan Razif menapak ke ruang tamu. Sekali lagi jiwanya dicuit oleh anak kecilnya itu. Sebak jiwa Razif melihat Rais melaungkan azan. Seharusnya, seorang bapa yang melakukan tanggungjawab itu. Bukan kanak-kanak yang baru mencecah usia 10 tahun seperti Rais. Razif melihat tubuh tegapnya sendiri. Berkira-kira sudah berapa lama kakinya tidak menjejak sejadah suci itu.
            Kelihatan Kalsom mendekati Rais. Membentangkan sejadah dibelakang cucunya itu. Kalsom mengusap rambut cucu lelaki tunggalnya. Menyeringai Rais menerima usapan tersebut.
“Nenek, mana ayah dan kak Arfa?” Soal Rais. Tubuh kecil itu masih menunggu kehadiran Razif dan Arfa. Sudah lama dia mengimpikan untuk berjemaah bersama-sama. Mengimpikan dapat mencium tangan keluarganya meminta restu. Meminta dihalalkan segalanya.
“Is, mungkin ayah dan kak Arfa solat di dalam bilik. Kita teruskan, ya?” Pinta Kalsom. Dia nampak raut wajah Rais berubah. Namun, dia terpaksa. Mana mungkin dia memberitahu Rais bahawa mata kepalanya tidak pernah melihat Razif dan Arfa bersama-sama berjemaah. Malah, sudah lama dia tidak melihat Razif mengangkat takbir. Mulutnya pula sudah berbuih menasihatkan Arfa. Langsung tidak diendahkan tegurannya itu. Telekung yang dihadiahkan kepada Arfa hanya menjadi alas di atas almari. Putih suci telekung itu tidak kelihatan lagi.
            Razif hanya menjadi pemerhati. Kakinya kaku di lantai papan itu. Tidak pernah dia mengajar Rais melunaskan tanggungjawab sebagai Islam. Dia telah mengabaikan segala-galanya. Namun, Rais berjaya membuktikan dia mampu berdiri walupun tanpa sokongan Razif. Razif melangkah menuju ke ketail. Merebahkan tubuhnya di pembaringan. Memikirkan masa hadapan Arfa dan Rais. Memikirkan nasib tuanya. Memikirkan bekalannya ke alam yang akan dihidupkan semula. Razif runsing. Dia merapatkan kelopak matanya. Ligat fikirannya mencari penyelesaian. Resah. Dia terlalu resah kini.
“Nenek, nenek sayangkan Rais?” Terpacul tiba-tiba soalan itu daripada bibir Rais. Kalsom memandang. Dia ketepikan ulasan bawang di hadapannya. Tepat anak matanya memandang Rais. Penuh kasih.
“Siapa lagi yang nenek ada di dalam dunia ni? Mestilah nenek sayangkan Rais.”
“Tapi, nenek masih ada ayah dan kak Arfa. Mesti nenek lebih sayangkan ayah dan kak Arfa.” Kalsom tidak tahu mengapa soalan sebegitu disoal Rais.
“Kau jangan harap nenek sayangkan kau lebih dari aku. Ingat sikit, kau tu tak boleh buat apa-apa. Rugilah kalau nenek sayangkan kau lebih dari aku. Nak minta tolong pada kau pun susah.” Arfa muncul tiba-tiba. Terus diselaknya tudung saji di atas meja. Mencari apa yang boleh menjadi pengalas perutnya pada pagi itu. Kalsom memandang Rais. Risau jika hamburan Arfa mengusik hati kanak-kanak itu.
“Mana mungkin nenek sayangkan Rais lebih dari kakak. Lagipun kakak yang ada dan tinggal dengan nenek. Mesti kakak yang banyak bantu nenek.” Rais menambah. Memang begitu niatnya. Dia tidak mahu neneknya itu terlampau menjaga hati kecilnya itu. Dia tahu, sejak dia menjejakkan kaki ke rumah itu semalam, hanya neneknya yang berusaha menjaga hatinya. Ayah dan kak Arfa langsung tidak mengendahkannya. Seolah-olah tidak langsung menyambut kepulangannya itu. Benarkah?
“Awal Arfa bangun pagi ni? Cantik-cantik nak pergi ke mana?” Kalsom bertanya. Selalunya Arfa tidak akan bangun seawal ini. Bau harum mencucuk-mencucuk. Dia tahu cucu sulungnya itu mahu ke pekan. Dia tidak kisah jika Arfa mahu ke pekan. Namun, apa yang digusarnya ialah dia risau jika Arfa bergaul dengan orang yang salah. Sudah berkali-kali Kalsom bertanyakan ke mana cucunya itu pergi dan dengan siapakah cucunya itu bergaul. Namun, Arfa tidak pernah peduli dengan kebimbangannya. Razif pula terlalu memanjakan Arfa. Terlalu menuruti kehendak cahaya matanya itu. Soalan Kalsom sebentar tadi dibiar tergantung begitu sahaja oleh Arfa.
“Nenek janganlah risau. Kakak mungkin pergi jumpa kawan-kawan di pekan tu. Kakak kan dah besar.” Rais menyedapkan hati Kalsom. Pandai cucunya itu menenangkan hatinya. Kalsom tersenyum.
“Nenek tak kisah mana kakak nak pergi. Cuma nenek harap kakak tak buat perkara yang tidak elok. Nenek kasihan pada ayah. Ayah terlalu mengharapkan kakak.” Kalsom berterus-terang. Namun, kali ini dia terlupa anak kecil itu peka mendengar hujahannya.
“Kasihan, ayah. Kakak pernah cakap, ayah memang inginkan anak lelaki. Tapi bila ayah dapat tahu Rais buta, ayah kecewa. Betul ke nenek?” Kalsom terkesima. Memang. Betul apa yang dikatakan Rais itu. Sememangnya Razif kecewa dengan kehadiran Rais. Tidak pernah Rais mengembar-gemburkan kelahiran Rais. Tidak seperti kali pertama Razif menimang cahaya mata. Sangat berbeza. Apa yang harus dijelaskan kepada Rais?
“Rais cuba melakukan yang terbaik untuk keluarga kita. Memang susah untuk Rais mendapat dan mencapai sesuatu, nenek. Jika boleh, Rais nak menjadi pelajar cemerlang. Rais mahu ayah, nenek dan kak Arfa bangga dengan Rais. Tapi ayah pernah cakap, setinggi mana sekalipun Rais berjaya dalam pelajaran, Rais tidak akan ke mana.” Mata kanak-kanak itu mula bergenang. Kalsom dapat melihat kesungguhan cucu kesayangannya itu. Dia tahu, hanya pada kanak-kanak itu dia mampu berharap untuk berdoa di kuburnya suatu hari nanti. Dia hanya boleh mengharapkan Rais. Hanya Rais.
“Is, jangan cakap macam tu. Kita tak boleh duga rezeki yang datang kepada kita. Rais jangan ambil hati dengan kata-kata ayah. Nenek tahu Rais boleh berjaya. Sejuk hati nenek bila ada waris nenek yang boleh mengimamkan solat nenek.” Bergetar suara Kalsom. Dia memang tidak dapat menahan sebaknya. Dipeluknya Rais sekuat hati. Bari tadi dia berjanji kepada dirinya bahawa dia takkan menumpahkan air matanya pada hari ini di hadapan Rais. Ternyata dia tidak mampu. Nalurinya benar-benar tersentuh dengan ketulusan hati istimewa Rais. Rais kaku di dalam pelukan neneknya. Perlahan Rais mengesai hujung matanya dengan lengan baju.
“Rais mahukan pelukan sebegini oleh ayah. Rais tak pernah tahu bagaimana hangatnya pelukan seorang ibu. Sekurang-kurangnya ayah tolonglah beri peluang kepada Rais untuk rasa kehangatan pelukan seorang ayah. Rais merayu...” Hati kecil Rais merintih sayu.


Nisan Putih (4)

[Episod 4]


“Papa betul-betul tak faham dengan Hany tu, mama. Pelik betul. Kasihan Hakimi. Dia langsung tak pernah peduli pada Hakimi tu. Lepas tu sesuka hati nak tuduh kami ni orang jahat. Entah apa-apalah dia tu, mama,”  Jarir menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
“Entahlah papa. Mama pun tak faham. Pelik sangat.” Hanya itu yang mampu dituturkan Arfa. Dia rasa bersalah kerana mengabaikan Hany. Dia memejamkan matanya. Cuba membuang rasa bersalahnya itu.
“Sudahlah, bukan salah mama. Lepas ni mama tak payahlah berkawan dengan Hany lagi. Papa tak suka bila dia tuduh papa bukan-bukan.” Senang Jarir menuturkannya. Arfa hanya memandang. Ingin membalas apa yang dikatakan Jarir. Namun bibirnya tertutup rapat. Hanya dengusan yang membalas kata-kata Jarir sebentar tadi. Dia meminta izin untuk pulang. Perasaannya kosong pada hari itu.
Langkah Arfa longlai. Hanya Aiyu yang menemaninya sebentar tadi. Hany entah ke mana. Sudah dua hari Hany mendiamkan diri. Dia tahu sahabatnya itu masih memarahi dirinya. Langsung mereka tidak berhubung. Puas dia menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Hany memohon maaf. Juga tidak berbalas. Hendak menjenguk Hany di rumah, pastilah tidak. Takut dikejar dengan ibu Hany. Arfa disalahkan kerana Hany sering pulang lewat ke rumah. Arfa tidak membantah. Memang benar kata-kata ibu Hany itu. Dia yang mengajak Hany ke sana ke mari.
“Arfa, itu Rais kan?” Soal Aiyu. Arfa memandang. Dilihat adiknya itu mencangkung di bawah suluhan lampu jalan di hadapan rumahnya. Mengais-ngais seperti mencari sesuatu. Arfa mengecilkan kelopak matanya. Menggigit bibirnya.
“Aku balik dulu.” Terus Arfa berlalu meninggalkan Aiyu. Tercengang Aiyu dengan sikap spontan Arfa itu. Memang Aiyu tahu, Rais sangat dibenci. Mungkin kerana Rais tidak sempurna. Mungkin juga Arfa menganggap Rais beban kerana wujud di dalam keluarga Arfa. Bukankan Rais hanya sekadar anak pungutan? Itulah yang sering ditegaskan Arfa. Aiyu hanya menggeleng. Meneruskan langkahnya pulang ke rumah.
“Siapa hantar kau balik?” Rais segera bangun. Berjalan ke hadapan selangkah dua. Mencari suara yang menyapanya itu. Meraba-raba dia mencari susuk tubuh Arfa. Telapak tangannya menyentuh lengan Arfa. Menyeringai Rais apabila dapat menyentuh kakak kandungnya itu. Ditarik tangan kakaknya itu dan dikucup. Serta-merta Arfa merentap tangannya kembali. Seraya itulah tubuh kecil Rais ditolak keras menyembah tanah.
“Arfa! Kenapa buat adik macam tu?” Kalsom menggagahkan langkahnya memijak tanah. Menarik Rais ke dalam pelukannya. Menyapu debu tanah di pakaian kanak-kanak itu. Kenapa sanggup Arfa melayan Rais sebegitu? Arfa benar-benar melampau. Dipandangnya Arfa yang masih memeluk tubuh di anak tangga. Anak matanya tajam menjeling ke arah Rais.
“Kenapa benci sangat Arfa pada adik ni?” Soal Kalsom kepada Arfa. Hampir menitis air matanya. Sedikitpun Rais tidak merungut. Hanya kelopak matanya sahaja terbuka terpejam. Pasti Rais tertanya-tanya kenapa dia diperlakukan sebegini.
“Arfa tak suka budak buta ni balik sini. Malulah Arfa dengan kawan-kawan. Tadi, dia cium tangan Arfa. Gelilah...” Arfa mengesat tangannya yang dikucup Rais sebentar tadi ke seluarnya.
“Apa salahnya. Rais adik Arfa kan? Betullah apa yang adik buat tu. Dia nak salam dengan Arfa. Dah lama Rais tak jumpa Arfa. Kan Rais?” Rais cepat mengangguk Kalsom mengusap rambut cucunya itu. Kasihnya kepada Rais tidak terkira. Sakitnya sedikit terubat apabila dapat melihat tubuh halus itu di hadapan matanya.
“Nenek, dia tu bukan adik Arfa. Berapa kali Arfa nak cakap. Arfa tak buta. Ayah tak buta. Arwah mama tak buta. Nenek pun tak buta. Dia seorang sahaja yang buta. Dia anak pungut!” Bentak Arfa. Hatinya panas.
 “Kau jangan melampau, Arfa. Nenek beritahu ayah nanti.” Kalsom cuba menjerat Arfa. Susah betul untuk dia melembutkan hati Arfa. Kalsom sendiri sudah penat menahan air mata. Tidak sanggup melihat Rais diketepikan.
“Mak, sudahlah. Apa yang bising kat bawah tu. Budak tu jatuh bukan teruk pun. Arfa, masuk. Ayah belikan Arfa baju yang Arfa suka dulu tu,” pujuk Razif. Senyumnya hingga ke telinga melihat Arfa. Rais langsung tidak dipandangnya. Arfa tersenyum puas. Dia tahu ayahnya tidak akan sesekali memarahinya. Apatah lagi memukul. Arfa mendekati Rais. Dirapatkan mukanya ke telinga Rais.
“Ada ayah belikan apa-apa untuk kau?” Arfa terus berlalu. Membiarkan Rais mencari jawapan itu sendiri. Kalsom cepat-cepat membantu Rais berdiri. Tertunduk kanak-kanak itu. Sepatah apapun tidak keluar dari bibirnya. Kalsom tahu Rais sedih. Rais berperang dengan keluarganya sendiri. Razif dan Arfa bukan musuhnya di medan perang. Razif dan Arfa adalah tulang belakangnya. Kalsom tidak mampu berkata apa-apa. Takut kata-katanya nanti akan lebih menambahkan bekas kepada hati anak istimewa itu. Tangan Kalsom ditarik meniti anak tangga kayu rumah itu. Kalsom menurut. Membiarkan cucu kesayangannya membawanya. Tumpah takungan kelopak matanya. Siapakah yang akan membelai Rais nanti? Siapakah yang akan mengaku Rais sebagai ahli keluarga apabila dia sudah tiada nanti? Tidak mengapalah, Rais. Nenek tahu Rais boleh berdikari. Jangan mengharapkan sesuatu jika pemberinya langsung tidak pernah memberi harapan. Jangan pernah sesekali.
Rais menghentikan langkahnya di ruang tamu. Tangan Kalsom dilepaskannya. Tangannya meraba-raba mencari kerusi. Telinga Rais menangkap gelak tawa ayah serta kakaknya. Rais turut tersenyum. Yang mengulum hiba ketika itu hanyalah Kalsom. Hanya dia tahu apa perasaan Rais.
“Yang engkau tersengih sorang-sorang ni kenapa?” Keras suara Arfa kedengaran. Namun, senyuman Rais langsung tidak pudar. Razif tidak memandang. Hanya membelek baju yang dibelikan untuk Arfa sebentar tadi.
“Ayah,di sekolah Rais belajar mengukir kayu.” Rais cuba memulakan bicaranya dengan Razif. Barulah Razif memandang anak bongsunya itu. Namun Razif hanya mengangguk. Tindak balas yang tidak mampu dilihat Rais.
“Is, kau boleh ke buat kerja mengukir tu Is? Kau kan tak nampak. Nanti habis semua benda kau ukir. Kan ayah kan?” Arfa cuba merendahkan Rais. Rais membetulkan duduknya. Hanya tersenyum.

“Tidak, kak. Awal-awal dahulu Rais diajar mengenali jenis kayu. Rais boleh kenal setiap jenis kayu dengan memegang permukaan kayu itu. Lepas tu, mereka ajar Rais bagaimana cara untuk mengukir. Seronok sangat. Mungkin minat ayah jatuh pada Rais. Ayah mengukir di batu. Rais mengukir di kayu.” Rais merancakkan perbualan.
“Kau jangan sesekali nak samakan diri aku dengan diri kau, Rais. Kalau bukan sebab kau, aku takkan merempat dan bersusah-payah mengukir batu nisan tu. Kau penyebabnya. Faham?” Berang Razif dengan kata-kata Raiz sebentar tadi. Bukan dia mahukan sangat kerja mengukir batu nisan itu. Dahulu hidupnya senang dengan jawatan kerani yang dipegangnya. Berani betul budak cacat itu merendahkannya.
“Ayah, ayah ukir nama budak ni pada batu nisan tu, ayah. Biar padan muka dia.” Arfa mengapi-apikan. Jelingannya tidak pernah padam.
“Arfa...!Apa cakap macam tu?” Kalsom mencelah. Tidak mahu Rais terluka lagi.
“Tak apa. Kalau ayah yang ukir, Rais simpan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu pemberian dari ayah.” Rais bangun. Meraba-raba dinding kayu rumah itu. Menuju ke biliknya. Kalsom dan Razif berpandangan. Hati Razif mula berselaput dengan perasaan bersalah. Dia tahu dia tidak adil dengan anak bongsunya itu. Namun, perasaan bersalah itu tidak dapat menandingi keegoannya. Tidak mungkin...

Nisan Putih (3)

[Episod 3]


“Cikgu harap cuti pertengahan tahun kali ini dapatlah kamu semua mempelajari sesuatu yang baru. Ingat pesan cikgu. Jangan sesekali merasakan kamu semua insan yang lemah. Kamu semua adalah anak-anak istimewa yang berjiwa kental. Pencapaian kamu kadangkala lebih bagus dari pelajar normal yang lain. Sampaikan salam cikgu pada keluarga kamu semua.” Cikgu Nizar menamatkan bait bicaranya. Kesemua kanak-kanak cacat penglihatan tersebut bertepuk tangan. Inilah penantian mereka. Berpeluang kembali ke pangkuan keluarga biarpun hanya seketika. Sudah 4 bulan mereka di sekolah pendidikan khas itu. Menyeringai wajah pelajar-pelajar tersebut. Langkah mereka diatur menuju ke kamar sambil dibimbing oleh seorang guru yang bertugas ketika itu. Jalan ke kamar itu bukan lagi menjadi halangan kepada mereka. Selok-belok di kawasan itu sudah sebati. Setibanya di kamar, masing-masing menuju ke katil. Di dalam kamar tersebut terdapat 20 buah katil 2 tingkat. Oleh itu, tidak menjadi halangan pelajar lelaki seramai 36 orang ditempatkan di dalam kamar tersebut.
“Iqwan, bila ayah awak datang jemput awak?” Rais bertanya kepada sahabatnya. Seluar di tangannya dilipat sebaik mungkin dan disusun di dalam beg. Walaupun mereka mempunyai kekurangan, namun pembimbing di situ tetap mengajar mereka melalui hari-hari seperti manusia normal yang lain. Bimbingan itulah yang membolehkan mereka berdikari seperti sekarang.
“Ayah dan ibu saya datang sebentar lagi. Saya rindu sangat pada mereka,” jawab Iqwan. Kanak-kanak itu meraba-raba mencari baju yang masih belum dilipat. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. “Awak pula Rais? Bila keluarga awak datang?” Soal Iqwan kembali.
Rais tidak segera menjawab. Keluarga? Dia tidak pernah merasakan kehidupan sebuah keluarga. Kewujudannya dianggap seperti suatu bebanan. Tidak pernah ayahnya memuji atau menyatakan sayang kepadanya. Mujurlah nenek seringkali mengorbankan masanya membelai dan memujuk hati kecilnya. Dari situlah Rais tahu sedikit demi sedikit apa yang dimaksudkan dengan kasih sayang. Kakaknya pula lebih suka dia tinggal berjauhan sebegini. Dahulu, Rais pernah mendengar kakaknya memberitahu rakan-rakan bahawa Rais hanyalah anak angkat. Tidak mempunyai kaitan dengan darah dagingnya. Ya, memang usianya terlalu mentah untuk menyangkal apa yang dikatakan kakaknya itu. Namun, dia tidak mentah untuk memahami apa yang dinyatakan oleh saudara tunggalnya itu.
“Rais? Kenapa awak diam?” Iqwan menegur setelah menanti jawapan yang tidak muncul dari mulut Rais. Terkebil-kebil Rais menyambung lipatan di tangannya. Kelopak matanya mula bergenang. Namun bibirnya masih menyimpulkan senyuman.
“Ayah saya mungkin datang esok.” Mungkin. Itulah yang mampu dia tuturkan. Ayahnya tidak pernah berjanji mengenai sesuatu kepastian. Tidak mengapalah. Rais bangun dari katilnya. Membontoti rakan-rakannya yang lain menuju ke ruang menunggu. Meriah. Gegendang telinganya dapat menangkap keriuhan suasana ketika itu. Rais juga dapat menangkap suara kerinduan seorang ibu dan ayah kepada anaknya. Sebak hatinya. Rais memanjangkan tongkat yang sejak tadi digenggamnya. Kakinya melangkah menuruti detak tongkat tersebut. Sehinggalah Rais merasakan gegendang telinganya sudah jauh dari menangkap keriuhan kebahagiaan sebentar tadi. Dia ingin sendirian.
Kini, dirinya hanya ditemani hembusan bayu. Ditemani dengan keriuhan cericit burung. Otaknya ligat berfikir. Berfikir mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang dilemparkan ke atas bahunya. Kalaulah ibunya masih ada, pasti dia tidak dipinggir begini. Kalaulah dia tidak cacat penglihatan, pasti dia mampu berdikari mencari hidup. Kalaulah ibunya masih bernafas kini dan dia bukan insan yang tidak sempurna, pasti dia menikmati kebahagiaan seperti mana insan lain. Pasti dia disayangi. Pasti dia dibelai. Dia benar-benar inginkan kehangatan dakapan seorang ibu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Tongkat di tangannya dilontar jauh. Mahu sahaja Rais menjerit sekuat hatinya. Biar semua orang tahu betapa perit hatinya. Biar dunia tahu bahawa apa yang berlaku ini bukan salahnya.
“Boleh cikgu duduk di sini?” Muncul satu suara. Cepat-cepat Rais mengesat matanya. Dia kenal dengan suara itu. Suara yang sering memujuk hatinya.
“Minta maaf kalau cikgu ganggu Rais.” Zara menghulurkan tongkat yang tersadai di atas rumput hijau kepada Rais. Rais menyambutnya. Namun, mulutnya masih terkunci. Zara menghela nafasnya. Tahu apa yang menjadi resahan anak muridnya itu. Seketika, Zara memandang sekeliling.
“Rais, cuba Rais teka apa yang ada di sekeliling Rais sekarang?” Zara cuba memecahkan kesunyian. Rais mengangkat kepalanya. Air mata masih berbekas di pipinya.
“Cikgu, saya dapat rasakan suasana yang sangat bahagia cikgu. Tapi itu semua milik kawan-kawan saya. Bukan milik saya, cikgu.” Berdentum hati Zara. Dilihat mata Rais bergenang lagi lalu tumpah begitu sahaja. Kelopak mata kanak-kanak itu sudah tidak mampu menampung bebanan kesedihan yang terlampau. Zara mengulum sebaknya. Zara menemani Rais pada petang itu. Masing-masing menyepi. Zara tidak mahu menganggu kesedihan Rais. Biarlah dia di situ sekadar menjadi peneman anak murid kesayangannya itu. Kau perlu tabah Rais!
*          *          *          *          *
“Selamat pagi, cikgu,” Razif menghulurkan tangannya berjabat tangan dengan cikgu Nizar. Cikgu Nizar menjemput Razif duduk di sofa dalam pejabatnya itu. Razif menurut. Namun, anak matanya tidak bertentang dengan anak mata Tengku Ibrahim. Tidak berani.
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih pada Encik Razif kerana datang pada hari ini. Saya Cuma ingin memaklumkan kepada Encik Razif bahawa sekarang cuti semester. Semua pelajar sudah dijemput oleh keluarga mereka. Kecuali Rais. Saya kasihankan Rais. Semalam, seharian dia menunggu Encik Razif datang menjemputnya. Tidak mengapalah, mungkin Encik Razif terlupa tentang hal itu.” Razif masih menundukkan kepalanya. Dia berkira-kira untuk bersuara.
“Encik Razif boleh bawa Rais pulang. Sejak pagi lagi Rais sudah menunggu Encik Razif di ruang menunggu.” Cikgu Nizar mengulas lagi.
“Cikgu, bolehkah jika Rais tinggal di sini sepanjang cuti semester ini?” Soalan yang tidak pernah diduga oleh Nizar. Sepanjang 5 tahun dia berkhidmat di sini, inilah kali pertama soalan sebegitu diajukan kepadanya.
“Saya perlu bekerja. Menyara keluarga. Ibu saya sudah uzur di kampung. Saya tidak pasti samada ibu saya mampu menjaga Rais.” Razif menambah. Bergetar suaranya. Kepalanya langsung tidak diangkat. Nizar membisu. Seketika dia mengajak Razif menuju ke suatu tempat. Laluan itu dipayungi dengan rimbunan pepohon hijau. Lebat. Angin
yang berhembus di situ sempat meleretkan daun-daun kering ke tepi lorong. Di suatu sudut, kelihatan sesusuk tubuh kecil menguis-nguis daun-daun kering dengan tongkatnya.
“Semua manusia di muka bumi ini menginginkan kesempurnaan, Encik Razif. Begitu juga dengan Encik Razif. Pasti Encik Razif mengharapkan dikurnia seorang anak yang sempurna. Cukup sifatnya. Saya yakin, memang itulah naluri setiap ibu bapa. Namun, Encik Razif perlu ingat suatu perkara. Bagi insan istimewa seperti Rais, mereka juga menginginkan kehidupan yang sempurna. Tidak mahu kekurangan sebegitu. Ini takdir. Kita wajib menerimanya. Sebagai bapa, Encik Razif perlu menyempurnakan kekurangan yang dirasai oleh Rais.” Nizar menepuk bahu Razif. Mata Razif tidak berkelip memandang Rais. Entah mengapa. Naluri kebapaannya dicuit pada petang suram itu. Nizar membiarkan dua beranak itu bersua. Dia telah melaksakan tanggungjawabnya.
“Kita balik...” Razif bersuara. Serentak Rais memandang. Mencari suara itu. Pantas dia meluru mencari suara yang sudah lama tidak didengarinya. Dipeluknya tubuh lelaki yang digelar ayah. Dia menangis. Gembira. Sedih. Sebak. Semuanya tidak terkata.
“Rais takut kalau ayah tidak datang menjemput Rais.” Rais bersuara. Esakannya kedengaran. Razif mencapai tangan anaknya. Dibimbitnya beg pakaian Rais. Mereka berlalu menuju ke jalan besar. Rais tersenyum. Digenggam kuat tangan ayahnya itu. Dia pasti tidak mahu melepaskannya lagi. 

Nisan Putih (2)


[Episod 2]

Loceng berdering panjang. Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kasturi masing-masing menyusun langkah pulang ke rumah. Berbeza dengan 3 pelajar perempuan tingkatan 4 sekolah tersebut yang menghalakan langkah mereka menuju ke suatu tempat. Bahagia. Cetusan tawa mereka menggambarkan kegembiraan yang teramat. Sesekali orang yang lalu-lalang menjeling sinis. Menyampah dengan gelagat 3 serangkai itu. Siapa sahaja yang tidak mengenali Arfa, Hany dan Aiyu. Baru pagi tadi sahaja nama mereka bertiga disebut sewaktu perhimpunan pagi. Pelajar yang sering memonteng kelas. Pelajar yang sering ingkar dengan arahan guru. Juga pelajar yang sering mengambil kesempatan terhadap pelajar lain. Untungnya, sekelompok dua pelajar lelaki yang nakal di sekolah tersebut juga sentiasa menyokong setiap apa yang dilakukan mereka. Jika ada ada guru-guru yang meninggikan suara, padahlah. Ada sahaja rancangan mereka untuk membalas dendam kembali.
            Petang itu, langkah mereka seiringan menuju ke perhentian bas di pekan tersebut. Sesampai di sana mereka terus menuju ke tandas. Bersahaja tanpa mengeluarkan syiling untuk masuk ke tandas tersebut. Siapa sahaja yang berani menegur? Sebulan lepas, teruk remaja berusia 13 tahun yang menjaga pintu masuk tandas itu digomol mereka. Tidak sedikitpun belas kasihan yang ditunjukkan. Puncanya? Hanyalah kerana remaja berusia 13 tahun itu berkeras meminta syiling 20 sen kepada mereka bertiga. Bermula dari kejadian itu, remaja itu sudah tidak kelihatan lagi di tempat tersebut. Besar sungguh kuasa 3 serangkai itu.
            Sebaik sahaja 3 serangkai tersebut keluar dari tandas itu, pakaian mereka segalanya bertukar. Menampakkan susuk tubuh yang tidak sepatutnya dilihat. Jika di pekan itu pakaian sebegitu dikenakan, pastilah banyak mata-mata yang menjeling. Tidak terlepas juga sepasang anak mata yang asyik memerhatikan gelagat 3 serangkai itu sejak mereka tiba di perhentian bas pekan itu sebentar tadi. Sepasang mata itu cukup mengenali gadis bersinglet merah dan berseluar jeans hitam itu. Dia sangat pasti. Langkah diatur menuju ke tempat gadis itu bersantai bersama 2 orang lagi yang mungkin rakannya. Namun, langkahnya mati setelah muncul 3 orang remaja lelaki sebaya perempuan tersebut. Wah, mesra! Pipi bertemu pipi di antara lelaki dan perempuan. Tangan lelaki itu dilihat merangkul pinggang perempuan bersinglet merah tadi. Tidak cukup dengan itu, berlaku pula adegan mengucup tangan di antara satu sama lain. Dan.... Ah! Mereka hilang di sebalik deretan bas.
            Zahid masih gagal menegur Arfa untuk kali ini. Sudah berkali-kali dia berpeluang bertemu dengan gadis itu. Namun, setiap kali peluang itu terbit, pasti akan datang halangan yang menggagalkan usahanya itu. Kali pertama, Zahid bertemu Arfa ketika dia ke rumah Razif untuk menghantar Rais ke Pulau Pinang. Memang pelik dirinya melihat Arfah. Personalitinya di rumah dan di luar sangat berbeza. Itulah sebabnya Zahid ingin sangat bersua muka dengan gadis itu. Ingin tahu kehidupan sebanar gadis itu. Zahid yakin, Razif pasti tidak tahu mengenai pergaulan Arfa. Jika dia tahu, padahlah. Siapa sahaja yang tidak mengenali Razif. Barannya tidak menentu.
            Jarir merenung lama ke dalam anak mata Arfa. Senyumannya tidak putus terukir. Berbunga hati Arfa menerima senyuman seperti itu. Tangan mereka masih erat tergenggam. Sesekali, Arfa melirik ke arah Aiyu dan Iqbal. Mesra. Aiyu yang pada awal perkenalannya dengan Iqbal sangat berhati-hati dengan hubungan mereka. Gusar dengan mata-mata di sekeliling mereka. Namun, ketangkasan Iqbal mampu membuatkan Aiyu memejamkan matanya dengan dunia sekeliling. Anak mata Arfa menangkap pula pada gelagat Hany dan Hakimi. Suram. Hany di timur, Hakimi di barat. Langsung tidak nampak kemesraan di antara mereka. Puas Arfa memujuk Hany. Entah apa yang difikir oleh sahabatnya itu. Hakimi anak orang ternama. Kacak. Malahan lebih bijak berbanding Jarir.
“Aku tak mementingkan itu semua, Arfa. Aku tak bersedia untuk bercinta. Lagipun aku tak percaya pada lelaki seperti mereka itu,” tegas Hany. Mendatar sahaja suaranya. Mendalam.
“Termasuk Jarir?” Soal Arfa. Hany acapkali menegaskan kata-katanya itu. Siapa dia untuk menilai baik dan buruk Syamil?
“Kau lebih mengenali Jarir, Arfa. Berbuih mulut aku nasihatkan kau. Tapi kau lebih percayakan Jarir daripada kawan baik kau sendiri.” Suara Hany semakin meninggi. Geram dengan hati keras Arfa itu. Dia tidak mahu kawan baiknya itu hanyut dengan lelaki seperti Jarir. Arfa dan Aiyu masing-masing berkeras menidakkan apa yang bibirnya bicara. Menidakkan apa yang anak matanya rakamkan. Malahan, mereka sendiri melihat bagaimana Jarir dan Iqbal berfoya-foya dengan gadis lain. Memang cacian dan makian yang keluar dari mulut mereka ketika itu. Namun, hanya ketika itu. Sebaik sahaja lelaki-lelaki itu di hadapan, cacian itu entah hilang ke mana. Hanya senyuman yang menjadi peneguh bibir.
“Ini untuk mama.” Seutas rantai emas dikalungkan ke leher Arfa. Tersentak Arfa. Lamunannya segera mati. Tergamam dia seketika. Inilah yang dia mahukan. Bukan hanya sekadar kasih sayang. Malahan kemewahan turut menjadi hasratnya. Sebelum ini, ada sahaja lelaki yang mendekati dirinya. Namun, tidak lama kerana lelaki-lelaki itu tidak mampu untuk menurut kehendak kemewahan yang diimpikan Arfa.
“Terima kasih papa. Cantik...” Tangannya masih membelek-belek utasan tersebut. Jarir hanya tersenyum. Dia tahu, gadisnya itu pasti akan puas mendapat hadiah sebegitu. Sebelum ini, gelang serta cincin sudah menjadi milik Arfa. Gadis yang sudah mementingkan materialistik walaupun umur masih mula menginjak naik. Tidak mengapalah. Buat sementara waktu ini, Jarir menurut sahaja. Lagipun, barang-barang itu semua tidak dilaburkan dengan wangnya. Apa yang dia perlu gusarkan. Apa yang penting, dia harus melaksanakan tugasnya seperti yang telah dirancangkan. Ganjaran untuk tugasnya itu lebih lumayan dari segalanya.
“Aku nak balik...” Hany tiba-tiba muncul di hadapan Arfa. Merah wajah gadis itu. Kelihatan terlalu gelisah. Arfa segera bangun. Mendekati Hany yang cuba mengawal amarahnya ketika itu. Arfa cukup mengenali Hany. Sahabatnya itu dianggap seperti darah dagingnya sendiri. Hany sentiasa memberi semangat kepada Arfa selepas Arfa kehilangan ibunya. Namun, entah bagaimana Hany boleh terjebak dengan kenakalan Arfa. Mungkin kerana Hany sentiasa bersamanya. Mahu tidak mahu, apa yang dilakukan Arfa terpaksa diturut oleh Hany.
“Hany, kita baru sahaja sampai di sini. Kenapa tergesa-gesa nak balik?” Soal Arfa. Memang dia sudah masak dengan sikap Hany. Hany bukanlah gadis liar sepertinya. Arfa sempat melirik ke arah Hakimi. Lelaki itu hanya sekadar memandang tanpa perasaan. Langsung tidak dipujuk Hany yang sedang berombak deras. Berbeza sama sekali dengan Jarir dan Iqbal.

“Aku nak balik! Dah banyak kali aku beritahu, mereka ni bukan lelaki baik!” Lantang suara Hany dilontarkan. Kali ini dia benar-benar tidak tahan lagi.
“Hany, kenapa ni? Cuba bertenang. Apa yang kau marah sangat ni?” Giliran Aiyu pula mengambil alih. Penat mereka melayan karenah Hany.
“Aku tak tahu macam mana nak cakap pada kau dan Arfa lagi. Masing-masing keras kepala!”
“Kau yang keras kepala. Kalau Hakimi buat hal, kau jangan nak babitkan Jarir dan Iqbal, Hany.” Kali ini Arfa sudah tidak mahu berlembut. Dia berhak mempertahankan Jarir. Dia akan sehidup semati dengan Jarir. Bukan Hany. Perempuan ini betul-betul melampau.
“Kalau kau nak balik, balik! Aku dan Aiyu tak mahu balik. Buka minda kau, Hany. Jangan kolot dengan pemikiran kampung kau,” tambah Arfa. Arfa menarik tangan Jarir berlalu dari situ. Aiyu dan Iqbal hanya membontoti. Hakimi hilang entah ke mana. Menitis air mata Hany pada petang itu. Sia-sia sahaja pengorbanan dia sebagai seorang sahabat yang sanggup ke sana ke mari demi sahabatnya. Sia-sia sahaja dia menipu ibu bapanya selama ini semata-mata untuk memenuhi tuntutan Arfa ke mana sahaja. Dia sanggup. Asalkan Arfa tidak bersedih seperti dahulu. Asalkan Arfa menghargai kekuatan persahabatan mereka. Namun, segalanya kini musnah. Cinta telah meranapkan kekuatan persahabatan mereka. Segera Hany menanggalkan cincin dari jari manisnya. Cincin itu dibiar di atas tembok batu yang menjadi labuhannya tadi. Biarlah Arfa dan Aiyu sahaja yang memiliki cincin itu. Cincin yang menjadi petanda persahabatan mereka bertiga.

Nisan Putih (1)


[Episod 1]

Cuaca semakin terik disusuli dengan angin yang sepoi-sepoi. Beginilah rutinnya jika berganjak ke bulan Mei. Terik kemarau seakan-akan mahu membakar segalanya. Berlindung di bawah atap zink bukanlah suatu keselesaan. Bahangnya sahaja sudah mampu mendenyutkan seluruh urat-urat kepala. Peluh yang mengalir dibiarkan membasahi. Dibiarkan menitis ke tanah. Razif melepaskan tukul yang erat digenggamnnya sejak tadi. Berdeting bunyinya apabila tukul tersebut mengenai tong aluminium yang menjadi alas untuk mengukir.
            Razif tidak mempedulikan mata-mata yang memerhatikannya. Dia penat. Penat untuk mencari sesuap nasi. Penat dengan rutin yang harus ditempuhnya setiap hari. Penat dengan soalan dan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya. Anak matanya tajam memerhatikan tukul yang sengaja dilepaskannya sebentar tadi. Hampir 10 tahun tukul itu berjasa padanya. Selama itu jugalah dia berjasa kepada pemilik bengkel batu nisan itu. Ya, boleh dikatakan setiap pelanggan yang datang untuk menempah batu nisan di situ berpuas hati dengan hasil tangannya. Kata mereka, seninya ada. Kadangkala Razif berfikir sendirian. Perlukah  kecantikan, kesenian yang terukir di batu nisan itu digahkan sedangkan ia hanyalah menjadi ceracak di atas tanah merah kering.
            “Razif, tadi Encik Mansor datang menempah nisan untuk ibunya. Ibunya baru sahaja meninggal dunia 2 hari lepas. Dia mahukan nisan yang sama ukirannya dengan arwah ayahnya yang awak pernah buat dahulu,” ujar Zahid. Majikannya yang telah memberi peluang dan kepercayaan terhadapnya selama 10 tahun. Razif hanya mengangguk. Akur dengan apa yang diperintahkan majikannya sebentar tadi.
            “Jika boleh dia mahukan nisan itu secepat mungkin. Em, tapi awak boleh pergi menjemput Rais dahulu jika awak mahu.” Zahid terus berlalu setelah menyatakan keizinannya terhadap Razif. Razif mengangguk lagi walaupun majikannya itu sudah berlalu membelakangkannya. Kacau. Fikirannya kacau apabila memikirkan mengenai Rais. Anak bongsunya yang kini mendapat pendidikan khas di sekolah orang kurang upaya di Pulau Pinang. Ya, sangat jauh di utara semenanjung jika dibezakan dengan dirinya kini berada di selatan tanah air.
            Rais merupakan seorang kanak-kanak istimewa. Cacat penglihatannya. Namun, kecacatannya itu tidak menghalang dia menjadi seorang yang celik minda. Razif memang sudah dapat melihat kebolehan anaknya itu sejak berusia 4 tahun. Kanak-kanak itu petah bercakap. Ringan mulut untuk bertanya. Cepat untuk menerima sesuatu pengetahuan. Namun, itu langsung tidak membanggakan Razif. Bagi Razif, Rais hanyalah bala. Musibah. Isterinya menghembuskan nafas terakhir setelah melahirkan Rais. Jawatannya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta juga terpaksa dilepaskan 10 tahun lepas dek tertekan dengan pertanyaan dan sindiran pekerja di sana. Semenjak itu, segalanya kucar-kacir. Razif mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Rais langsung tidak disentuh. Apatah lagi dicium, dipeluk dan dibelai. Mujurlah ibunya ada untuk menyuapkan nasi ke mulut anak-anaknya.
            Segalanya berubah setelah Seri meninggal dunia. Keyakinannya goyah. Rerambut halus di pipinya dibiarkan melata. Puas dia mencari halatuju ketika itu. Mencuba di segenap tempat untuk mencari nafkah. Keikhlasan Zahid sememangnya memberi sinar baru kepada Razif. Hanya Zahid yang mengetahui keperitan hidupnya. Zahid jugalah yang sering memanjakan Rais. Jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Pekerjaan barunya ketika itu dapat menipiskan rindunya kepada Seri. Dapat memekakkan telinganya daripada menerima persoalan mengenai Rais. Cuma, dia terpaksa menggadaikan rindu dan sayangnya kepada Arfa. Penyeri hidupnya dan Seri sejak 16 tahun lalu.
Razif mencapai kembali tukul yang dilepaskannya tadi. Meneruskan kerja ukirannya pada permukaan batu. Hatinya benar-benar merindukan Seri. Arwah isterinya yang telah ditakdirkan meninggalkan dirinya terlebih dahulu. Dia tahu, pasti Seri kecewa jika tahu bagaimana layanannya terhadap Rais. Razif cuba untuk mengikis perasaan bencinya kepada Rais. Semenjak dahulu dia mencubanya. Namun, benci itu tidak hilang semuanya. Masih ada saki-baki yang bertompok di hati. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa untuk mencari rezeki. Cukuplah dengan itu. Ibunya perlu faham.
            Minggu lepas, Razif sempat menjejakkan kakinya ke kampung menjenguk Arfah dan ibunya. Hampir sebulan Razif tidak ke sana. Sibuk dengan kerja mengukirnya. Selain itu, dia sengaja mengelak daripada mendengar bebelan ibunya. Terlalu mengingatkannya tentang Rais. Ah, budak itu sudah berusia 10 tahun. Sudah pandai berjalan dan makan tanpa orang menyuapkannya seperti dahulu. Apa yang terlalu dibimbangkan. Nah, Rais ditempatkan pula di sekolah orang kurang upaya yang bukan calang-calang. Hanya orang yang berkemampuan sahaja yang mampu ke sana. Sedikit sebanyak perasaan berterima kasih itu terbit di sudut hatinya kepada Zahid kerana membiayai segala kos pengajian Rais di sana.
            “Ayah, Arfa nak pergi kelas tambahan. Em, kawan-kawan Arfa yang pergi semuanya dapat keputusan cemerlang, ayah. Arfah ingat, Arfah pun nak cuba juga, ayah. Ayah kan nak Arfah berjaya...” Terngiang suara Arfah di telinganya. Sukar untuk dia menolak permintaan anak kesayangannya itu. Masa depan Arfah lebih penting dari segalanya. Dia mahu Arfah berjaya. Tidak menanggung susah sama sepertinya. Anggukan Razif sangat menceriakan Arfah. Pipi Razif diciumnya. Sikap anak daranya itu masih sama seperti dahulu. Manja.
            “Bila Arfah pergi kelas tambahan itu nanti, belajar rajin-rajin. Janji dengan ayah. Bila Arfah dapat keputusan cemerlang, bolehlah ayah jumpa cikgu Arfah. Ucap terima kasih pada mereka,” ujar Razif. Serta-merta air muka Arfah berubah. Mulutnya sengaja dimuncungkan. Perkara sama yang sering dilakukan oleh arwah isterinya tika datang rajuknya.
            “Baiklah. Ayah tahu. Ayah faham. Ayah tak pergi sekolah Arfah. Ayah percayakan anak ayah seorang ni. Apa yang penting, Arfah kena belajar rajin-rajin. Boleh?” Pinta Razif. Faham benar dia dengan sikap anak sulungnya itu. Jika terdapat majlis perjumpaan di antara ibu bapa di sekolahnya, dihalang Razif untuk menghadiri. Pernah Razif mempersoalkan perkara tersebut kepada Arfah. Katanya, dia sedih jika rakan-rakannya bertanya mengapa ayahnya datang bersendirian. Sedih jika rakan-rakannya bertanya di mana ibunya. Tidak mengapalah. Jiwa remaja seperti Arfah itu sememangnya mudah tercuit. Razif menurut sahaja. Asalkan Arfah Arsya sentiasa mengukir senyum di hadapannya.
            Berbeza dengan Rais. Tidak pernah tercuit di hatinya untuk menghadiri sebarang aktiviti di sekolah pendidikan khas itu. Sudah berpucuk surat diterimanya. Terdapat juga surat yang menyatakan kecemerlangan anak lelakinya itu. Hah, tetapi semua itu untuk apa? Jika sepandai mana sekalipun, pasti sukar untuk sesiapa menggajinya suatu hari kelak. Semua itu sia-sia. Mujurlah bukan dia yang menanggung pengajian anak cacat penglihatan itu. Pernah dia menyatakan hasratnya untuk menghantar Rais bekerja di kilang kayu. Di situ, ramai kanak-kanak senasib dengannya mencari pengalaman. Mencari peluang supaya mudah untuk digaji suatu masa nanti. Sekurang-kurangnya, kemahiran mampu membuka peluang kepada mereka. Namun, itu semua dihalang keras oleh ibunya. Katanya, dia hanya mempergunakan anak untuk kepentingan sendiri. Menganiaya anak yang masih mentah. Salahkah? Umur sepertinya pasti mampu berdikari jika dipaksa.
            Hari ini, sepatutnya Razif sudah bertolak ke Pulau Pinang. Esok, kanak-kanak istimewa yang mendapat keputusan yang cemerlang akan dirai. Razif tergelak sendirian. Baik sahaja dia di sini menyiapkan tempahan yang masih tertangguh. Sekurang-kurangnya usaha itu membuahkan hasil jika dibandingkan usahanya bergegas ke sana yang hanya untuk menyaksikan sesuatu yang kosong.

:atiqahibrahim:

Saturday, 10 November 2012

Mr. MUS...

Mendatar...
Lama kelamaan rasa ada gelombang, ada detak,
Tapi jauh,
Entah di sudut mana ia tersepit.
Rasa sakit tersepit mudah dijentik,
Ditepis hanya dengan hujung jari,
Tapi untuk meratakan kembali gelombang, untuk memujuk kembali detak supaya sembunyi seperti dulu,
Mustahil.
Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.
Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil. Mustahil.